Hari Kidal Sedunia! Jagoan kidal kita! Choong Hann, Beng Kiang, Boon Heong, Kim Hock, Safawi, Rafiq!
Published byTANGGAL 13 Ogos setiap tahun merupakan sambutan Hari Kidal Sedunia. Hari berkenaan mulanya dikesan pada 1976 oleh Dean R. Campbell, pengasas Kelab Tangan Kidal.
Hari Kidal
Sedunia diasaskan bagi meningkatkan kesedaran mengenai cabaran dan pengalaman
yang dihadapi orang yang mengutamakan tangan dan kaki kidal dalam urusan
hariannya di dunia yang kebanyakan sistemnya menggunakan kedua-dua anggota badan sebelah
kanan.
Dikatakan tujuh hingga 10 peratus daripada populasi dunia diwakili oleh ‘Si Kidal’. Namun dalam arena sukan, bukan sedikit penggemar pukulan dan sepakan kidal yang telah mencipta nama dan pencapaian yang cukup hebat serta memukau warga dunia.
YAP Kim Hock (kanan) dan Cheah Soon Kit membawa Malaysia menaiki podium perak Sukan Olimpik Atlanta 1996.
WONG Choong Hann, perseorangan kidal negara naib juara dunia 2003 dan Piala Thomas 1998 serta 2002. - Kredit foto: BAM
Malaysia
sahaja sudah mempunyai ramai jagoan badminton kidal seperti Wong Choong Hann,
Yong Hock Kin, Soo Beng Kiang, Yap Kim Hock dan Choong Tan Fook serta Tan Boon
Heong.
Choong Hann terkenal sebagai naib juara perseorangan Kejohanan Dunia 2003 dan bersama-sama Hock Kin memenang pingat emas berpasukan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 serta Tan Fook membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 1998.
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) menikmati jamuan ringan dengan Cheah Soon Kit (tengah) dan Soo Beng Kiang yang juga bapa saudara Soh Wooi Yik. - Kredit foto: HY
Beng Kiang juga antara tonggak skuad negara yang mengakhiri kemarau gelaran Piala Thomas di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1992 bersama-sama Datuk Cheah Soon Kit (kanan) yang kemudian mendampingi Kim Hock merangkul pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996.
Beng Kiang juga ialah bapa saudara kepada pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2021 dan Paris 2024, Soh Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia serta juara Kejohanan Dunia 2022.
Begitu juga Boon Heong-Koo Kien Keat (kanan) yang membawa pulang pingat emas Sukan Asia Doha 2006 serta bergelar naib juara Kejohanan Dunia 2010.
AKSI Safawi Rasid (11) ketika membantu Harimau Malaya menumpaskan Taiwan 3-1 dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 11 Jun 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM
Malah gelanggang bola sepak menyaksikan Safawi Rasid, perembat kidal tetapi gemar bermain di posisi sayap kanan Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang kemudiannya dipinjamkan kepada Terengganu FC.
Jaringan secara melengkung anak jati Dungun, Terengganu ini sejauh 22 meter terhadap kelab China, Shandong Luneng di depan 11,602 hadirin Pusat Sukan Olimpik Jinan pada 9 April 2019, telah dipilih majoriti para pengunjung the-afc.com sebagai ‘Gol Liga Juara Asia (ACL) Dekad Ini’.
Safawi meraih 34 peratus atau 6,777 daripada 19,933 undi pada laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ekoran sepakan deras yang menewaskan penjaga gol lawan, Wang Dalei setelah mendapat umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-59 perlawanan Kumpulan E ACL.
SAFAWI Rasid merayakan 'Gol ACL Dekad Ini' terhadap Shandong Luneng dalam ACL 2019. - Kredit foto: JDT
Rafiq Ismail dikatakan dominan dengan tangan kanan dalam kehidupan harian tetapi menyerlah sehingga muncul juara perseorangan Kejohanan Boling Dunia dan master Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menerusi lontaran deras tangan kirinya.
Siri filem cereka sukan, “Rocky” juga memaparkan bagaimana liku-liku hidup watak utamanya, Rocky Balboa lakonan Sylvester Stallone yang juga memang Si Kidal sehingga bergelar juara tinju heavyweight dunia dengan tumbukan pemusnah ‘southpaw’ (kiri).
DINA Rizal (kanan) pengasas Kelab Sports Unite dan penganjur Cabaran Boling Beregu Kidal 2017. - Kredit foto: DR
Penggiat badan bukan kerajaan (NGO) sukarela sukan – Kelab Sports Unite, Datuk Dina Rizal yang juga pengutama kidal, mengulas mengenai Hari Kidal Sedunia.
“Saya pernah diberitahu doktor ketika kecil, jika dipaksa menukar gaya dan kecenderungan kidal itu, ada kemungkinan penggunaan otak sebelah kanan pengamalnya turut terganggu,” kata pengasas kejohanan Cabaran Boling Beregu Kidal anjuran Sports Unite ini.
Kejohanan boling ini diasaskan pada 2007 dan bertahan selama lapan tahun berturut-turut ini malah tegas Dina, pernah mencungkil bakat awal Rafiq.
“Pemain boling kidal menggemari lorong sebelah kiri yang dianggap lebih licin dan melancarkan pergerakan bola sukan itu, berbanding sebelah kanan.
“Orang kidal ini ada satu teori bahawa mereka lebih bijak dan kreatif. Memang ada cabarannya sedikit bagi mereka apabila hidup dalam majoriti masyarakat yang mengutamakan tangan kanan,” katanya.
RAFIQ Ismail antara jagoan kidal boling Malaysia yang pernah dicungkil bakatnya daripada Kejohanan Boling Kidal Sports Unite. - Kredit foto: MSN
Sports Unite katanya, turut pernah cuba menganjurkan Kejohanan Badminton Beregu Kidal namun didapati sukar menarik angka penyertaan besar dan tidak sehangat sambutan terhadap boling.
“Saya berpendapat, beregu kidal-kanan ini mempunyai kelebihan dan keseimbangan dalam mengawal gelanggang mereka. Pertahanan mereka mungkin sempurna jika dibandingkan dengan gandingan kanan-kanan," katanya.
Teori Dina, 74, ini kian pasti menjelaskan pencapaian Beng Kiang-Soon Kit, Kim Hock-Soon Kit dan Tan Fook-Lee Wan Wah mahupun Boon Heong-Kien Keat.
“Begitu juga kelebihannya kalau seorang pemain kidal bola sepak apabila bertindak sebagai bek kiri dan sayap kiri,” kata Dina, bekas kapten pasukan Sekolah Victoria Institution, Kuala Lumpur – medan awal Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari mengasah bakat ‘Supermokhnya’ sehingga mengalungi Malaysia, pingat gangsa Sukan Asia 1974 dan dua pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979. - KitaReporters
DINA Rizal (baju-T gelap) menyampaikan hadiah kepada pemenang Karnival Boling Beregu Hari Kidal Sedunia Ketujuh anjuran Sports Unite pada 2014. - Kredit foto: DR