SEMANGAT permuafakatan serta menyokong aspirasi konsep Keluarga Malaysia yang sentiasa subur antara guru dan ibu bapa diteruskan dalam Program Sarapan Kasih (PSK) anjuran Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn 2 (SMKBTHO2) untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 bermula 2 Mac 2022 lalu.

Program yang sudah dilaksanakan lebih enam tahun itu adalah bermula dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hasil daripada ilham guru Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussein Onn 2 (SKBTHO2) dengan mendapat sokongan Guru Besarnya, Zainuddin Mohd Ali.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan peperiksaan


PSK diwujudkan bagi meringankan bebanan keluarga di samping memberi keselesaan serta keselamatan kepada pelajar dalam mengharungi  peperiksaan ketika itu dan tidak dihentikan apabila negara ditimpa pula bencana pandemik Covid-19. 

Ketua Biro KSIB, Adibah Sukir, berkata pemantauan guru SKBTHO2 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara ketika itu mendapati calon yang menduduki UPSR keluar waktu rehat peperiksaan yang pendek dan tidak sempat membeli sebarang makanan di kantin kerana terpaksa beratur panjang bersama-sama pelajar lain.

Hal demikian itu menurutnya, sebahagian calon tadi terpaksa memasuki dewan peperiksaan dalam keadaan perut kosong yang sudah pasti menganggu tumpuan mereka untuk menjawab kertas soalan apabila berasa tidak selesa kerana lapar.

Jelasnya, ekoran itu satu perbincangan diadakan dengan PIBG SKBHTO2 diketuai Yang Dipertuanya, Mohd Faisal Mohd Noor yang bersetuju dengan saranan Biro KSIB untuk mewujudkan program berkenaan demi membantu kecemerlangan pelajar dalam UPSR ketika itu.


Pengetua SMKBTHO2, Zainap Sidek (kiri), Mohd Faisal dan Adibah menunjukkan isyarat bagus Program Sarapan Kasih.


“Apabila mendapat maklum balas yang positif daripada pelbagai pihak khusus dalam kalangan guru dan ibu bapa SKBTHO2 program itu diteruskan di SMKBTHO2 yang terletak bersebelahan apabila mendapat persetujuan Yang Dipertua PIBGnya, Dato’ Mohd Halim Rahmat Ali kira-kira lima tahun lalu.

“Pada ketika itu menjadi cabaran kepada ahli Biro KSIB untuk bekerjasama serta bertungkus lumus menyediakan makanan berkhasiat di bawah program berkenaan untuk calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan SPM,” katanya.

Adibah berkata, ahli Biro KSIB tidak mengenal erti penat apabila pandemik Covid-19 melanda negara program berkenaan tetap diteruskan hingga sekarang walaupun hanya untuk menyediakan makanan bagi calon SPM sahaja berikutan dua peperiksaan UPSR dan PT3 ditangguhkan.


Ahli Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) PIBG SMKBTHO2 menyiapkan proses agihan sarapan kepada calon SPM.


Menurutnya, sejak pandemik Covid-19 program berkenaan menjadi perlu kerana calon SPM akan sentiasa berada di dalam dewan peperiksaan walaupun pada waktu rehat sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Tambahnya, dengan dibantu oleh sukarelawan dalam kalangan ibu bapa ahli KSIB serta guru bertugas akan membawa makanan tersebut ke dewan peperiksaan dan pelajar hanya dibenarkan mengambil makanan yang disediakan di atas meja masing-masing.

Beliau berkata, sebagai langkah meminimumkan risiko jangkitan virus Covid-19 pengagihan makanan  sama ada sarapan dan makan tengah hari tidak dihidangkan sebaliknya dibungkus dalam paket plastik kemudian di letak atas meja untuk diambil sendiri oleh pelajar.


Calon SPM berasa selesa mendapatkan sarapan yang disediakan oleh Biro KSIB.


“Program ini bukan sahaja menjadikan ukhwah antara ibu bapa dan sekolah terjalin dengan lebih erat sebaliknya pelajar mendapat nutrien yang lengkap apabila hanya menu sihat dihidangkan bagi menjadikan mereka lebih fokus menjawab soalan peperiksaan.

“Tanpa membezakan antara mereka pelajar dalam kalangan keluarga asnaf dan kurang berkemampuan turut menikmati makanan yang sama kerana kami ingin memastikan mereka juga perlu berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Sementara itu seorang sukarelawan, Rozyta Wahid, berkata Ibu bapa terutama yang bekerja tidak perlu risau kerana anak mereka akan mendapat makanan yang cukup serta berkhasiat dan dia dapat melihat keceriaan pada muka pelajar apabila mendapat layanan yang sempurna. 

“Saya amat berharap program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana sangat membantu pelajar dan bermanfaat dalam situasi pandemik Covidf-19 sekarang ini di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan guru.

“Kami juga berharap program yang dilaksanakan di SMKBTHO2 ini mampu menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain untuk diikuti kerana gerak kerja yang dilakukan adalah secara bekerjasama yang santai serta mendatangkan keseronokan dapat membantu pelajar dan pihak sekolah bersesuaian dengan aspirasi konsep Keluarga Malaysia,” katanya. - KitaReporters


Calon SPM SMKBTHO2 mengambil paket plastik sarapan yang disediakan Biro KSIB PIBG sekolah itu.

124
18
2
12
0

Copy Link: