Nak bertanding atau tak? Teka-teki Sumali! Pertahan Presiden PSM? Rebut No.1 Istaf? Thailand dah lama!
Published byMOHD. Sumali Reduan (kiri) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM 1/2025 di ibu kota. - Kredit foto: PSM
“ANTARA Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), mana yang sampai dulu?”
Seperti satu teka-teki, Datuk Mohd. Sumali Reduan membayangkan
hasratnya untuk merebut kerusi No. 1 Istaf sama ada sebelum atau selepas
mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan PSM 2025-2028 pada 29 Jun 2025 ini.
Presiden PSM itu kembali berura-ura tentang
Kepresidenan Istaf sekalipun katanya di Bangi, Selangor pada 17 November 2024
lalu, belum terfikir ke arah itu dan hanya mahu bertumpu kepada pembangunan akar
umbi sepak takraw Malaysia terlebih dulu.
“Jawatan Presiden Istaf saya kena tengok (jika) ada
ruang dan ilham. Yang ini dalam pertimbangan.
“Serius tidak serius, sudah lebih 30 tahun, Presiden Istaf diberi kepada Thailand (sejak penubuhan Istaf pada 1992). Kalau kita biar pun sampai 50 tahun pula nanti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM 1/2025 di Kuala Lumpur pada 12 Januari 2025.
PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit (dua dari kiri), Abdul Halim Kader dan Boonchai Lorhpipat ketika mesyuarat pengurus pasukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-37, 2024 di Korat. Kiri ialah Naib Presiden PSM, Datuk Abu Jimi Samat. - Kredit foto: PSM
Ahli perniagaan alatan sukan dari Thailand, Boonchai Lorhpipat
kini menjadi Pemangku Presiden Istaf sejak 4 Oktober 2023 lalu menerusi
mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Jinhua, China ekoran kematian Presiden persekutuan
rakan senegaranya, Charouck Arirachakaran pada 21 Ogos 2023 lalu.
Charouck, mantan mejar jeneral, hanya pernah ditentang sekali sepanjang memimpin Istaf, namun mempertahannya setelah menewaskan Karen Tanchanco-Caballero dari Filipina pada 29 Julai 2022 lalu dalam Kongres pemilihan penggal 2022-2026 di Bangkok, Thailand.
MOHD. Sumali Reduan yang mengapit dua Naib Presiden PSM, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman (tengah) dan Wan Husni Abdullah, mulai menimbangkan hasrat menjadi Presiden baharu Istaf.
Sumali juga mempersoalkan perlunya Kepresidenan Istaf itu terus dipangku oleh Boonchai lebih lama namun dia turut penasaran tentang tarikh pemilihan berikutnya badan induk itu walaupun penggal sebenar pentadbiran akan berakhir pada 2026.
“Saya pernah tanyakan isu ini kepada Datuk Abdul Halim
Kader (Setiausaha Agung Istaf) dan jawapannya berbalik kepada saya, “bila kamu
mahu?,” kata beliau yang juga Naib Presiden Istaf secara lantikan.
Walau bagaimananapun soal sama ada Kepresidenan PSM pula mahu terus dipertahan oleh Sumali sejak memenanginya tanpa bertanding pada 12 Februari 2022 ulasnya, “saya belum ada ilham lagi. (Tarikh pemilihannya) pun lama lagi.”
ANTARA ahli Jawatankuasa Tertinggi PSM yang menghadiri mesyuarat bil. 1/2025 dipengerusikan Mohd. Sumali Reduan (kanan) di sebuah hotel di ibu kota pada 12 Januari 2025. - Kredit foto: PSM
Sementara itu Jawatankuasa Tertinggi PSM katanya,
memutuskan beberapa perkara lain seperti:
- Pelancaran Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 (9 hingga 18 Mei) dan majlis undian dijadualkan antara dua atau tiga minggu selepas Aidilfitri (April 2025).
- PSM menetapkan sasaran ke perlawanan akhir Piala Asia ini kepada skuad negara dalam keempat-empat acara (regu berpasukan, regu, beregu dan kuadran) kerana perlu memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
- PSM akan menghantar pasukan negara ke Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2025 di Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac 2025 (juga bulan puasa Ramadan) dalam acara beregu dan kuadran lelaki dan wanita sebagai pemanas badan ke Piala Asia.
- Siri perlawanan ujian (sparring) skuad negara dengan kelab Thailand diatur April 2025 di Kuala Lumpur juga persediaan menjelang Piala Asia.
- Lima pemain negara dalam Program Podium 2025 yang masih sukar mendapat pelepasan majikan dan terikat dengan pengajian di universiti mungkin perlu ditukar dengan pemain lain. Mereka ialah Amar Roslan, Zuhri Zain (tekong), Hafizul Hayazi Adnan, Khairul Aiman Rosdi (perejam) dan Zuleffendi Sumari (pengumpan).
- Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-58 terpaksa ditunda ke 2026 kerana kepadatan jadual pertandingan antarabangsa dan tempatan lain.
- Takwim pertandingan utama PSM 2025 meliputi Kejohanan Sepak Takraw Belia Bawah 20 Tahun Kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan (7-9 Februari), Liga Sepak Takraw (STL) (Jun hingga Ogos) dan Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali (September).
- PSM akan cuba memohon menjadikan Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur yang di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN) sebagai Akademi Sepak Takraw Negara.
ZUHRI Zain terikat dengan pengajian di universiti yang menyukarkannya menyertai skuad sepak takraw negara bagi Program Podium 2025 terutama menjelang Piala Asia Astaf pada Mei 2025 ini. - Kredit foto: ST