Tolong kami! Bantu ResQ Team jaga Si Comel UUM! Kucing jalanan amat perlukan makanan, rawatan!
Published byUMUM mengetahui tidak hanya manusia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang telah berlaku di serata dunia lebih daripada setahun dan menyebabkan ramai yang sangat terkesan.
Begitu juga nasib haiwan-haiwan gelandangan yang terbiar begitu sahaja terpaksa menahan lapar dan kebuluran sehingga mati.
Disebabkan itu, kumpulan sukarelawan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat inisiatif untuk membantu kucing-kucing jalanan dengan mengumpulkan dana untuk memberi makanan dan merawat kucing yang sakit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kucing
Menurut Mohd Noor Azhreen Shaari, Alumni UUM berkata, terdapat banyak kucing jalanan di UUM sekarang ini memerlukan bantuan dari segi makanan dan juga kebajikan.
Lagi-lagi pada pandemik Covid-19, tiada pelajar atau staff di UUM dapat membantu kebajikan kucing jalanan ini seperti selalu.
Sebelum ini, setiap kali cuti semester kumpulan sukarelawan pelajar yang menggelar diri mereka ResQ Team akan memberi rawatan kepada kucing jalanan yang sakit dan juga memberi makanan.
Sebelum ini, program bekalkan makanan kucing ini hanya diberikan pada musim cuti semester sahaja. Namun sejak PKP, ResQ Team menyambung program pemberian makanan sehingga hari ini.
Bagi membantu kucing jalanan ini, ResQ Team memerlukan bantuan daripada orang awam seperti sebelum ini dari segi kewangan dan bekalan makanan kucing.
"Kos rawatan kucing yang diperlukan daripada penyumbang boleh dibuat terus ke akaun klinik. Makanan kucing pula boleh dibeli terus kepada pembekal atau boleh poskan makanan kucing kepada kami.
"Kami memerlukan 15 paket, 20kg makanan kucing setiap bulan. Ini kerana dahulu, kami menggalakkan staff, pelajar dan orang awam untuk mengambil kucing jalanan ini sebagai haiwan peliharaan di rumah.
"Namun disebabkan pandemik, kucing-kucing ini terbiar tanpa ada sesiapa yang memberikan makanan," kata Azhreen.
Menurut Azhreen, dahulu kucing-kucing ini selalu dibawa ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan namun usaha itu terbatas kerana kedudukan klinik yang terlalu jauh dari kampus.
Klinik haiwan yang berdekatan, katanya, boleh membantu dari segi pengurangan kos merawat kucing jalanan ini.
"Bagi memberi kucing jalanan ini makanan, kami pernah menghantar surat kepada pengeluar makanan kucing dan pernah dibantu bantuan tetapi sekali sahaja.
"Bukan itu sahaja, bagi mengawal masalah populasi kucing jalanan di UUM, kami turut mendapat tajaan dari Klinik Haiwan Changloon untuk kos pemandulan kucing.
"Setiap kucing yang mendapatkan rawatan akan divaksin dan dimandulkan, dan ada antara kucing ini akan diambil orang," tambahnya.
Pada masa akan datang, Azhreen berharap pihak universiti dapat membantunya untuk mendaftarkan kelab ResQ Team di bawah Hal Ehwal Pelajar dan menyediakan cat village bagi penempatan kucing jalanan UUM.
"Saya dengan rendah diri memohon bantuan sumbangan dana bekalan makanan kucing dan bil rawatan kucing yang tertunggak," rayunya.
Jadi marilah sama-sama menyumbang dana buat bekalan makanan "Si Comel UUM" ini. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam dan juga Maybank. - KitaReporters