Monsoon Fun Hike! Lebih 250 peserta daki Bukit Lubuk Batu! Siap berpayung, pakai baju hujan!
Published byMESKIPUN cuaca hujan namun ia tidak menghalang lebih 250 peserta untuk memeriahkan Monsoon Fun Hike Bukit Lubuk Batu, di Kampung Lubuk Batu, Marang, Terengganu yang berlangsung pada 4 Disember 2021 lalu.
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Batu dengan Kelab Sukan dan Rekreasi Bukit Lubuk Batu itu melibatkan jarak sejauh kira-kira 4 kilometer dan pendakian setinggi 359 meter dari paras laut (mdpl).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hiking
Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata penganjuran program mendaki berkenaan secara tidak langsung mempromosikan lagi lokasi Bukit Lubuk Batu sebagai produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT).
“Aktiviti ini bukan sekadar mengalakkan gaya hidup secara sihat tetapi sebenarnya dapat menjana ekonomi kepada penduduk setempat terutamanya peniaga melalui kehadiran para peserta dari pelbagai daerah.
“Bukit Lubuk Batu ini juga turut punyai daya tarikan tersendiri dengan adanya kebun buah durian sepanjang perjalanan mendaki ke puncak. Kelebihan ini juga sebenarnya peluang kepada pekebun untuk jana ekonomi setibanya musim raja buah nanti.
“Peminat aktiviti mendaki tidak hanya datang untuk ke puncak bukit semata-mata tetapi boleh rasai pengalaman menikmati buah durian dalam kawasan kebun,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Monsoon Fun Hike Bukit Lubuk Batu.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat serta wakil dari Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Peserta tidak ketinggalan bergambar kenangan di puncak.
Sementara itu, rekod baharu turut tercipta apabila peserta pertama sampai ke puncak iaitu Muhammad Nurhafizi Mohd Kasim, 23, dari Kampung Che Lijah, Dungun hanya merekodkan masa 23 minit 52 saat sahaja.
Manakala kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Zaila Jampar, 39, muncul peserta wanita pertama tiba di puncak dengan catatan masa 33 minit 30 saat. - KitaReporters
Sebahagian individu yang menjadi tulang belakang penganjuran program Monsoon Fun Hike Bukit Lubuk Batu bergambar kenangan dengan tetamu jemputan.