Farizal direhatkan dalam perlawanan menentang Bangladesh ekoran kekalahan Malaysia kepada Bahrain pada perlawanan berlangsung Sabtu, 11 Jun, 2022. Kredit foto: FAM


DI SEBALIK hamburan pujian kepada semua pemain skuad bola sepak kebangsaan susulan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada Selasa, 14 Jun, 2022, sekali gus layak ke pertandingan Piala Asia 2023, penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mencuri lebih tumpuan apabila mendapat kepercayaan jurulatih, Kim Pan-gon untuk mengawal gawang Harimau Malaya. 

Ramai tidak menduga Syihan akan menjadi pilihan Pan-gon dalam perlawanan penting itu kerana walaupun penyokong mendesak agar Farizal Marlias direhatkan ekoran kekalahan kepada Bahrain pada Sabtu, 11 Jun, 2022 lalu, mereka menjangka penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid akan diturunkan.

Keberanian Pan-gon jelas membawa pulangan apabila penjaga gol Negeri Sembilan berusia 26 tahun itu membalas kepercayaan dengan persembahan meyakinkan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penjaga gol 

Syihan menunjukkan ketangkasan ketika diturunkan menentang Bangladesh pada Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 14 Jun, 2022. - Kredit foto: FAM


Walau pun tewas sekali melalui jaringan Mohamad Ibrahim pada minit ke-31, namun secara keseluruhan, penyokong melihat Syihan sudah bersedia untuk menggantikan Farizal sebagai penjaga gol utama Harimau Malaya.

Ini dipersetujui bekas ‘guru’ Syihan, Hashim Mustapha yang ternyata berbangga dengan pencapaian anak didiknya malah mengakui sangat teruja apabila melihat nama penjaga gol itu berada dalam senarai kesebelasan utama skuad negara pada perlawanan menentang Bangladesh itu.

“Sudah lama saya menunggu saat ini malah yakin Syihan dah cukup bersedia untuk memikul tugas mengawal pintu gol Malaysia. Akhirnya, apa yang saya tunggu itu menjadi kenyataan dan saya sangat gembira untuk dia,” kata Hashim. 

Hashim, yang merupakan bekas pemain Kelantan dan kebangsaan, mengagumi bakat Syihan sejak pemain itu bermain di bawah kendaliannya untuk skuad Piala Presiden Kelantan pada 2016 dan 2017. 

“Ketika itu, saya sudah nampak bakat Syihan serta menjangka suatu hari nanti dia akan mewakili skuad kebangsaan. Dia memiliki pakej lengkap sebagai seorang penjaga gol sama ada dari segi ketangkasan mahupun fizikal. Ketinggiannya 1.84m memang saiz yang sempurna.


Syihan mendapat bimbingan Hashim semasa mewakili pasukan Piala Presiden Kelantan. - Kredit foto: Harian Metro


“Malah, sebelum Syihan menyertai skuad Piala Presiden Kelantan, saya sudah mengikuti perjalanan kariernya bermula di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), kemudian Harimau Muda C. 

“Apabila dia terpilih mewakili skuad Bawah 23 Tahun negara pada 2018, saya anggap itulah permulaan untuk dia mencari tempat dalam pasukan senior tapi apa yang berlaku kemudiannya menyebabkan saya sangat kecewa dan marah dengan Syihan,” katanya. 

Hashim menjelaskan, beliau sangat kecewa apabila Syihan digantung selama 20 bulan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas gagal dalam ujian doping semasa menyertai pertandingan Bawah 23 Tahun Asia di China pada 2018 kerana menggunakan dadah terlarang metabolite methandienone. 

“Saya benar-benar kecewa dan marah. Saya menelefon Syihan untuk bertanya bagaimana dia boleh terbabit menggunakan bahan terlarang itu. Dia menjelaskan mengambil ‘supplement’ untuk menurunkan berat badan tanpa menyedari ia adalah bahan terlarang dalam sukan. 

“Saya katakan kepada Syihan, dia sebenarnya tidak memerlukan sebarang ‘supplement’ kerana dengan latihan yang dilalui sudah cukup untuk mengawal berat badannya. Saya menasihati agar lebih berhati-hati selepas itu. 

“Saya harap peristiwa doping itu menjadi ingatan serta pengajaran kepada Syihan sampai bila-bila. Dia sudah membazirkan kariernya selama 20 bulan dan kini mendapat ‘nyawa kedua’ bersama pasukan Negeri Sembilan serta skuad kebangsaan. Saya harap dia gunakan peluang ini sebaik mungkin,” ujar Hashim.


Barisan pemain dan pegawai pasukan Malaysia meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh serta kejayaan layak ke Piala Asia 2023. - Kredit foto: FAM


Pada masa sama, Hashim turut mengingatkan Syihan agar mengawal  sikap panas barannya kerana ia juga bakal merugikan karier pemain itu.

“Sepanjang mendidiknya ketika bersama skuad Piala Presiden Kelantan, saya dapati satu-satunya kelemahan Syihan adalah dia seorang yang ‘bengkeng’ serta mudah naik angin apabila menerima provokasi pihak lawan. 

“Dia pernah dibuang padang semasa perlawanan menentang pasukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) pada musim 2016 kerana bertindak balas ke atas lawan sehingga mencetuskan pergaduhan. 

“Saya tidak pasti sama ada sikap ini masih ada pada diri Syihan tapi nasihat saya, kalau hendak berjaya, kena bijak kawal emosi kerana sudut lain sudah ‘kemas’ (bagus),” katanya. - KitaReporters

13
14
0
15
3

Copy Link: