Ilham Faridu'Din Atta! Raja Simurgh satukan Siqma, Kmy Kmo!
Published byDALAM kalangan peminat muzik hip hop tempatan, Siqma bukanlah satu nama asing. Penyanyi rap, komposer dan penerbit ini mula menceburkan diri dalam arena hip hop tempatan pada tahun 2016. Namanya mula meniti di bibir peminat, apabila Siqma menerbitkan sendiri lagu-lagu ciptaannya yang dikongsikan menerusi laman YouTube sejak tahun 2017. : KitaReporters
Siqma menghasilkan lagu Raja Simurgh berkonsepkan ritma atas puisi.
Memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi, Siqma banyak menumpukan kepada pengalaman dan perspektifnya dalam menyampaikan mesejnya.
Pada pertengahan tahun 2019, karya-karya ciptaan Siqma atau nama sebenarnya, Rahmat Zulhilmi Abdul Razak berjaya menambat hati peminat hip hop sehingga tular dan mendapat julukan 'The New Malique’ oleh peminat.
Pada April 2020 lalu, di bawah naungan Universal Music Malaysia, Siqma tampil ke arena arus perdana dengan melancarkan dua lagu ciptaannya berjudul Cemas dan Salam 1001 secara serentak.
Lagu Cemas mengambil inspirasi daripada
situasi panik yang tercetus dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika sepanjang
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, Siqma cuba menyampaikan
mesej untuk kekal tenang semasa menghadapi gelombang pandemik COVID-19.
Manakala lagu Salam 1001 pula ditulis sebagai penghargaan terhadap semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan karier seninya sekarang.
Untuk lagu Raja Simurgh, Siqma berkolaborasi dengan Kmy Kmo.
Tidak terhenti di situ saja selepas melancarkan dua karya ini, kini Siqma kembali lagi dengan single terbaharu berjudul Raja Simurgh yang turut menampilkan rapper Kmy Kmo, yang sebelum ini popular dengan lagu Zuhud dan Tujuh Nasihat hasil kolaborasinya bersama Luca Sicta, Datuk M. Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Raja Simurgh merupakan ciptaan saya, manakala lirik ditulis bersama Kmy Kmo.
"Mengambil konsep ritma atas puisi yang mengekalkan ciri kemelayuan dalam lagu hip hop, lagu ini mengambil inspirasi melodi lagu rakyat Rasa Sayang yang digabungkan dengan rentak hip hop berserta seni kata laksana puisi.
“Lagu Raja Simurgh diilhamkan daripada sebuah buku tulisan penyair sufi berbangsa Parsi dari abad ke-12, Faridu'Din Attar yang berjudul Mantiqu't-Thair atau dalam bahasa Melayu membawa maksud Musyawarah Burung.
“Buku ini berkisar tentang perhimpunan burung dari segenap pelosok dunia yang berbahas dalam pencarian mencari raja sejati mereka, burung Simurgh.
"Ini bukanlah pertama kali, buku tulisan Faridu'Din Atta ini menjadi sumber inspirasi pengkarya muzik tempatan,” jelas Siqma mengapa beliau menjadikan buku tersebut sebagai sumber lagu ciptaannya.
Lagu dendangan Siqma penuh dengan nasihat.
Tambahnya lagi, Raja Simurgh lebih menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup atau wujud secara umum seperti tingkah laku dan amalan kita, moral, kesetiaan kita kepada agama dan banyak lagi mengenai diri kita.
"Raja Simurgh adalah peringatan bagi kita untuk selalu bergantung pada diri kita sendiri kerana pada akhirnya, hanya kita sendiri yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita.
"Ia bukan lagu ketuhanan tapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar,” katanya.
Sebagai pendatang baharu, Siqma mengakui sangat percaya keikhlasan juga adalah kunci utama untuk tampil sebagai pengkarya yang meyakinkan.
Justeru, dia sangat berharap Raja Simurgh akan membuka mata pendengar untuk mendalami setiap mesej yang disampaikan dalam liriknya.
Bukan sekadar pendengar hip hop, malah lagu ini boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat.
Siqma mahu jujur dalam berkarya.
“Semestinya, saya tidak mahu menyasarkan lagu ini kepada pengikut muzik hip hop saja khususnya.
"Sebaliknya, saya mahukan lagu ini memberi teladan dan mesra telinga kepada semua pendengar dari pelbagai latar belakang.
“Saya percaya peminat muzik sudah cukup bijak menilai estetika sesebuah karya itu tanpa mengira genre yang ditampilkan,” jelasnya lagi.
Single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. - KitaReporters