BAIK PUNYA!! KOLEJ (ERT) AZIZAH JB JAHIT BAJU PPE
Published byUmpama cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Pengarah dan beberapa pensyarah Kolej (ERT) Vokasional Azizah Johor Bahru, Johor telah bekerja keras bagi menyiapkan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan (frontliners) di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru baru-baru ini. : KitaReporters
Pensyarah-pensyarah Kolej (ERT) Vokasional Azizah Johor Bahru, Johor sedang menyiap baju PPE.
Pengarah kolej, Saripah Husin, 53, bersama enam pensyarah dan Aminuddin Idris atau lebih dikenali dengan Cikgu Amin, lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak dalam bidang jahitan, telah diberi tanggungjawab untuk menyiapkan baju PPE itu.
"Tugas dan kepercayaan yang diberikan amat saya hargai kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi terutama dalam menyiapkan pakaian ini.
"Antara syarat yang ditetapkan ialah jumlah staf tidak boleh melebihi sepuluh orang, mementingkan ciri kebersihan dan amalkan jarak sosial dalam masa menyiapkannya kerana pakaian ini akan digunakan oleh petugas barisan hadapan," katanya ketika dihubungi.
Beberapa panduan lain dalam menyiapkan baju ini perlu dipatuhi juga antaranya petugas mesti sihat dan tidak mengalami masalah batuk atau demam, dan jauh sekali mempunyai gejala Covid-19.
Katanya, mereka telah menyiapkan 30 helai pakaian sebelum ini dan sedang menunggu kain untuk menyambung jahitan berikut.
"Jumlah kecil atau besar tidak menjadi halangan.
"Bagi kami, yang penting ialah dapat menyediakan PPE ini untuk digunakan oleh barisan hadapan yang bekerja di KementerianKesihatan Malaysia (KKM)," sambungnya lagi.
Sementara itu, Aminuddin Idris atau Cikgu Amin, 25, bangga sebagai lepasan IKBN turut terpanggil untuk membantu menyediakan PPE ini kepada KKM.
“Saya sangat bersyukur dapat membantu menjahit PPE walaupun saya tidak tahu siapa yang memakainya. Mungkin orang yang kita tidak kenal atau kita kenal seperti keluarga kita.
“Paling seronok apabila saya diberitahu PPE ini akan digunakan oleh staf di KKM dan saya rasa dihargai, kadang-kadang rasa macam hendak menangis.
"Kalau boleh, saya mahu tolong semua, hendak bantu satu Malaysia," katanya lagi.
Cikgu Amin bersama pensyarah-pensyarah yang menyiapkan pakaian PPE untuk KKM.
Cikgu Amin kini mengendalikan sendiri kelas jahitan dan membantu mereka yang berminat untuk mempelajari sama ada untuk menjahit pakaian sendiri atau mungkin dapat membuka perniagaan sendiri di seluruh negara.
Peluang yang diberikan kepadanya oleh Pengarah Kolej Saripah Husin untuk sama-sama membantu menyiapkan PPE ini juga amat dihargainya. - KitaReporters
Pakaian PPE siap untuk dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor.