Video| Hebat dan berani! Petani berjaya tangkap buaya ganas 1 tan! Hanya guna tali nilon sahaja!
Published byKredit foto-foto: Antaranews.com
KEBIASAANNYA kerja-kerja yang akan dilakukan bagi menangkap seekor buaya dengan menggunakan perangkap atau umpan yang dipasang di dalam air untuk memerangkap haiwan buas itu supaya mudah ditangkap.
Namun, kejadian yang agak luar biasa terjadi apabila seorang petani dari Desa Ambuau Indah, Kecamatan Lasalimu Selatan, Kabupaten Buton, Sulawesi Tenggara, Indonesia hanya menggunakan beberapa utas tali nilon sahaja dan berjaya menangkap seekor buaya seberat hampir satu tan pada 25 Jun 2022 lalu.
Kehebatan serta keberanian petani terbabit yang dikenali Pak Usman, 53, amat membanggakan masyarakat kerana tindakannya secara bersendirian menangkap haiwan ganas itu telah menyelamatkan nyawa warga setempat.
Buaya sepanjang 4.3 meter berada di daratan di pinggir sungai berjaya ditangkap oleh petani itu dalam masa satu jam.
Pak Usman berkata, sebelum menangkap buaya itu dia mencari beberapa utas tali untuk mengikat di tubuh haiwan itu.
‘’Saya terjumpa seekor buaya besar berada di kawasan kebun dan kebetulan saya ada tali lalu saya ikat ekornya dan tali itu ditambat pada sebatang pokok kelapa.
‘’Selepas itu, secara berhati-hati, saya mengikat pula tali di tengkok serta mulut buaya itu dan seterusnya diikat pada badan haiwan itu,’’ kata Pak Usman seperti dipetik dari portal Tribunnews.com pada 27 Jun 2022.
Kredit foto: Antaranews.com
Buaya gergasi itu berada di kawasan kebun warga akibat terseret air banjir sejak beberapa hari lalu.
Lokasi perkebunan warga desa terbabit berdekatan dengan Sungai Malaoge yang merupakan kawasan habitat buaya.
‘’Beberapa hari lepas, semuanya kawasan kebun milik warga ditenggelami air banjir kini air sudah surut ,’’ ujar petani itu.
Aksi keberanian Pak Usman menangkap buaya besar itu telah menarik perhatian warga tempatan sehingga ada dalam kalangan mereka merakam gambar atau video sebelum viral dalam media sosial.
Sementara itu, Ketua Unit Konservasi Wilayah 1 Baubau Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Sultra, Prihanto berkata, pihaknya ada menerima laporan bahawa terdapat seorang petani menangkap buaya yang ditemui di kawasan perkebunan penduduk desa.
Menurutnya, buaya itu akan membahayakan penduduk setempat menyebabkan petani terbabit bertindak menangkap buaya tersebut dengan menggunakan peralatan seadanya termasuk tali nilon.
‘’Selepas berjaya ditangkap haiwan itu, warga menghubungi pihak kami.
‘’Kami menghantar enam petugas dari BKSDA ke lokasi kejadian dan buaya itu akan dibawa di Kota Kendari untuk dilepaskan di sungai kawasan habitatnya,’’ katanya. - KitaReporters
Kredit foto-foto: Antaranews.com