Video| Setelah 30 Tahun Tiba Masa Zainalabidin sambung mesej Hijau! Konsert Di Istana Budaya 30 Sept!
Published byPenyanyi. ‘evergreen’ yang sinonim dengan lagu bergenre muzik dunia dan kerohanian yang berkisar pada kasih sayang, kemanusiaan dan alam sekitar, Datuk Zainalabidin kembali menyemarakkan industri seni setelah lebih 30 tahun lagunya ‘Hijau’ berkumandang.
Berjudul ‘Tiba Masa’, ia merupakan kesinambungan kepada lagu pertama nyanyiannya itu setelah mengorak langkah sebagai penyanyi solo apabila meninggalkan kumpulannya ‘Headwind’ sebagai vokalis pada tahun 1989.
Kenapa begitu lama sekali pemilik bernama penuh Zainal Abidin Mohamed, 63, ini mengambil keputusan untuk mengeluarkan lagu baharu?
“Bagi saya hiburan adalah satu seni. Saya tidak mahu mengeluarkan lagu sekadar untuk hiburan tetapi lagu yang ada seni kerana itu saya tidak mahu bekejar untuk hanya menghasilkan lagu dan hanya ‘Tiba Masa’ kini adalah kesinambungan pada mesej itu,” ujar Zainal Abidin ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan single terbaharunya ‘Tiba Masa’ dan pengumuman 'Konsert Tiba Masa Zainalabidin', bertempat di Bangsar, Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang dihadiri bersama Pengarah Urusan Bsync Live, Adam Mazelan.
Turut dilancarkan pada hari sama adalah video muzik ‘Tiba Masa’ yang diarahkan oleh isteri Zainalabidin, Datin Angelina Asmawi yang hadir bersamanya.
Mengambil masa hanya 2 jam sahaja untuk melengkapkan penggambaran, video muzik tersebut mengetengahkan teknologi AI terkini, pertama seumpamanya di Malaysia.
Dengan mengetengahkan latar belakang alam sekitar, video muzik tersebut telah dipersembah buat pertama kalinya kepada hadirin pada majlis sebelum diikuti dengan persembahan secara langsung daripada Zainalabidin sendiri.
“Semasa menyanyikan lagu ‘Hijau’ 30 tahun yang lalu, saya selalu ingatkan orang ramai bahawa kita perlu menjaga alam sekitar, namun tidak ramai yang ambil peduli, akhirnya sekarang kita menanggung akibatnya,” sambung Zainal.
Berkongsi lanjut, Zainal yang memang lantang dalam bicaranya apabila berkait tentang isu pemuliharan dan keseimbangan ekologi dalam persekitaran semula jadi planet demi
kesejahteraan generasi semasa dan akan datang berharap “Tiba Masa’ dapat terus mengingatkan umum pesanannya selari dengan konsep kelestarian alam sekitar yang gigih diperjuangkan.
Menurut beliau, idea menghasilkan lagu berdurasi tiga minit lebih itu tercetus apabila saban hari semakin banyak isu pencemaran dan kemusnahan alam sekitar menjadi liputan utama akhbar.
Sehubungan itu, sempena meraikan empat dekad legasinya di dalam industri muzik tanah air, lagu ‘Tiba Masa’ yang mendapat sentuhan emas daripada komposer disegani, Michael Veerapen, dengan dilengkapi bait-bait lirik tulisan Mukhlis Nor turut menjadi judul pada ‘Konsert Tiba Masa Zainalabidin’ yang akan diadakan di Istana Budaya pada 30 September 2023 inj.
Zainalabidin bersama Adam Maselan. Foto kredit: @tibamasa.zainalabidin.
Sementara itu, sebagai penganjur konsert, Adam Mazelan memberitahu, tiket konsert telah mula dijual sejak 4 Ogos 2023 lalu melalui www.ticket2u.com.my.
“Setakat ini sambutan amatlah menggalakkan di mana kami menawarkan enam tier tiket pada harga bermula RM169 untuk tempat duduk Aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori Emas,” ujar Adam sambil menyasarkan tiket akan habis terjual untuk konsert yang bakal berlangsung untuk satu malam sahaja.
Bercerita lanjut, Zainalabidin memaklumkan beliau akan membuat persembahan tanpa henti selama 2 jam dengan menyampaikan lagu-lagu popularnya.
Lebih menarik apabila Zainal akan terus diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen selain kemunculan istimewa kumpulan Headwind.
Bersama Headwind, Zainal bakal menyampaikan lagu-lagu hit mereka antaranya seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin, dan Hanya Di Radio.
Untuk rekod, kali terakhir kemunculan Headwind bersama Zainalabidin dalam sebuah persembahan adalah sewaktu konsert beliau pada 5 tahun yang lalu.
Ditanya. mengenai penampilannya yang masih cergas, Zainalabidin memberitau sentiasa menjaga pemakanan dan kesihatannya.
“Dalam persiapan sebelum konsert saya sering membuat pemeriksaan doktor untuk mendapatkan nasihat dan tip terbaik bagi mengekalkan stamina. Yang penting kita perlu jaga pemakanan, tidor dan solat,” akhirinya sambil memberi nasihat kepada artis-artis muda sekarang agar fokus kepada nyanyian jika mahu menjadi artis terbaik.
Menegur penampilan Aina Abdul yang memilih pakaian ‘pelik pelik’ ketika beraksi di pentas kata Zainal panjang lebar, “Aina seorang penyanyi yang baik, tidak perlu bergaya dalam pakaian yang pelik-pelik, Apa sebenarnya yang dia mahukan?
"Sebaiknya pilih dan fokus menjadi penyanyi yang bagus daripada tampil dengan gaya pelbagai fesyen unik. Nak dikenali kerana menyanyi atau kerana penyanyi yang pakai baju pelik-pelik?
Atas komen jujurnya itu, Zainal mendapat kecaman daripada netizen yang mensifatkannya sebagai ‘pakcik tua nak mampus, kubur dah panggil’.
"Peminat sekarang kurang ajar dan bodoh. Mereka selalunya memuat naik dahulu, kemudiannya baru fikir. Cuba fikir dulu baharu muat naik komen. Nak nasihat pun, tegurlah cara baik, Insya-Allaah saya terima,” balas Penghibur Terbaik di Monsieur Style Award pada 1997 dan Anugerah Perkhidmatan Vokasional pada 1999 ini.
Apa pun, ketahui kisah-kisah di sebalik tabir sekitar persiapan Zainalabidin untuk konsert di laman media sosial Facebook dan Instagram @tibamasa.zainalabidin. - KitaReporters