Video| Kuatkan Jati Diri! Usah lupa asal usul budaya, warisan bangsa! Album terbaharu Faizal Tahir!
Published by.
Faizal Tahir bersama duonya, Glowrush.
Faizal Tahir atau pemilik bernama penuh, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 46, tidak perlu diperkenal lagi.
Penyanyi komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman ini boleh dikategorikan sebaris sifu muzik Malaysia, Datuk M. Nasir waima sering menghasilkan karya-karya berkisarkan tentang kehidupan, realiti dan kemanusiaan.
Tidak hairanlah dalam album terbaharunya, ‘Let Zapin: Jati Diri’ yang merupakan hasil kerjasama dengan rakan penerbit muda, Glowrush di mana mereka bergerak sebagai duo, Faizal turut menjemput M. Nasir serta Altimet sebagai penyanyi undangan.
Pemilihan mereka dibuat kerana pengaruh besar yang mereka miliki serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.
Mengangkat semangat jati diri melalui album terbaharunya itu, Faizal melakukan gimik istimewa apabila majlis pelancaran album dilangsungkan mengikut konsep kenduri kendara dan rewang.
Faizal memilih Rumah Wak Lan bertempat di Kampung Bagan Lalang, Sungai Pelek, Selangor sebagai lokasi pelancaran album dan jamuan makan ‘Let Zapin: Jati Diri’ pada 2 Februari 2025 lalu.
Ternyata pemilihan Rumah Wak Lan bertepatan dengan lagu ‘Orang Kampung’, merupakan lagu pertama daripada album ‘Let Zapin: Jati Diri’ yang akan dipromosikan terlebih dahulu.
‘Orang Kampung’ adalah sebuah lagu yang ceria dan penuh semangat, meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di kampung.
Dengan melodi yang rancak dan lirik yang menggambarkan keindahan budaya serta sikap mesra orang kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa.
“Konsep ini dipilih kerana ia sangat dekat di hati saya kerana ia melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan, dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden sekarang ini, “ ujar Faizal Tahir atau lebih mesra disapa dengan nama singkatannya FT sahaja.
Sambung beliau, album berkenaan bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.
Faizal Tahir dan Glowrush melancarkan album mereka, 'Let Zapin: Jati Diri' di Rumah Wak Lan, di Kampung Sungai Pelek, Selangor berkonsepkan kenduri kendara baru-baru ini.
“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang. Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,” tambah FT.
Dari segi susunan muzik dan lirik, ‘Jati Diri’ berbeza daripada album-album Faizal sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan.
Faizal menekankan bahawa cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album ini sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.
“Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu penghormatan kepada nilai-nilai dan semangat kebersamaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung.
“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional. Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda,” jelasnya.
Sesuai untuk dinyanyikan bersama, ‘Orang Kampung’ mengajak semua untuk menghargai asal-usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan.
Video lirik ‘Orang Kampung’ sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube Faizal Tahir manakala album' Jati Diri' boleh didengar dalam semua platform penstriman digital mulai 7 Februari 2025 dan dijangka membawa satu gelombang baharu dalam industri muzik tempatan dengan menampilkan gabungan identiti budaya, nilai tradisional, dan mesej penuh makna.
Dengar pesan FT melalui pantun yang diucapkan untuk penonton kepada krew Hot Squad, Fizi Ali dan Aisha Mazlin dalam Instagram @hotfm976. - KitaReporters