Video| Apa dah jadi! AGM PHKL kecoh! Shahriman & Co. dihalang masuk! Ditangguh mengejut tanpa sebab!
Published by.
MEGAT Danish Shahriman Zaharudin (berjaket putih) dan tiga pengawal khas yang dipercayai lantikan PHKL, bertikam lidah ketika mahu memasuki dewan AGM di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
SUDAHLAH dilarang para pengawal khas sehingga timbul kekecohan kecil, mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan Majlis Eksekutif Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) Ke-28 ditangguhkan secara mengejut tanpa makluman sebabnya dan sehingga bila!
Insiden berkenaan tercetus
apabila pasukan pimpinan Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin yang juga barisan
pencabar, tidak diberikan pas masuk ke dewan AGM di sebuah hotel di ibu kota
pada 25 Januari 2025.
Beliau yang juga Presiden
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan sudah memasuki dewan beberapa kali bertikam
lidah dengan para pengawal terbabit ketika masih cuba mengajak rakan
sepasukannya supaya tetap menyertai AGM.
AGM yang dijadualkan
bermula pukul 11 pagi dan dipengerusikan oleh Presiden PHKL, I. Vikneswaran tanpa
semena-mena ditangguhkan kira-kira setengah jam kemudian.
Para hadirin mesyuarat
termasuk ahli-ahli gabungan PHKL yang berhak mengundi bagi pemilihan penggal 2025-2028
didapati beransur-ansur meninggalkan dewan dengan rasa kecewa dan terkilan.
Difahamkan pucuk pimpinan PHKL sekarang, menangguhkan AGM dan meninggalkan dewan secara mengejut atas alasan mahu merujuk kepada Pesuruhjaya Sukan terlebih dulu.
Shahriman ekoran insiden
itu mengulas: “Saya tidak tahu apa sebabnya. Pada masa sama, ada beberapa
perkara yang berlaku saya rasa di luar moral dan tatacara. Pihak pengurusan PHKL
yang saya fikir dan saya tidak tahu mengapa mereka mengambil langkah ini.
“Kami tidak diberitahu
apa-apa juga alasan kenapa AGM ditangguhkan dan saya masih tertanya-tanya. Saya
harap PHKL dapat menjelaskan kenapa tangguhkan dan berikan sebabnya kepada kami,”
tegasnya.
Beliau turut mempertikai kehadiran para pengawal khas yang disyakinya, pihak ketiga atau orang luar yang dilantik PHKL sedangkan tiada hak atau diberi kuasa yang sah untuk menjalankan kerja itu.
BARISAN pencabar Majlis Eksekutif PHKL bagi pemilihan penggal 2025-2028 pimpinan Megat Danish Shahriman Zaharudin (empat dari kiri) dalam sidang media memperkenal calon-calon mereka di Petaling Jaya, Selangor pada 24 Januari 2025.
“Penangguhan AGM ini
mengejutkan. Saya datang hari ini dengan hati yang terbuka dan gembira kerana
semua orang termasuk rakan saya datang. Saya daftar dan cari nama saya dalam persatuan, tiada
(sedangkan) saya telah jadi ahli PHKL sejak 2019,” katanya.
Shahriman menambah,
terdapat ahli tertentu Majlis Eksekutif PHKL 2022-2025 pun yang tidak dapat memasuki
dewan AGM yang seolah-olah barisan kepemimpinan sekarang cuba menggunakan
taktik yang tidak sihat berkaitan proses pemilihan.
“Saya percaya mereka meletakkan
orang-orang yang tidak berkenaan dan bukan ahli PHKL yang mengendalikan dan menyusahkan
ahli-ahli untuk masuk.
“Saya tidak faham kenapa perlu menghalang orang. Saya berharap perkara yang tidak sihat ini tidak berlaku. Saya mohon PHKL tampil maklumkan kami apakah motif mereka sebenarnya,” katanya.
I. Vikneswaran (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden PHKL, Joherman Amir (dua dari kanan) serta segelintir ahli Majlis Eksekutif PHKL 2022-2025. - Kredit foto: KHM
Beliau juga mengesan hanya pemerhati dari Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) yang menghadiri AGM ini padahal yang lain tiada malah menggesa pucuk pimpinan PHKL sekarang, dibubarkan dan menyerahkan terus kepada barisan pencabar sekiranya sukar membuat keputusannya.
“Bubar sahaja barisan
sekarang, Kalau kamu tidak boleh buat keputusan, berikan kami yang boleh buat yang
baharu, yang sihat dan panggil semua hadir. Kami akan pastikan semuanya hadiri
AGM yang telus, lancar dan teratur,” katanya.
Shahriman mengingatkan pucuk
pimpinan sekarang bahawa apa juga keputusan harus dibuat secara bersama dan
dibincang dengan ahli-ahli gabungan iaitu pihak tertinggi yang berhak menentukan
siapa yang menduduki Majlis Eksekutif PHKL.
Pemilihan penggal baharu majlis berkenaan sepatutnya diadakan pada 28 Disember 2024 lalu. Shahriman pernah menerajui persatuan ini dari 2019 hingga 2022.
Selain Presiden dan Timbalan Presiden, jawatan lain yang menjadi rebutan ialah Naib Presiden (lima termasuk seorang wanita), Setiausaha, Bendahari dan sembilan wakil ahli gabungan serta dua juruaudit dalaman. - KitaReporters
POSTER barisan pencabar Majlis Eksekutif PHKL bagi pemilihan penggal 2025-2028 pimpinan Megat Danish Shahriman Zaharudin.