Video| Ketagih porno, homoseks, hilang anak! Segalanya dalam Aduan Jiwa! Kelolaan Fedtri Yahya!
Published byJUDUL program bual bicara ini, ‘Aduan Jiwa’ sudah cukup membuat penonton rasa teruja untuk mendengar apakah rintihan aduan di sebalik jiwa yang barangkali nampak tenang tetapi hakikatnya berat ditanggung!
“Banyak cabaran yang saya lalui ketika mengemudi rancangan ini apabila berkongsi kisah realiti yang terjadi di sebalik aduan yang diluahkan,” ujar Ahmad Fedtri Yahya, 40, pengacara yang bertanggungjawab mengetengahkan ‘Aduan Jiwa’.
Lagi kisah menarik berkaitan kehidupan
Terbaharu di TV9, ‘Aduan Jiwa’ yang dikendalikan oleh Ahmad Fedtri bakal bersua dengan penonton mulai 2 Januari 2022, setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam hingga 9.00 malam selama 10 episod.
Bercerita lanjut, Ahmad Fedtri yang ditemu bual pada sidang media program ‘Aduan Jiwa’ secara maya pada 28 Disember 2021 lalu memberitahu, antara cabaran yang dihadapi apabila saat akhir temu bual terpaksa dibatal disebabkan pengadu tidak bersedia ditemu ramah kerana tukar fikiran.
“Mereka takut aduan mereka akan memudaratkan lagi keadaan apabila rahsia terbongkar,” ujar personaliti TV yang juga terkenal sebagai penulis lirik ini.
Tidak terkesan dengan setiap permasalahan yang didengarnya, Fedtri menganggap isu-isu yang dibangkitkan sudah menjadi kebiasaan kepadanya selama mengacarakan beberapa rancangan bual bicara seperti antaranya ‘Sembang Viral’, ‘Khurafat’ dan seumpamanya.
“Setiap orang ada ‘penjaranya',” jelas Fedtri sambil berkongsi kisah benar seorang lelaki yang ketagihan pornografi sejak seawal usia 8 tahun.
Menurut Fedtri, kisah itu akan disiarkan pada episod pertama ‘Aduan Jiwa’ di mana obsesi terhadap dunia porno menjadikan remaja berkenaan menemui jalan buntu dalam usaha untuk mengubah.
“Kecanduan kepada bahan-bahan terlarang sukar ditinggalkan kerana ia sudah sebati dengan jiwanya,” cerita Fedtri yang akan menyelami isi hati mangsa secara terus dan mendalam.
Untuk lebih dramatik, lakonan semula akan dipaparkan semasa penceritaan malah panel jemputan juga akan ditampilkan bagi setiap episod untuk memberi pandangan dan juga cadangan untuk mengatasi masalah buat para mangsa.
Antara topik dan kes lain yang akan dikupas meliputi kemurungan dan kebimbangan, penderitaan rumah tangga, akhlak dan jenayah seksual.
Dalam pada itu, episod kedua akan menampilkan dua kisah berbeza yang dibelenggu oleh perasaan rindu menebal.
Kisah pertama , kata Fedtri, berkisar mengenai seorang anak yang sangat rapat dengan arwah ayahnya sehingga pemergian insan tercinta itu meninggalkan perasaan terkilan lantaran dia tidak berkesempatan untuk berjumpa pada kali terakhir.
Kisah kedua pula menceritakan keadaan seorang ibu dihukum perasaan pilu dan rindu selepas anak kecilnya hilang di rumah dan masih tidak dapat dijejaki hingga kini.
Dua dimensi rindu yang berbeza ini membawa kesengsaraan jiwa yang besar kepada kedua-dua mangsa, jelas Fedtri.
Sementara itu, artis tanah air popular Jaafar Onn turut berkongsi kisah hidupnya yang pernah merana kerana dendam dan dengki oleh orang rapat dengannya sehingga kesihatan terjejas teruk.
Perkongsianhya itu dapat ditonton dalam episod ketiga yang membawakan topik ‘bahana sihir’.
'Muflis dan sifilis’ yang dipaparkan dalam episod keempat pula akan berkongsi kesengsaraan hidup seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya.
Selama lapan tahun berkahwin, bekas suaminya jarang mendekatinya dan memberi nafkah batin.
Akhirnya, rahsia terbongkar apabila bekas suaminya ialah seorang homoseksual yang aktif ditiduri teman sejenis sehingga dijangkiti penyakit kelamin sekali gus merosakkan organ dalamannya.
“Wanita ini juga difitnah dan dimanipulasi oleh bekas suaminya yang bijak mengatur langkah untuk menutup kejahatannya,” tambah Fedtri.
Apakah topik-topik dan kes-kes lain yang bakal dipersembahkan dalam Aduan Jiwa? Tentu ada yang tak sabar menantinya mulai 2 Januari 2022 nanti kan? - KitaReporters