iShy! Aku malu! Tapi perjuangan Amir Hasan belum berakhir!
Published byMESKIPUN perjuangannya dalam program Big Stage terkandas pada minggu ketiga, itu tidak mematah semangat Amir Hasan untuk terus mara dalam bidang seni. Segala komen dan teguran daripada juri tetap itu biarpun kedengaran pahit namun bagi Amir ia adalah ilmu yang boleh diguna pakai sebagai panduan dalam kerjayanya. : KitaReporters
Single baharu Amir Hasan, iShy sudah boleh ditonton dalam YouTube. - Kredit foto: IG Amir
Selepas menyertai Big Stage 2020, nama Amir atau nama penuhnya Amir Abu Hasan semakin dikenali semula, meskipun beliau bukanlah wajah baharu dalam bidang seni suara.
Sebelum menyertai Big Stage 2020 yang mengangkat
Azzam Sham sebagai jura, Amir pernah menghasilkan single pertama pada 2018, Bicaramu,
yang ditulis bersama Haikal Azrin dan Rudy
Nastia.
Berikutan kejayaan single tersebut, tahun berikutnya, Amir kembali dengan single keduanya, Gadis Yang Ku Tunggu (GYKT), lagu gubahan Aizat Amdan dan Mel Ramlan.
Selain tampil dengan single, Amir yang mula dikenali dalam bidang seni kerana cover version lagu Akad, nyanyian asal kumpulan Payung Teduh dari Indonesia pada 2017, pernah menjayakan persembahan Pesta Raya - Festival Kesenian Melayu di Esplanade, Singapura dan pembuka tirai konsert penyanyi pop Britain, Anne-Marie di KL Live pada tahun 2019.
Kandas pada minggu ketiga Big Stage tidak mematahkan semangat Amir.
Penyanyi berusia 24 tahun yang memiliki Diploma Komunikasi dan Media dari Universiti Selangor itu kini tampil dengan single baharu berjudul iShy sebagai platform untuknya terus berkarya.
Lagu ini ditulis oleh Amir dan Mingaling, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik dari kumpulan hip hop Malaysia, MassMusic.
Berlainan dengan karyanya sebelum ini yang berunsur pop Melayu, iShy menyaksikan Amir cuba mengetengahkan muzik berentak urban dalam karyanya.
iShy diharap dapat mengembalikan nama Amir dalam persada seni.
Bercakap mengenai kolaborasi pertamanya dengan Mingaling dan hala tuju muziknya, Amir berkata, sebelum bergelar penyanyi rakaman, beliau sebenarnya lebih cenderung ke arah muzik hip hop ketika mula-mula menyanyi dahulu.
“Setelah menghasilkan dua lagu berentak pop, saya rasa sudah tiba masanya saya mengambil pendekatan yang berbeza untuk single ketiga saya. Ini adalah kolaborasi pertama saya dengan Mingaling, yang sebelum ini pernah menghasilkan beberapa lagu hits tempatan.
“Bekerjasama dengan Mingaling dalam proses rakaman lagu ini telah banyak membantu saya mengasah lagi kemahiran menulis lagu dan meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman muzik saya,” jelasnya.
Mengulas tentang single terbaharunya, Amir berkata, sejak dahulu hingga kini, lelaki selalu dijangkakan untuk mengambil langkah pertama dalam hal mencari jodoh. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang bersifat introvert atau pemalu?
Amir tampil dengan single kisah lelaki pemalu, iShy.
“Lagu ini mengisahkan tentang seorang lelaki pemalu yang mencintai seorang gadis dalam diam. Saya percaya ini adalah kisah yang pernah dilalui banyak lelaki di luar sana, tidak semua lelaki mempunyai keyakinan untuk menyatakan perasaannya.
“Malahan, bila bercakap tentang kisah menyimpan rasa cinta dalam diam,
sesiapa pun boleh melaluinya tanpa mengira jantina. Saya harap lagu iShy ini
dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menyatakan rasa cinta mereka kepada
seseorang. Lebih penting lagi, saya berharap pendengar terutama peminat saya
dapat menerima baik lagu ini dan terus menyokong muzik saya,” katanya penuh
harapan.
iShy adalah terbitan dan edaran Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini, Jumaat 30 Oktober 2020, manakala lirik video rasmi iShy boleh ditonton dalam YouTube Warner Music Malaysia bermula tarikh yang sama. - KitaReporters