Kedua-dua penyanyi otai ini berasal Negeri Sembilan ini malah lahir juga pada tahun yang sama cuma Tomok mendahului Siti Nordiana kira-kira enam bulan awal menyebabkan beliau terlebih dahulu sambut hari jadi ke-40 sebelum Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana pada November 2024 ini.

Pun begitu, hanya selepas 25 tahun, Tomok ataupun Siti Nordiana buat pertama kalinya tampil dengan lagu duet ‘Memori Mungkin Berulang’, sebuah judul lagu yang mungkin akan melayangkan kembali memori pendengar kepada lagu duet popular Nana dengan teman baiknya, Allahyarham Achik Spin iaitu  ‘Memori Berkasih’ mahu pun lagu ‘Sejarah Mungkin Berulang’ daripada album pertama Tomok bersama New Boyz.


Tomok dan Nana akan berada di pentas konsert buat pertama kalinya.


Jadi bila digabungkan kedua-duanya terhasillah ‘Memori Mungkin Berulang’ ciptaan Tomok bersama Nana.

Yang pasti lagu ‘Memori Mungkin Berulang’ dipilih sebagai judul konsert yang bakal diadakan buat pertama kalinya juga antara Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail dan Siti Nordiana Alias pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.




“Memilih lagu duet kami iaitu 'Memori Mungkin Berulang' sebagai teraju utama konsert ini adalah  amat sinonim dengan saya dan juga Tomok. Dulu saya amat dikenali dengan Achik kerana kerap tampil dengan lagu-lagu duet yang menaikkan nama kami berdua.

“Saya juga tidak menyangka lagu duet dengan Tomok diterima ramai dan sekali lagi cetus satu fenomena baru untuk industri muzik masa kini yang dikelilingi generasi Z,” ujar Nana sambil bersyukur lagunya bersama Tomok itu diterima di luar jangka terutama daripada anak-anak muda.

Sudah tentu konsert berkenaan akan mengimbau kenangan lagu Nana duet bersama Achik yang akan dinyanyikan pula bersama Tomok seperti 'Memori Berkasih', 'Resipi Berkasih' dan 'Gurauan Berkasih'.



Sementara itu, Tomok yang juga penganjur konsert di bawah syarikatnya Popsicle Records amat berbesar hati kerana ini kali pertama bergabung dengan Siti Nordiana untuk mengimbau memori lama mereka yang mulakan karier nyanyian sejak di bangku sekolah.

“Pelbagai kejutan akan dipersembahkan sepanjang konsert ini berlangsung terutama lagu-lagu hits kami akan dinyanyikan sama ada saya mahupun Nana. Sepanjang kami bergelar penyanyi ini kali pertama kami berkolobarasi demi penyokong dan peminat,” ujar Tomok.

Beliau turut bersyukur apabila Siti Nordiana bersetuju menerima tawarannya sebagai rakan konsert.

“Ia satu peluang tidak wajar disia-siakan kerana ini antara hadiah terbaik buat peminat yang terus menyokong karier kami dari sejak awal 2000 hingga sekarang,” sambung Nana.

Janji Nana yang sentiasa menggelarkan dirinya sebagai ‘Mader’ (mother) sebagaimana yang ditulis dalam platform sosial medianya:

Yang pastinya lagu2 nostalgia lagu2 leman syahdu sentap menyentap bakal kami sajikan untuk korang insyaAllah!! Ayuh!! Beli tiket kat link yang mader bagi ni ok”.



Video muzik lagu ‘Memori Mungkin Berulang’ yang dimuat naik kira-kira empat bulan lalu oleh Nana sudah pun menerima lebih kurang 3.2 juta tontonan.

Arahan pengarah drama, Hadith Omar yang pernah mengarah beberapa buah drama popular lakonan Nana, penggambaran yang masih mengekalkan vibe 90-an hanya mengambil masa selama dua hari di Bandaraya Bersejarah Melaka. - KitaReporters

15
12
0
16
0

Copy Link: