MIRNAWAN Nawawi (dua dari kiri) menayangkan hadiah kemenangan ASPAC selaku juara Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 di Gelanggang PickleJam, Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 


HANYA dengan kerap bermain empat lima kali seminggu menentang pemain yang lebih handal dan menonton petua jurulatih pickleball menerusi YouTube.

Dua kaedah itu sahaja sudah memadai untuk membawa Datuk Mirnawan Nawawi membantu pasukannya, ASPAC menjuarai Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 pada 8 Februari 2025 lalu.

ASPAC pimpinan ‘The Boss’ (julukannya) memenangi 16 kali dan kalah lima kali daripada 21 perlawanan liga sepusingan di Gelanggang PickleJam, Kepong, Kuala Lumpur yang disertai lapan pasukan.


MIRNAWAN Nawawi (kiri) dan Lim Ju En beraksi sebagai beregu campuran ASPAC pada Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 di Gelanggang PickleJam, Kepong, Kuala Lumpur. - Kredit foto: SportsUnite


Kata Mirnawan, 54, si legenda hoki negara, “saya hanya mula berjinak-jinak dengan sukan pickleball ini pada Mei 2023 lalu dan sering bermainnya antara empat atau lima kali setiap minggu.

“Saya mempelajarinya secara beransur-ansur dengan menentang pemain yang lebih handal dan menimba beberapa petua jurulatih menerusi YouTube,” kata pemenang pingat perak hoki Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan pingat gangsa Sukan Asia Beijing 1990.

Mirnawan juga merupakan Olimpian Sukan Olimpik Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000.

Menariknya ialah ASPAC turut dibarisi dua pemain bola sepak wanita Harimauwati Malaya, Steffi Sarge Kaur dan Intan Sarah Anisah Zulgafli selain Nabil Fikri Hairi.

Turut memperkasa pasukan ini ialah Jay Jay Dennis dan Lim Ju En dengan mereka membawa pulang hadiah kemenangan selaku juara yang berupa baucar alatan pickleball bernilai antara RM600 hingga RM1,500. 

Sementara itu, KL Patriots yang menang 14 kali dan kalah tujuh perlawanan, dinobatkan sebagai naib juara, manakala tempat ketiga menjadi milik Pickle Noobs yang mengumpul 12 kemenangan dan sembilan kekalahan. 


GANDINGAN campuran KL Patriots, naib juara Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025, cuba membalas pukulan lawan. - Kredit foto: SportsUnite


Pickleball dimainkan dengan raket atau pemukul ala pingpong untuk memukul bola bersaiz besbol yang perlu melepasi jaring mirip tenis di sebuah gelanggang bersaiz badminton.

Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 menggunakan format liga sepusingan mengandungi perlawanan beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran namun gandingan pemainnya diwajibkan berbilang kaum.  

Setiap pasukan berkongsi dan menyokong padu wawasan muhibah menerusi sukan yang diperjuang penganjur kejohanan, SportsUnite malah mereka memaparkan semangat setiakawan dan kesukanan yang tinggi.

“SportsUnite terus menjadi satu-satunya kelab penganjur yang mempromosi semangat muhibah memnerusi penyertaan pemain-pemain daripada pelbagai kaum dalam semua pasukannya,” kata Pengerusi SportsUnite, Shergar Reza.   


BEREGU wanita ASPAC, Steffi Sarge Kaur  (kiri) dan Intan Sarah Anisah Zulgafli mempamerkan kehandalan mereka dalam pickleball selepas bola sepak dalam Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 di Kepong. - Kredit foto: SportsUnite


SportsUnite tambahnya, berterima kasih dengan sokongan Antabax sebagai penaja utama Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 selain penaja bersama, Mypickleball, StandOut dan PickleJam.

“Sambil syabas diucapkan buat ASPAC yang muncul juara, SportsUnite juga berasa semua pasukan di sini tetap merupakan pemenang dalam menganjurkan semangat muhibah dan setiakawan,” katanya.

Tahniah kepada SportsUnite atas penganjuran PickleUnite dan semua pasukan menikmatinya malah kejohanan unik ini membuktikan inilah antara cara terbaik untuk menyatukan pelbagai kaum serta perlu diteruskan pada masa hadapan, ujar Mirnawan. - KitaReporters


BEREGU wanita KL Patriots mempamerkan semangat muhibah dan setiakawan yang menepati konsep dan wawasan yang sering diperjuang oleh penganjur SportsUnite. - Kredit foto: SportsUnite 

6
16
0
20
0

Copy Link: