Faisal tiada lagi! Pau panggil Stuart! Pertaruh 2 tonggak B-19! Harimau Malaya bertandang ke NZ!
Published byKESEBELASAN utama Harimau Malaya yang menewaskan lawan di ranking dunia lebih tinggi, Lebanon 1-0 dalam final Pestabola Merdeka, turut dipertaruh ke Auckland. - Kredit foto: FAM
NEW Zealand atau digelar 'Si Serba Putih' dilaporkan memanggil ramai pemain yang berpangkalan di Eropah khususnya England bagi melayan Malaysia, 14 Oktober 2024. - Kredit foto: AWNZ
PAU Marti Vicente bagaikan sudah menemui barisan teras Harimau Malaya bagi siri perlawanan antarabangsa tahap 1 menentang New Zealand, India dan Kejohanan ASEAN 2024, bermula pada 14 Oktober, 19 November dan 8 Disember 2024.
Masih tanpa Faisal Halim atau Mickey, sayap kiri Selangor FC
yang kian pulih daripada kesan lecuran simbahan asid, ketua jurulatih Malaysia
ini mengekalkan 23 daripada 26 anak buahnya yang menjuarai Pestabola Merdeka
Ke-43 dengan menewaskan Lebanon 1-0 pada 8 September 2024 lalu.
Tiga nama dalam skuad Pestabola yang tercicir dalam senarai 27 pemain yang
dipanggil Pau kali ini sebelum pasukan bertandang ke Stadium North Harbour,
Auckland, New Zealand ialah penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan dua
perantara, Afiq Fazail dan Zhafri Yahya.
Zhafri, pemain Kuala Lumpur City FC yang kerap tersenarai tetapi belum sempat mengecapi kap sulung Harimau Malaya sejak Piala Raja Thailand 2023, kali ini hanya diletakkan dalam Senarai Bersedia 11 pemain sekiranya terdapat perubahan antara 27 pemain itu.
PAU Marti Vicente sudah memenangi dua perlawanan pertamanya sebagai ketua jurulatih Malaysia termasuk menewaskan Filipina 2-1 dalam separuh akhir Pestabola, 4 September 2024 lalu. - Kredit foto: FAM
Menurut senarai daripada laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), warga Sepanyol itu menamakan semula perantara Sabah FC, Stuart Wilkin, 26, sambil menyenaraikan tiga pendatang baharu - Azim Al-Amin Kamaruddin, Haziq Aiman Esa dan Haykal Danish Haizon.
“Stuart tidak terpilih ke Pestabola Merdeka (kali
akhir mewakili negara, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang
Kyrgyzstan di Bishkek dan Taiwan di Bukit Jalil, 6 dan 11 Jun 2024 lalu). Azim ialah penjaga gol Selangor
FC (yang beraksi pada Piala Asia Bawah 23 Tahun di Qatar, April 2024).
“Haziq dan Haykal
merupakan penjaga gol dan perantara skuad Bawah 19 Tahun negara yang baru
kembali daripada Kelayakan Piala Asia B-20, 2025 di Dushanbe, Tajikistan dari 21 hingga
29 September 2024 lalu,” lapor laman berkenaan pada 3 Oktober 2024.
Haykal turut menjaringkan satu daripada tiga gol sepanjang kempen tim B-19 Malaysia ketika menewaskan Oman dengan keputusan 2-1.
STUART Wilkin (8) lincah mengatur serangan dari tengah bahkan memiliki sepakan deras kedua belah kakinya lagi tepat ke gawang, kembali menambat hati Pau Marti Vicente. - Kredit foto: FAM
Penyenaraian Azim, Haziq dan Haykal yang menghampiri kap sulung senior antarabangsa mereka di Auckland berkemungkinan besar dipercayai atas saranan oleh penolong ketua jurulatih Harimau Malaya, Juan Torres Garrido yang juga ketua jurulatih B-23 dan B-19 negara serta rakan senegara Pau, 44.
Skuad 27 pemain negara akan berlepas ke negara Kiwi itu pada 6 Oktober 2024 dan membuka kem latihan selama seminggu menjelang menentang ‘Si Serba Putih’ di Auckland tanggal 14 Oktober 2024 dan pulang ke tanah air, sehari berikutnya.
New Zealand mengalahkan Malaysia 1-0 dan 2-1 ketika pertemuan akhir dalam siri persahabatan antarabangsa di Taman Ratu Elizabeth II, Christchurch dan Stadium North Harbour, Auckland pada 19 dan 23 Februari 2006 dengan gol tunggal pelawat dijaringkan oleh Safee Sali.
AKSI perantara B-19 Malaysia, Haykal Danish Haizon (10) ketika mengekang B-19 Korea Utara 0-0 dalam Kelayakan Piala Asia B-19 di Dushanbe malah membocori gawang Oman menerusi sepakan penalti. - Kredit foto: FAM
SKUAD NEGARA KE AUCKLAND:
Penjaga gol - Ahmad
Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim FC), Azri Ab. Ghani (Kuala Lumpur City
FC) Azim Al Amin Kamaruddin (Selangor FC), Haziq Aiman Esa (Johor Darul Ta’zim FC
II).
Benteng - Matthew Davies, Feroz Baharudin, La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim FC), Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Dominic Tan, Daniel Sang Ting (Sabah FC), Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC), Dion Cools (Buriram United FC, Thailand).
Perantara – Nooa Hamzah Laine (Selangor FC), Haykal Danish Haizon (Selangor FC B-23), Stuart Wilkin (Sabah FC), Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC, Vietnam).
Sayap - Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim FC), Safawi Rasid, Akhyar Rashid (Terengganu FC), Adib Ra’op (Penang FC).
Penyerang - Romel Morales (Johor Darul Ta’zim FC), Darren Lok (Sabah FC), Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC).
AZIM Al-Amin Kamaruddin (16) begitu menyerlah sebagai penjaga gol B-23 negara dalam Piala Asia B-23 di Qatar dan Liga Malaysia dengan Selangor FC sehingga memikat barisan jurulatih Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM