Tiga hari selepas kepergian Datuk Hail Amir, negara kehilangan sebutir lagi bintang seni iaitu Datuk A Halim. A Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohammad Diah, 76, diingati dengan sejumlah lagu pop yeh yeh yang popular. 

Antaranya ‘Kesah dan Tauladan’, ‘Doa dan Harapan’, ‘Kawan Lama’ dan banyak lagi. A Halim adalah antara penyanyi awal pop yeh yeh dengan merakam album bersama kumpulan De’ Fiction pada 1965.



Selain A Halim, antara penyanyi awal era pop yeh yeh eranya ialah M Osman, Jefrideen, A Ramlee dan A Rahman Hassan.

Memasuki awal tahun 1970-an, ketika pop yeh yeh mula suram, A Halim meneruskan aktiviti menyanyi dengan merakam sejumlah lagu solo dan duet dengan kumpulan The Wanderers yang sebelum ini popular bersama penyanyi J Sham.

Bersama The Wanderers A Halim merakam beberapa lagu popular seperti ‘Cenderawasih’ dan duet dengan Norlela Nasir melalui lagu ‘Ikan Di Laut Asam Di Darat’.



Era pop yeh yeh kembali disemarakkan pada tahun 1985. Ia atas usaha penyanyi dan pemimpin Orkes Nirwana JB, Datuk A Rahman Hassan yang menganjur Konsert Himpunan Penyanyi 60-an di Stadium Negara, Kuala Lumpur. 

Penyanyi dan pemuzik M Shariff terus menyemarakkan demam pop 60-an dengan menganjurkan konsert 60-an di seluruh negara dengan kumpulan muziknya Zurah 2 sebagai pemuzik pengiring.

Pop 60-an turut disemarak oleh stesen radio dan TV dengan penyiaran lagu yang kerap dan mengadakan sejumlah konsert untuk siaran TV.




Beberapa syarikat rakaman memberi peluang artis pop yeh yeh membuat rakaman semula lagu-lagu mereka.

Dalam tempoh tiga tahun, lagu dan penyanyi pop yeh yeh menjadi fenomena. Dan kehadiran penyanyi pop yeh yeh dalam pertunjukan pentas berjaya mengatasi penyanyi-penyanyi popular semasa ketika itu.

M Shariff meneruskan kegemilangan pop yeh yeh dengan mengadakan ‘Konsert Masih Ada Yang Sayang’ pada pertengahan 1996,

Konsert yang tujuan utamanya memberi penghargaan dan sumbangan kepada A Ramlie yang kurang sihat berjaya menghimpunkan ramai penyanyi dan kugiran pop yeh yeh.

Dan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan hangat. Lebih membanggakan apabila TV3 membuat rakaman konsert selama 3 jam itu. Selain di siar dalam TV, konsert itu dapat dilihat melalui laman YouTube. 



Sejumlah penyanyi pop yeh yeh yang sudah malap kembali diulit wang yang lebih mewah berbanding zaman pop yeh yeh ketika memuncak dahulu. A Halim adalah antara penyanyi pop yeh yeh yang menerima rezeki melimpah itu. 

Ketika bertugas di Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), A Halim tetap menerima undangan menyanyi pada sebelah malam.

Setelah sekian lama bertugas di LPK, A Halim kembali ke Johor Bahru dan bekerja dengan Johor Port dengan jawatan terakhirnya sebagai Penolong Pengurus Kewangan sehingga bersara pada 2007.

Dan selepas bersara A Halim semakin banyak menerima undangan menyanyi.


Selepas itu sejumlah penyanyi pop yeh yeh muncul semula tetapi kebanyakannya tidak bertahan. Namun terdapat 10 penyanyi pop yeh yeh yang masih laris dan A Halim adalah salah seorang daripadanya.

A Halim tetap menerima undangan menyanyi sehingga 2018 apabila dia menghadapi penyakity angin ahmar atau strok sehingga menyebabkan lumpuh separuh badan dan membuat gangguan pada kotak suara  dan sudah tidak dapat menyanyi dengan baik.

Walaupun sudah tidak sihat dan tidak dapat menyanyi dengan baik, namun A Halim tetap melayani baik para peminatnya. Dia tetap menyanyi walau sebaris lagu popularnya walaupun berkerusi roda. 

Ini terbukti ketika Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) di bawah kendalian pelakon Amran Nasaruddin mengadakan konsert  amal dan A Halim diundang sebagai tetamu dan menerima sumbangan.



A Halim meninggal pada 9 Mei 2024 jam 10.30 pagi di Hospital Penawar Pasir Gudang, Johor Bahru kerana sesak nafas. Takdir tidak dapat dimungkiri. 

Perkahwinan A Halim dengan  Datin Fatimah Baharin menghasilkan enam anak, 24 cucu dan lima cicit di samping meninggalkan legasi seni untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Lagu ‘Kesah dan Tauladan’ , ‘Salam Mesra’ serta 'Doa dan Harapan' ciptaan melodi, lirik dan nyanyian A Halim akan terus menjadi antara lagu pop yeh yeh yang malar segar. - KitaReporters


6
17
0
12
0

Copy Link: