MENGAMBIL inisiatif berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras di Selangor menganjur program Takbir ‘Hours’ dalam ruang tamu atau halaman rumah bersama-sama ahli keluarga malam Hari Raya Aidilfitri 2020/1441. : KitaReporters


Ustaz Zulkifli (kiri) sedang bersiap sedia untuk bersiaran secara langsung menerusi FB memulakan takbir raya dalam Program Takbir 'Hours' bersama komuniti KRT Suadamai BTHO.


Ketua Imam Surau As Siddiq, Ustaz Zulkifli Salleh mengetuai Takbir Aidilfitri itu yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dan diikuti semua keluarga terbabit dalam komuniti Suadamai untuk melaung takbir bermula jam 9.30 malam, Sabtu, 23 Mei 2020. 

Setiausaha KRT itu, Che Nordin Ismail, berkata inisiatif itu timbul selepas berbincang dengan beberapa ahli KRT yang melahirkan rasa sedih apabila tidak dapat berkumpul di masjid atau surau untuk melaungkan takbir pada malam raya.

Menurutnya, ekoran itu timbul cadangan untuk menganjur program berkenaan dan  mendapat sokongan ramai ahli apabila dimaklumkan dalam group WhatsApp kerana menganggapnya suatu yang baharu bagi dilaksanakan.

Che Nordin Ismail 


“Malam tadi bersama keluarga masing-masing mereka mengikuti secara langsung melalui FB, takbir raya yang dibimbing oleh Ustaz Zulkifli itu dan memaklumkan melalui suatu pengalaman baharu yang penuh syahdu,” katanya.

Pengerusi KRT berkenaan, Dato Dr Abdul Rahim Mohamed, menganggap takbir secara langsung menerusi FB itu akan menjadi suatu yang normal pada masa depan jika berlaku wabak yang memerlukan kerajaan melaksanakan PKP.

“Bagaimanapun masyarakat tidak perlu gusar kerana masih boleh berinteraksi dengan komuniti lain seperti program  ini kerana ustaz yang membimbing kita itu boleh berkomunikasi dan memberi tunjuk ajar,” katanya.

Dr Abdul Rahim (kiri) bersama ahli keluarga di ruang tamu rumahnya untuk mengikuti Program Takbir 'Hours' secara langsung FB bersama Ustaz Zulkifli. 


Ahli KRT Dr Sharifuddin Ramli, berkata program itu sekurang-kurangnya menyedarkan masyarakat khusus komuniti Suadamai kerana masih boleh bergembira menyambut Aidilfitri walaupun tidak dapat menunaikan solat Aidilfitri dan melaung takbir raya di masjid atau surau.

“Takbir ‘Hours’ malam tadi suatu norma kehidupan baharu akibat pandemik Covid-19 yang terpaksa dilalui semua lapisan masyarakat dan paling penting kita perlu mematuhi PKP yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Dr Sharifuddin (depan) mengetuai ahli keluarganya untuk melaungkan takbir raya dalam Program Takbir 'Hours'.


Bagi Alias Ahmad pula, beliau menganggap program itu pengalaman manis bagi dia sekeluarga dan mungkin sekali seumur hidup dalam suasana PKP bagi mencegah penularan wabak Covid-19 yang belum selesai sepenuhnya.

“Walaupun kita tidak dapat berkumpul di masjid atau surau serta berkunjung ke setiap rumah pada malam raya untuk melaungkan takbir raya namun menerusi program ini kita dapat melakukan di rumah bersama-sama ahli keluarga dengan dibimbing ustaz menerusi FB,” katanya. 

Alias Ahmad (tengah) bersama-sama dua anaknya untuk melaung takbir raya di halaman rumahnya yang dibimbing Ustaz Zulkifli secara langsung menerusi FB.


Seorang lagi ahli KRT, Azman Ismail, berkata program itu secara tidak langsung terus menyuburkan semangat kejiranan walaupun tidak dapat bersama-sama melaungkan takbir raya di masjid atau surau seperti tahun sebelumnya.

“Kita juga mungkin dapat mempraktikkan norma kehidupan baharu iaitu menggunakan saluran Internet seperti FB untuk melakukan aktiviti apabila kerajaan melaksanakan PKP,” katanya. - KitaReporters

Azman Ismail (depan) sedang mendapatkan siaran FB Ustaz Zulkifli untuk memulakan takbir raya pada malam raya, Sabtu, 23 Mei 2020. 

38
4
2
0
0

Copy Link: