Sebahagian penulis dan alumni pelajar Sharodz yang hadir pada majlis pelancaran buku Kenangan Mengusik Jiwa di Pesta Buku Melaka 2022 baru-baru ini. Duduk tengah ialah Ismail Mohmd. - Kredit foto: Bonda Nor/KitaReporters

Zaman remaja sentiasa indah untuk dikenang sehinggakan kenangan tersebut mengusik jiwa sepanjang usia.

Apatah lagi buat pelajar asrama yang tinggal jauh daripada keluarga, sudah pasti banyak kenangan yang tersemat dalam ingatan hingga meningkat dewasa. Sama ada kenangan manis, pahit, suka atau duka, ia tetap menjadi pengalaman berharga yang sukar dilupakan.

Bagi meraikan imbauan memori tersebut, sekumpulan alumni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah berjaya menghasilkan sebuah buku bertajuk Kenangan Mengusik Jiwa yang memaparkan pelbagai kisah menarik tetapi punya ibrah tersendiri.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dunia penulisan buku

Bonda Nor (dua dari kanan) bersama rakan-rakan ketika melawat SMKA Sharifah Rodziah untuk mengambil gambar bagi dimuatkan di dalam buku Kenangan Mengusik Jiwa.


Penerbitan buku tersebut dapat direalisasikan selepas mereka menyertai Bengkel Penulisan Bonda Nor di SMKA Sharifah Rodziah atau lebih dikenali sebagai Sharodz dalam kalangan pelajar salah sebuah sekolah ternama di Melaka itu.

Bengkel tersebut dianjurkan pada 1 Mac 2020 sempena sambutan Jubli Emas Sharodz yang dikendalikan oleh penulis buku motivasi dan dakwah santai terkenal, Bonda Nor yang juga merupakan salah seorang bekas pelajar SMKA Sharifah Rodziah.


Bengkel Penulisan Bonda Nor diadakan pada 1 Mac 2020 sempena sambutan Jubli Emas SMKA Sharifah Rodziah.

Majlis pelancaran buku itu berlangsung di pentas utama Pesta Buku Melaka 2022 pada Ahad, 2 Oktober 2022 lalu yang diadakan di The Shore Shopping Gallery. 

Lebih mengujakan apabila para penulis dan alumni pelajar hadir dengan memakai persalinan sekolah yang lengkap. Ia bertujuan untuk mengimbau kembali kenangan lampau ketika masih bergelar pelajar sekolah.

Pengetua SMKA Sharifah Rodziah, Ismail Mohmd yang merasmikan majlis itu berkata, pihaknya bersyukur dengan penerbitan buku tersebut yang mampu mengangkat nama sekolah kepada khalayak.

"Alhamdulillah, saya perlu berterima kasih kepada Bonda Nor yang menjadi insan di sebalik kelahiran buku ini. Malah, inilah masa yang terbaik untuk kita perkenalkan Sharodz kepada masyarakat agar menjadi sekolah pilihan pertama di Malaysia," ujar beliau yang telah bergelar Pengetua Sharodz selama enam tahun.


Ismail Mohmd (duduk, tengah) berbesar hati dengan penerbitan buku Kenangan Mengusik Jiwa yang mampu mengangkat nama sekolah tersebut di khalayak.

Diterbitkan oleh Bonda Nor Sdn. Bhd. buku Kenangan Mengusik Jiwa merupakan sebuah karya antologi mengandungi 34 kisah yang mampu memberi pedoman dan pengajaran buat pembaca. Kebanyakan kisah yang ditulis mengimbau kenangan ketika masing-masing bergelar pelajar di sekolah tersebut.

Sementara itu, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan berkata, beliau sangat gembira kerana dapat menghasilkan buku Kenangan Mengusik Jiwa yang disifatkan sangat berharga untuk dirinya selaku penulis genre dakwah santai terkenal di Malaysia.

"Walaupun penerbitan buku ini mengambil masa yang agak lama disebabkan banyak perkara terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya bersyukur kerana akhirnya ia dapat direalisasikan.



Antara coretan Bonda Nor yang dimuatkan dalam buku Kenangan Mengusik Jiwa.

"Dahulu, saya memang antara pelajar yang nakal di sekolah dan saya pernah membenci sekolah ini. Namun saya akui satu persatu hakikat yang perlu saya syukuri. 

"Sekolah di atas bukit ini telah mendidik hati saya dengan sebegitu banyak perkara. Sekolah ini telah mengeluarkan kemampuan diri saya agar menjadi insan yang lebih baik dan menghargai nikmat nyawa yang Allah kurniakan," jelasnya.

Anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu itu juga merupakan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i selain bergelar penulis best-seller dengan lebih 50 karya.


Deretan buku yang ditulis oleh Bonda Nor serta anak didiknya dalam pelbagai pasukan termasuklah Akademi Bonda Nor, Golden Circle Akademi Bonda Nor dan Ekspres-i United.


Tambah beliau, pihaknya telah menerima sejumlah tempahan daripada rangkaian kedai buku terbesar di Malaysia untuk buku Kenangan Mengusik Jiwa. Bagaimanapun, Bonda Nor terpaksa menolak permintaan tersebut dengan baik kerana stok buku berkenaan mahu terus diedarkan kepada sasaran yang tepat.

"Buku ini dicetak dengan misi tersendiri iaitu untuk disasarkan kepada para pelajar seluruh sekolah di Melaka. Kami telah melancarkan projek Pemahsyuran As-Sharifah yang mana ia memberi peluang kepada para alumni sekolah ini untuk turut sama dalam program wakaf buku Kenangan Mengusik Jiwa.


Projek Pemahsyuran As-Sharifah akan mewakafkan buku Kenangan Mengusik Jiwa untuk disasarkan kepada para pelajar sekolah di seluruh Melaka.


"Ayuh, alumni Sharodz! Kami para penulis telah menggalas amanah sebaik mungkin untuk menjadikan naskhah ini satu realiti. Now, it's your turn untuk turut sama menyumbang bakti mengharumkan sekolah yang kita cintai," tulis Bonda Nor dalam satu hantaran dalam Facebook beliau.

Sepanjang terlibat sebagai pempamer pada Pesta Buku Melaka, Bonda Nor turut berpeluang menemui ramai peminatnya termasuk seorang murid sekolah yang membeli buku Kenangan Mengusik Jiwa kerana bercita-cita tinggi untuk bergelar pelajar Sharodz.


Salah seorang peminat cilik Bonda Nor yang berusia 11 tahun membeli buku Kenangan Mengusik Jiwa kerana bercita-cita untuk masuk ke sekolah tersebut.


Pesta Buku Melaka 2022 berlangsung selama tujuh hari bermula pada 26 September hingga 2 Oktober lalu. Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali. Malah, beliau sempat meluangkan masa melawat booth Bonda Nor ketika merasmikan program tersebut. 

Untuk maklumat lanjut mengenai projek wakaf buku Kenangan Mengusik Jiwa, boleh klik pautan https://bondanor.onpay.my/.../projekpemahsyuranassharifah  

Semoga apa yang kita wakafkan memberi manfaat untuk dituai hasilnya di akhirat sana. Insya-Allah - KitaReporters


Sulaiman Md. Ali meluangkan masa melawat booth Bonda Nor ketika merasmikan Pesta Buku Melaka 2022. - Kredit foto: FB Ketua Menteri Melaka

13
10
0
12
0

Copy Link: