MEMBUNUH kucing tindakan zalim dan perbuatan tidak berperikemanusiaan. Malahan ia juga bertentangan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh membawa hukuman denda dan penjara jika terbukti pelakunya bersalah, : KitaReporters

Antara 11 ekor kucing yang dibunuh disyaki menggunakan racun oleh orang yang tidak dikenali di kawasan kediaman Apartmen Seri Lily, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. - Kredit foto: FB Persatuan Haiwan Malaysia.


Jika tidak suka haiwan tersebut kerana masalah-masalah tertentu janganlah bertindak sampai membunuh, sebaliknya hantar sahaja ke pusat jagaan haiwan atau letakkan ditempat yang difikirkan sesuai dan mudah mendapat makanan asal tidak kacau ganggu orang ramai atau komuniti setempat.

Minggu pertama Syawal umum digemparkan dengan kejadian 11 ekor kucing ditemukan mati bergelimpangan kerana dibunuh di kawasan kediaman Apartmen Seri Lily, Bukit Beruntung di Rawang, Selangor oleh mereka yang tidak dikenali.

Kematian trajis haiwan berkenaan disyaki berpunca terkena racun dipaparkan melalui hantaran media sosial Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) pada Khamis, 28 Mei 2020 yang didakwa oleh saksi kejadian sebagai terlalu serius.

Malahan berikutan insiden tersebut juga disifatkan telah mencemari kegembiraan sambutan Aidilfitri dan Syawal yang mulia.

Menurut PHM, walau apa juga alasan sekalipun mungkin kerana kacau ganggu, tindakan membunuh kucing terbabit bertentangan dan salah mengikut Akta kebajikan Haiwan 2015.

Dua ekor anak kucing dibunuh dengan membiarkannya di dalam bungkusan plastik oleh orang yang tidak berperikemanusiaan - Kredit fodan to FB PHM


"Melalui akta tersebut, jika pelaku berjaya dikesan hukuman boleh dikenakan ialah penjara minimum 1 tahun sehingga maksimum 3 tahun dan denda minimum RM20,000 sehingga maksimum RM100,000," ujar Presiden PHM, Arie Dwi Andika.

Susulan kes kucing mati kena racun di Bukit Beruntung ini, katanya, jenayah sedemikian perlukan maklumat lengkap dan serius daripada pengadu dengan menghubungi persatuan melalui aplikasi WhatsApp secara segera. 

Pastikan aduan disertakan butiran mengenai masa, hari, tarikh, tempat dan lokasi yang betul untuk tindakan lanjut.

Isu bunuh haiwan terutama kucing dan anjing kerap diketahui umum, tetapi pelakunya sukar dikesan mahupun ditangkap kerana bukti memerlukan saksi mata (orang yang melihat) kejadian dan bukan bukti fizikal.

Sehubungan itu, setiap kezaliman ke atas haiwan perlu kerjasama semua pihak tampil menjadi saksi, lengkap dengan laporan kes yang ada bukti penuh dan sempurna. 

Sekiranya ada kalangan masyarakat tidak faham mengenai perkara berkenaan boleh mendapatkan khidmat maklumat persatuan melalui WhatsApp +6011 20901097 segera demi keadilan haiwan termasuk kucing yang malang itu.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjalan sekarang haiwan peliharaan termasuk kucing banyak dibuang dijalanan dan merata tempat - Kredit foto FB PHM.


Jangan biarkan pembunuh haiwan terlepas daripada diadili.

Sementara itu, pada hantaran yang sama PHM menjelaskan pembuangan kucing menjadi tradisi bila musim perayaan dan keadaan ini menjadi lebih parah berpunca arahan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) yang terus berlanjutan pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Pihak persatuan menerima lebih 38 kes aduan melalui WhatsApp mengenai penemuan kebanyakan kucing baka bulu panjang (long hair) dan anjing di jalanan melibatkan angka mencecah ratusan ekor sepanjang tempoh PKP.

Peningkatan jumlah pembuangan haiwan peliharaan terutama kucing dan anjing di jalanan membimbangkan dan bakal mencetuskan masalah kebuluran, kecederaan,penyakit haiwan dan kematian.

Inilah menurut PHM, punca banyak kenyataan tidak berasas yang mengaitkan COVID-19 dengan haiwan peliharaan.

Jadilah pemilik haiwan bertanggungjawab.

Jika golongan pemilik haiwan di negara ini gagal mendisplinkan diri dengan membuang bintang peliharan, cara mengajar mereka dengan tindakan undang-undang.

Dua pemuda petugas penghantar makanan membantu mengeluarkan anak kucing yang terperangkap di dalam sebuah longkang dan menghantarnya ke pusat rawatan haiwan - Kredit foto: FB PHM


PKP berlanjutan hingga 9 Jun 2020 ini tentunya pembuangan haiwan peliharaan dijangka lebih parah.

Dalam kehidupan moden hari ini, ramai antara kita minat pelihara kucing tanpa mengira status pendapatan kerana haiwan tersebut mempunyai keunikkan tersendiri mampu menambat hati sesiapa sahaja terutama keadaan semulajadi yang comel dan manja.

Bagaimanapun ada segelinitir masyarakat tidak berperikemanusian dan bertimbang rasa sanggup bertindak di luar jangka menyeksa haiwan tersebut hingga ada yang mati.

Sebagai manusia yang berfikir guna otak janganlah mungkin kerana aspek kacau ganggu, kencing dan najis merata-rata diseksa hingga mati.

Ia juga mahluk Allah yang bernyawa.

Sebagai orang Islam kita wajar mencontohi Junjungan Besar Nabi Muhamad S.A.W. yang sentiasa mesra menyantui kucing sebagai antara haiwan kesayangan baginda seperti dikisahkan melalui hadis-hadis sahih.

Pengalaman penulis, kucing sebenarnya sejenis haiwan peliharaan jika selalu dibelai dan dimanja ia akan jadi lebih mesra.

Antara tip untuk megelakkan kucing selalu kencing dan membuang najis di tempat-tempat yang tidak sepatutnya hanya sembur kawasan berkenaan dengan cuka makan. Selagi bau cuka yang menyucuk hidung ada, kucing tidak akan melakukannya di tempat tersebut. - KitaReporters

0
0
4
0
3

Copy Link: