Tahniah guru-guru SK Serom 6! Penuh warna, ceria, kondusif!
Published byDIGELAR ‘Sekolah Kampung’ tidak terkesan atau mengguris hati guru-guru Sekolah Kebangsaan Serom 6, Tangkak, Johor untuk bergabung tenaga menceria dan mencantikkan sekolah mereka dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang. Sekolah kampung, sekolah kampunglah tapi guru-gurunya first class!! : KitaReporters
Guru-guru, PIBG, AKP dan masyarakat sekitar bekerjasama untuk mencantikkan bangunan SK Serom 6, Tangkak, Johor. - Kredit foto-foto: Guru-guru SK Serom 6.
Lagi kisah-kisah berkaitan sekolah:
https://kitareporters.com/search?search=sekolah
Malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 mengeratkan ukhuwah warga pendidik sekolah itu dengan ibu bapa dan ketua kampung untuk mengambil langkah drastik mencantikkan sekolah itu mulai Jun 2020 lalu secara berperingkat-peringkat hingga sekarang.
Langkah itu secara tidak langsung turut meredakan stres dalam kalangan guru, murid termasuk ibu bapa yang menghantar anak mereka setiap pagi apabila melihat pemandangan sekolah itu seperti berada dalam taman begitu cantik berwarna-warni.
Basikal tersusun rapi di 'Game floor' yang dicatkan dengan pelbagai warna menarik.
Guru Besar sekolah itu, Mohd Ali Hadoon@Adon, berkata menerusi mesyuarat pelaksanaan cadangan mengecat bangunan sekolah itu termasuk mewujudkan ‘game floor’ satu ‘ team work’ dalam kalangan guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pekerja swasta pada peringkat sekolah itu ditubuhkan.
Menurutnya, dengan penubuhan ‘team work’ itu, kepakaran atau bakat semula jadi guru dan ahli yang lain dapat dikenal pasti untuk mengecat dinding bangunan membabitkan kelas, makmal, bilik guru, kantin, lantai dan sebagainya dengan lukisan mural yang terselit pelbagai tema.
Katanya, hasil sokongan ahli PIBG dan ketua kampung mereka berjaya mencari dana untuk membeli cat dan pelbagai peralatan lain, di samping sumbangan daripada usahawan tani, industri kecil dan sederhana serta individu di sekitar daerah itu.
Guru, ibu bapa dan pekerja sekolah bergotong-royong membersihkan dinding sebelum dicatkan dengan warna yang dipilih.
Beliau berkata, kerjasama itu akhirnya berjaya mengecat
setiap bahagian bangunan sekolah dengan pelbagai warna menarik seperti bangunan
bawah yang menempatkan kantin, bilik pemulihan dan stor alatan pendidikan
jasmani dengan warna kuning.
“Bangunan tingkat satu pula dicatkan dengan warna ungu yang membabitkan bilik pentadbiran, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik pengawas dan sebagainya, manakala tingkat dua yang menempatkan bahagian Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) serta kelas tahun tiga hingga tahun enam dicatkan dengan warna biru.
Bangunan bawah SK Serom 6 dicatkan dengan warna kuning yang menempatkan kantin, bilik pemulihan dan stor alatan pendidikan jasmani dengan warna kuning.
“Warna hijau pula menjadi pilihan untuk dicatkan pada bangunan di tingkat tiga yang menempatkan perpustakaan dan surau,” kata Mohd Ali yang memulakan tugas sebagai guru besar sekolah itu sejak Jun 2020 lalu.
Mohd Ali berkata, walaupun sekolah itu gred Sekolah Kurang Murid (SKM) dan terletak di kawasan kampung bukanlah penghalang selaku pentadbir untuk melakukan sesuatu di luar pemikiran sebagai pendidik bagi menarik minda masyarakat serta membuktikan bahawa sesuatu perubahan boleh dilakukan walaupun negara dilanda Covid-19.
Tingkat satu dan dua SK Serom 6 dicatkan dengan warna ungu dan biru.
Menurutnya, idea tercetus mengecat bangunan sekolah itu dengan
berwarna-warni selepas beliau mengunjungi sebuah universiti di Kuala Lumpur
yang menggunakan konsep warna dalam kelas PdPc mereka apabila amat menarik
untuk dipraktikkan.
Katanya, warna juga turut memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia termasuk kepada kalangan kanak-kanak yang berumur lima hingga 12 tahun, di samping berhasrat kejayaan itu dapat dikongsikan sebagai langkah amalan terbaik dari segi keceriaan sekolah.
Warna hijau pula menjadi pilihan untuk dicatkan pada bangunan di tingkat tiga yang menempatkan perpustakaan dan surau.
Bagi menambahkan keyakinan murid untuk hadir ke sekolah dalam situasi pandemik Covid-19 ini Mohd Ali mempraktikkan konsep warna-warni yang terbukti berjaya mengubah sikap mereka selain ibu bapa yang melahirkan rasa tertarik melihat suasana keceriaan itu.
Beliau berpendapat bangunan dan bilik darjah yang kondusif
akan menghasilkan pembelajaran yang sangat berkesan. Usaha itu juga membuktikan
PKP bukanlah halangan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat untuk
memberi sokongan moral dan bergotong-royong terutama dalam kerja mengecat
bangunan sekolah itu.
Mohd Ali Hadoon@Adon
“Keutamaan saya ialah murid. Saya selalu memikirkan bagaimana ingin melihat mereka berjaya di sekolah dan menjadi insan terbaik. Untuk berjaya dalam akademik murid perlu hadir ke sekolah dan suasana kondusif perlu mantap.
“Perkara itu akan mempengaruhi emosi murid. Jika sekolah dalam keadaan daif dan tidak ceria, bagaimana mereka hendak hadir ke sekolah. Jika murid hadir ke sekolah dengan perasaan gembira serta bangga dengan sekolah yang berwarna-warni dalam suasana yang kondusif akan menyuntik motivasi untuk berjaya,” katanya.
Bangunan makmal komputer di lukis mural yang cantik dan menarik.