Video| Yonnyboii cabar diri lawan arus! Tak Sangka bertunang! Hasilkan album penuh ketika down!
Published by'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu', kecuali Allah SWT jua.
Barangkali pepatah itu yang paling tepat disimpulkan kepada penyanyi dan komposer muda Yonnyboii, yang baharu tiga tahun dalam industri tetapi pantas mencuri perhatian.
Malah selepas tampil dengan album mini atau EP berjudul 'Yonny' pada hujung tahun lalu (2020), pelantun lagu ‘Sakit’ ini yang lahir dengan nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, sesungguhnya tidak ‘sakit’ apabila mengambil keputusan hadir mewarnai persada muzik tempatan.
Apatah lagi apabila pandemik COVID-19 menyerang negara dan memberikan kesan terhadap ramai, rezeki Yonny tidak pula terhenti bahkan ada hikmah di sebaliknya apabila bersiap sedia pula melancarkan album penuh (LP), ‘Yonny Deluxe Version’.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Yonnyboii
‘Yonny Deluxe Version’ menghimpunkan sembilan karya daripada EP terdahulu selain dua lagu baharu sebagai trek bonus, ‘Tak Sangka’ dan ‘Angel’.
Apabila diberi judul ‘Tak Sangka’ mungkinkah itu membayangkan ketidaksangkaan pemuda berasal Perak ini mampu menghasilkan sebuah album pada era pandemik ini?
"Tak sangka sebenarnya, dari album EP, saya mampu menghasilkan album penuh pada era pandemik. Bagi saya ia bukan satu kesalahan mandatori. Saya tak kisah melawan arus. Jika ada artis yang berkira-kira nak lancarkan album, kenapa tidak saya melakukannya.
"Saya selesa mencabar diri melawan arus kebiasaan,” ujar Yonnyboii yang sedar ramai yang sering melihatnya sebagai seorang yang ‘unik’.
“Sekurang kurangnya saya ada kenangan melancarkan album pada waktu sebegini," tambah beliau yang tidak melihat langkahnya itu sebagai sesuatu yang pelik.
Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, beliau percaya penantian itu sangat berbaloi dan tidak perlu tergesa-gesa andai tiba waktunya.
“Pasti kemenangan akan mendarat. Jujur, sejak awalan fasa pembabitan seni lagi, saya mendambakan album penuh. Tapi saya ikut saja peredaran masa dan kesesuaian yang mana lagu single demi single dilancarkan. Itu juga 'trend' pemasaran yang diguna pakai syarikat rakaman," Yonny berpendapat.
Bagi lagu ‘Tak Sangka’, Yonnyboii tidak keseorangan, sebaliknya berkolaborasi dengan Zynakal dan Asyraf Nasir sebagai komposer dan penyanyi sebelum pandemik, manakala ‘Angel’ diilhamkan secara tiba-tiba.
“Saya terlintas tiba-tiba mengenai gambaran seorang bidadari. Ikutkan saya ada lagi banyak karya yang terperam. Hanya menunggu masa sesuai untuk dikongsi saja. Macam tahun lalu, saya boleh kata agak aktif melancarkan single demi single,” jelas beliau.
Pun begitu, sambungnya, disebabkan perlu patuh SOP, ia memberi kekangan untuknya meneruskan langkah sama terdahulu walaupun dua buah lagu baharu itu masing-masing disiapkan pada awal tahun 2021 dan Ogos 2021 lalu.
"Ikutkan tahun ini (2021) nak lancarkan sesuatu yang lagi besar tetapi nampak gayanya kena simpan ke tahun depan atau mendatang," katanya sambil berjanji mahu lebih aktif tahun depan.
Dalam pada itu, Yonnyboii yang hingga kini turut aktif mencipta lagu untuk penyanyi lain juga belum berjaya merealisasikan hasrat muncul dengan sebuah konsert berskala besar.
"Kerinduan nak buat persembahan dengan khayalak ramai hingga kini terus membuak buak. Tapi semua itu masih samar dengan keadaan kes harian COVID-19 yang turun naik,” jelasnya.
Atas kekangan itu, katanya, beliau membiasakan dirinya agar rapat dengan komuniti atau peminat muzik dengan menghasilkan kandungan kreatif dalam laman sosial.
“Saya kena anggap rakam persembahan di rumah atau secara virtual seperti membuat persembahan pentas,” Yonnyboii berangan.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kadangkala timbulnya perasaan rasa ‘down’ sewaktu pandemik ini.
“Pada masai itu, saya cuba mengimbangi hal fizikal dan mental sebaik mungkin. Tetapi ada ketikanya rasa lemah semangat itu menerpa. Tapi saya cuba untuk tidak terlalu larut dengannya.
“Masa 'down' itu macam macam dalam fikiran. Termasuk fikir tiada tawaran kerja bagaimana nak 'survive'. Namun saya percaya rezeki itu ada dengan izin-Nya,” cerita Yonnyboii tanpa segan silu apatah lagi sebagai anak sulung beliau masih perlu menyara keluarganya.
Yonnyboii bersama tunangnya yang bernama Nik Nazira Narriman. - Foto kredit: yonnyboii.
Begitulah bertuahya Yonnyboii kan?
Malah terbaharu, beliau memuatkan naik gambar bersama gadis yang menjadi pilihannya sebagai tunangnya, Nik Nazira Narriman. Tak sangka juga kan, seperti judul lagunya, dah bertunang pada usia muda.
Tahniah Yonnyboii yang menulis dalam bahasa Inggeris memaklumkan, "selama ini beliau tidak percaya dengan cinta, tidak percaya dengan peluang, tidak rasa konfiden sebegini mahupun rasa paling bahagia sehingga bertemu dengannya @niknazira." - KitaReporters