Artis comel kaki kayuh sokong! Larang basikal masuk highway!
Published bySalah siapa sekarang ini? Hingga menyebabkan baru-baru ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan larangan berbasikal di laluan lebuh raya. Bagi mereka yang berdegil dengan arahan ini bakal didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tidak lebih dari tiga bulan, atau kedua-duanya sekali. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan basikal:
https://kitareporters.com/search?search=basikal
Ini berlaku apabila semakin ramai rakyat Malaysia yang menjadikan acara berbasikal sebagai 'trend' dan sukan riadah pada waktu lapang. Ia juga mungkin banyak terpengaruh dengan lambakan artis-artis ternama tanah air yang turut menjadikan berbasikal sebagai riadah mereka.
Mengulas mengenai amaran pihak PDRM ini, beberapa artis yang terkenal sebagai 'kaki kayuh' ini tampil memberi komen yang pelbagai.
Bagi penyanyi dan pelakon comel Nabila Razali, 27, beliau memandang tindakan PDRM itu sebagai suatu perkara yang cukup wajar dan positif.
Malah dia juga cuba mencadangkan agar pihak kerajaan melaksanakan lebih banyak kempen dan lokasi hari tanpa kenderaan agar orang ramai dapat menjadikan basikan dan berjalan kaki sebagai cara mereka bergerak.
"Saya selalu berbasikal di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu tapi menggunakan laluan motosikal dan sentiasa mengikut undang-undang jalan raya.
Tak naklah hobi berbasikal ini jadi satu jenayah dan bahayakan orang lain. Nasihat saya untuk penunggang yang lain cari kawasan yang lebih selamat dan ada ruang khas untuk basikal," ujarnya kepada pihak media.
Seorang lagi figura yang makin diminati ramai iaitu pengacara dan pembaca berita TV, Hawa Rizwana turut melontarkan pandangannya mengenai sukan berbasikal yang kini menjadi hobinya.
Menurut pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Rezwan, 25, tindakan pihak PDRM mengetatkan arahan berkenaan adalah untuk menjaga keselamatan semua pihak.
"Sebenarnya ada kebaikan juga PDRM keluarkan kenyataan demikian untuk keselamatan semua. Macam saya dan rakan-rakan, kami akan pilih kawasan perkampungan atau hutan untuk berbasikal.
"Sebab kawasan itu kurang menganggu pengguna kenderaan lain. Saya pun masih baru dalam dunia berbasikal ini. Nak bagi cadangan atau pendapat berlebihan pun, macam tak sesuai.
"Apa-apa pun, keselamatan memang perlu diutamakan. Saya akan ikut kayuh dengan rakan-rakan yang sudah berpengalaman dan tak akan kayuh seorang diri," katanya kepada pihak media baru-baru ini.
Antara artis Malaysia yang terkenal sebagai 'kaki kayuh' adalah seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Janna Nick, Aliff Satar, Hanez Suraya dan ramai lagi. Pastinya mereka yang sering kali menjadikan berbasikal sebagai riadah atau sukan mengeluarkan peluh ini turut bersetuju dengan tindakan pihak PDRM tersebut.
Ternyata pelbagai pihak menyambut baik kenyataan PDRM ini. Ia menunjukkan betapa masyarakat kita sedar akan kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya.
Namun, masyarakat kita agar kurang senang dengan tindakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mencadangkan agar semua basikal dalam negara ini wajar didaftarkan dan dilengkapi dengan nombor plat serta lesen berbasikal.
Diharapkan aktiviti berbasikal ini dapat menjadi suatu bentuk riadah atau sukan bagi menyihatkan badan, bukan sekadar 'trend' atau ikut-ikutan sahaja. Aspek keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain perlulah menjadi keutamaan setiap kali kita berbasikal di jalan raya. - KitaReporters