PROGRAM Dana FIFA bagi Pemain-pemain Bola Sepak (FFP) diwujudkan pada 2020. - Kredit foto: FIFA


SEMACAM duit raya buat 147 bekas pemain daripada lima pasukan bola sepak di Malaysia! Siapa pula pemberi atau dermawan yang budiman ini?  Tengah-tengah pandemik Covid-19 ini, samalah macam pepatah, ‘orang mengantuk, disorongkan bantal pula! 

Bukan tuan punya pasukan-pasukan atau bekas majikan mereka! Persatuan bola sepak negeri atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pun bukan tetapi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)!


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan FIFA

ANGKA pengagihan peruntukan FFP di seluruh dunia. - Kredit foto: FIFA


Lima pasukan berkenaan dikenal pasti sebagai yang telah ‘gulung tikar’ dengan anggaran geran peruntukan program Dana Untuk Pemain-pemain Bola Sepak (FFP) FIFA (FIFA FFP) itu ialah antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang.

Sebanyak 147 permohonan diterima daripada para pemain pasukan-pasukan di Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.


STUART RAMALINGAM. - Kredit foto: FAM


Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, “sebanyak 147 bekas pemain daripada lima pasukan bola sepak yang telah tutup di negara ini telah diluluskan untuk menerima geran bantuan FIFA ini.

“Dana yang lebih dikenali sebagai FIFA FFP ini diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

“Lebih 1,000 pemain di seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara ahli gabungan FIFA telah diluluskan termasuk 147 permohonan dari Malaysia,” katanya dalam siaran media menerusi laman sesawang dan sosial rasmi FAM, hari ini, Sabtu 15 Mei 2021.

IBU pejabat FIFA di Zurich, Switzerland. - Kredit foto: FIFA


Permohonan bagi pemain-pemain dari Malaysia itu dibuat menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM termasuk kes yang telah diputuskan FIFA, jelas Stuart.

Tambahnya, FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi.

Menerusi dana FIFA FFP ini ujarnya, jumlah keseluruhan wang yang bakal diterima 147 pemain dari Malaysia ini ialah sebanyak AS$456,214.48 (RM1.88 juta) iaitu 2.85 peratus daripada jumlah induk dana AS$16 juta (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.


PRESIDEN PFAM, Mohd. Safee Mohd. Sali (kiri) yang juga penyerang KL City FC dalam Liga Malaysia 2021 bersama Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif persatuan. - Kredit foto: PFAM 


“FAM berterima kasih kepada FIFA dan FIFPro kerana dana ini mampu membantu para pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan yang telah ditutup.

“Juga kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut,” katanya.

Namun begitu Stuart menegaskan, penerimaan dana ini bukan bermakna kes ini sudah selesai sepenuhnya memandangkan pemberian FIFA itu hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaikan.

“Justeru, FAM menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

“Ketika ini, PFAM sedang mengemaskinikan fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan, tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Stuart, FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke dalam akaun para pemain yang terlibat dengan segera sebaik sahaja menerima maklumat akaun bank mereka. - KitaReporters


PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino. - Kredit foto: MFL

0
0
0
1
0

Copy Link: