Selesanya.....


ALHAMDULILLAH, akhirnya usaha sama antara Surau Asrama Al-Falah Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN), Jitra dengan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menyiapkan projek membaik pulih surau bernilai RM100,000 dengan kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak. 

Majlis penyerahan surau yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Hendrik Lamsali pada 22 April 2021 melengkapkan dan membolehkan pelajar asrama seramai lebih 170 pelajar menggunakannya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan surau


Prof Madya Dr Hendrik Lamsali (tiga dari kiri) menyampaikan kunci tanda serahan Surau Al-Falah SMKPN kepada Pengetua Ku Azizan Ku Othman (kanan). - Kredit gambar: Ikhsan Inasis Malten UUM


Dr Hendrik Lamsali bangga kerana bukan sahaja dengan hasil usaha secara bersama UUM dan sekolah untuk menyiapkannya malah pembabitan kerjasama ini telah diusahakan oleh alumni sekolah ini.

Katanya projek yang diusahakan oleh Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa MAS/TNB (Malten) UUM yang diketuai Presiden Inapan Siswa Malten Muhammad Saniy Samsudin, yang bertindak sebagai Pengarah Projek, dengan pihak SMKPN telah memeterai perjanjian untuk membantu mencari dana tambahan serta rakan strategik untuk menyiapkan surau asrama sekolah ini.


Terima kasih... Dr Hendrik Lamsali berucap pada majlis penyerahan Surau Al-Falah SMKPN, yang kini membolehkan pelajar asrama SMKPN berasa selesa dengan surau yang baru dibaik pulih


"Kami di UUM sebagai sebuah universiti pengurusan sentiasa memberi sokongan dan membantu masyarakat dan komuniti setempat seiring dengan hasrat Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani," ujar beliau lagi.

Dr Hendrik menambah jalinan hubungan dengan rakan strategik antaranya Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara Sintok, Umbai, Majlis Staf SMKPN, Alumni SMKPN, Koperasi SMKPN, Suhail Solution Sdn Bhd, Poliklinik Padang Sera dan rakyat seluruh Malaysia telah berjaya membangunkan surau untuk pelajar sekolah ini.


Muhammad Saniy Samsudin (tengah) sentiasa memantau pembinaan surau sekolah itu.


"Harapan pihak pengurusan di UUM ialah lebih ramai pelajar sama ada sepenuh masa atau secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dari sekolah ini terutama atau penduduk negeri ini akan memilih UUM untuk melanjutkan pengajian kerana universiti ini juga adalah antara terbaik di Malaysia, Asia dan dunia," ujar beliau ketika berucap pada majlis penyerahan kunci dan sumbangan ihya Ramadan kepada beberapa pelajar di sekolah itu.

Terdahulu Pengetua SMKPN Ku Azizan Ku Othman yang akan bersara wajib pada 29 April 2021 ini berasa amat gembira kerana akhirnya dapat menyiapkan surau asrama sekolah ini sebelum beliau bersara.

Katanya, penyerahan surau asrama ini menunjukkan matlamat konsep Program Transformasi Sekolah 2025 (TS2025) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti telah berjaya dilaksanakan.


Ku Azizan Ku Othman (kanan) bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM (tiga dari kiri) Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin melawat Surau Al-Falah yang ketika itu masih dalam pembinaan.


"Kami di sekolah ini berbangga kerana secara tidak langsung dapat mencapai objektif TS2025 menerusi transformasi dalam lima teras yang digariskan antaranya dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dengan pembabitan mahasiswa UUM dengan sokongan kepimpinan yang berkualiti serta berwawasan dan yang penting mendapat komitmen daripada komuniti yang padu," ujarnya lagi.

Ku Azizan berharap jalinan hubungan antara UUM dengan sekolah ini akan tetap diteruskan walaupun beliau akan bersara pada 29 April 2021 ini.


Peralatan kegunaan surau turut disumbangkan untuk melancarkan aktiviti pelajar di surau.


Papan tanda surau dipasangkan.


Beliau juga bangga dengan pencapaian alumni sekolah ini, Muhammad Saniy, yang bukan sahaja pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Kedah, tetapi juga Penerima Anugerah Biasiswa Naib Canselor UUM dan terbaharu, berjaya pula meraih sebagai Pembentang Kertas Kerja Terbaik peringkat Dunia.

Moga lebih ramai alumni sekolah ini akan berjaya dan dapat membantu membangunkan sekolah tempat mereka belajar dahulu, harapnya.


Proses pembinaan surau asrama sekolah itu oleh pelajar Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara Sintok.


Beramal sambil menimba ilmu kemahiran.


Sementara itu. Pengetua Inapan Siswa Malten UUM Dr Rohani Abdullah bangga dengan usaha sama ini dan berharap lebih banyak program kemasyarakatan seperti ini akan diperluaskan ke sekolah-sekolah di negeri ini.

Projek usaha sama membaik pulih surau asama ini mengambil masa lebih kurang 15 bulan kerana kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan beberapa kali ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus COVID-19.


Nazari Awaluddin (kiri) sentiasa memantau pembinaan surau sekolah itu.


Dalam pada itu warden asrama SMKPN Nazari Awaludin yang menjadi perancang utama untuk projek membaik pulih asrama sekolah ini berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dalam bentuk kewangan, barangan dan sebagainya sehingga pelajar asrama ini dapat menggunakannya.

Sempena majlis penyerahan surau ini, Dr Hendrik Lamsali turut menyampaikan sumbangan ihya Ramadan kepada beberapa pelajar asrama sekolah itu.

Turut hadir Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin, Pengetua Inasis Malten Dr Rohani Abdullah, Yang Dipertua PIBG SMKPN Che Saad Hashim, Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM Asmawiza Hussin, Penolong Pengajar Kanan Tred Wet-Skills Izzuddin Ramizon, Pegawai Perubatan Poliklinik Padang Sera Dr Yusri Yahya dan Pengurus Suhail Solution Sdn Bhd Sazali Shafiai. - KitaReporters


Warden asrama SMKPN (kanan) bersama Ketua Eksekutif Akademi Binaan Malaysia, Mohd Nazri Zakaria (tengah) memantau pembinaan surau.


Sazali Shafiai (dua dari kanan) yang menyumbang papan tanda nama surau.

2
0
0
0
0

Copy Link: