Rasyidah pecah tradisi! Wanita Melayu perintis baca berita Mandarin! Sasar jadi macam Ju Khee!
Published byRASYIDAH Abu Johan menguasai bahasa Mandarin menerusi pendidikan awal SJKC dan pergaulan dengan majoriti rakan karibnya yang berketurunan Cina. - Kredit foto: FB Rasyidah
MENONTON Ivan Toh, Margaret Gambang, Christine Ling dan Pang Chinn Fei serta Hong Ju Khee yang membaca Berita Perdana atau Buletin Utama dalam Bahasa Kebangsaan, ‘bukan lagi bernilai berita’!
Nama mereka sudah gah dan sinonim sebagai pembaca bukan Melayu dengan siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahupun TV3 yang disiarkan setiap pukul 8 malam itu.
Siapa yang kenal Rasyidah Abu Johan?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembaca berita
Mungkin rating penontonnya tidaklah setinggi Buletin Utama dan Berita Perdana tetapi para peminat setia Berita Mandarin RTM pasti cukup menyedari kehadiran anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini.
Rasyidah, 33, ialah pembaca Berita Mandarin RTM setiap pukul 12 tengah hari dan 7 malam sekali gus menjadi wanita Melayu yang merintisnya sejak hari kedua Tahun Baru Cina 2020 atau 26 Januari 2020.
RASYIDAH (kanan) turut membuat liputan lintas langsung berita dalam bahasa Mandarin dari lokasi kejadian. - Kredit foto: FB Rasyidah
Tidak pula pernah berpeluang menjadi pembaca Berita Perdana atau siaran-siaran berita berbahasa Melayu lain, dia juga hanya menyertai Meja Mandarin RTM pada 2014 selepas tiga tahun berkhidmat dengan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu.
“Ketua meja itu menawarkan saya, peranan pembaca Berita Mandarin itu bagi mempromosikan pelbagai bangsa dalam setiap siaran berita RTM.
“Sebelum ini juga sudah ada pembaca kalangan etnik Cina, Sarawak dan Sabah bagi Berita Perdana manakala seorang berdarah kacukan India-Cina bagi Berita Tamil.
“Terus saya tertarik hati malah sudah lama menjadikan Ju Khee - seorang pembaca berita dalam tiga bahasa, Melayu, Inggeris dan Mandarin dengan saluran ntv7 - idola saya. Dia sudah ‘lejen’ (hebat),” katanya.
RASYIDAH (dua dari kiri) bersama-sama rakan sekerja di Meja Mandarin RTM. - Kredit foto: TV2Mandarin
Rasyidah juga menganggap kemunculannya sebagai pembaca Berita Mandarin berjaya memenuhi impian ibunya, Noraishah Badaruddin sejak dia belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Lulusan Ijazah Komunikasi Perhubungan Awam dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Petaling Jaya, Selangor ini menambah: “Juga sebagai Penerbit Rancangan RTM, saya turun padang membuat liputan berita am dan bisnes.
“Adakalanya saya turut sumbangkan suara latar (voice over - VO), standupper (pelapor di lokasi) dan lintas langsung (crossover) berita dalam bahasa Mandarin,” katanya.
Penguasaan bahasa Mandarinnya banyak dibantu pendidikan awalnya di SJKC Hwa Aik (Arau, Perlis), SJKC Chung Shan (Bayan Lepas, Pulau Pinang), SJKC Tsung Wah (Kuala Kangsar, Perak), Sekolah Tinggi Shen Jai (Ipoh, Perak) dan Sekolah Tinggi Tsun Jin, Kuala Lumpur dari 1995 hingga 2006.
BERTUGAS sebagai pembaca Berita Mandarin RTM pada Hari Raya Aidilfitri, Mei 2021 lalu. - Kredit foto: FB Rasyidah
Apa petua sampingan tertentu untuk memantapkan penguasaan dan penyampaian berita dalam bahasa Mandarin?
“Kebanyakan rakan sekerja di Meja Mandarin RTM berketurunan Cina. Pergaulan dan persekitaran itu menjadikan sebutan dan penyampaian beritanya lebih berkesan kepada penonton.
“Saya juga kerap menonton pelbagai berita TV termasuk stesen lain seperti dari China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Saya juga menggemari lagu dan siri-siri TV berbahasa Cina, membaca akhbar-akhbar Cina dan menonton konsert artis-artisnya.
“Hampir 90 peratus rakan karib saya juga daripada kaum Cina. Selain bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, saya boleh bertutur Kantonis sedikit,” katanya.
MANIS berbaju kurung ketika bertugas pada Aidilfitri 2021. - Kredit foto: FB Rasyidah
SUDAH sedekad Rasyidah menabur bakti dengan saluran Teman Setia Anda ini. - Kredit foto: FB Rasyidah
Ada pesanan daripada mentor-mentor berita RTM?
“Membaca berita bukan macam berlakon. Jangan overacting (berlebih-lebihan) dalam penyampaian, kena serius tetapi mesra dalam menyampaikan fakta dan bersesuaian isinya.
“Cuba jadikan penonton selesa dengan kita supaya maklumat sampai kepada mereka dengan berkesan,” kata Rasyidah, peminat bekas pembaca berita RTM, Tengku Permaisuri Norashikin dan Allahyarham Farit Ismeth Emir. - KitaReporters
RASYIDAH meminati pembaca berita 'lejen' tiga bahasa ntv7, Hong Ju Khee. - Kredit foto: FB Rasyidah