NATXO Insa atau nama sebenarnya, Ignacio Insa Bohigues (24) kembali menambat hati Pau Marti Vicente sepanjang kempen Liga Juara ACL biarpun dikecam ramai peminat dalam Piala Asia. - Kredit foto: FAM 


NATXO Insa ke pangkuan Harimau Malaya semula?

Ramai peminat yang mengecam persembahannya menentang Bahrain dalam saingan Kumpulan E Piala Asia di Stadium Jassim Hamad, Doha, Qatar pada 20 Januari 2024 lalu.

Natxo masuk menggantikan Syamer Kutty Abba dalam separuh masa kedua perlawanan itu yang hanya mencatat penampilan sulung antarabangsanya sekian lama sejak 22 Mac 2018 dalam persahabatan berdepan Mongolia.  

Perantara kelahiran Sepanyol berdarah warisan warga Malaysia sebelah neneknya ini tersenarai antara 26 pemain kebangsaan dalam panggilan terbaharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 6 November 2024.

Ketua jurulatih Malaysia, Pau Marti Vicente walau bagaimanapun mungkin lebih tertarik kepada kemunculannya dalam melindungi dan menjana bahagian tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sepanjang kempen Liga Juara AFC Elit 2024 Zon Timur dari 18 September hingga 5 November 2024.  

Natxo, 38, sentiasa membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan yang diikat 2-2 oleh Shanghai Port FC di Pudong, menewaskan Shanghai Shenhua FC 3-0 di Iskandar Puteri, Johor, dikalahkan Gwangju FC 3-1 di Yongin dan menumpaskan Ulsan Hyundai FC 3-0 di Johor.  


PAU Marti Vicente (dua dari kanan) diapit dua penolong ketua jurulatih negara, E. Elavarasan (kanan) dan Juan Torres Garrido. - Kredit foto: FAM


Pau menamakan Natxo ke kem latihan pusat skuad negara mulai 10 November 2024 menjelang siri perlawanan antarabangsa tahap 1 menentang Laos di Stadium Lembaga Pelabuhan Thailand, Bangkok dan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada 14 dan 18 November 2024. 

Warga Sepanyol ini juga mengekalkan 20 daripada 26 pemain yang terbabit dalam kekalahan agak teruk 4-0 kepada New Zealand yang di ranking ke-95 dunia pada 14 Oktober 2024 lalu di Stadium North Harbour, Auckland.

Satu lagi kejutan oleh Pau, 41, ialah merehatkan La’Vere Corbin-Ong daripada jelajah ke Bangkok dan Hyderabad dengan bek kiri senior itu kali ini hanya dalam senarai bersedia 10 pemain sekiranya berlaku kecederan dan sebab luar jangka.

Corbin, 33, juga tonggak JDT selain bekas pemain Kanada, sentiasa membarisi kesebelasan utama sejak meraih kap sulung Harimau Malaya menentang Nepal dalam persahabatan pada 2019.  

Posisinya kini mungkin lebih terbuka bagi persaingan antara Daniel Sang Ting (Sabah FC), Adib Ra’op (Penang FC) dan Safwan Mazlan (Terengganu FC).  

Muka baharu yang dipanggil ialah bek tengah Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili juga daripada skuad Bawah 23 Tahun negara dalam Piala Asia B-23 di Doha, April 2024 lalu.


BEK tengah B-23 Malaysia pada Piala Asia B-23 di Qatar, Ubaidullah Shamsul Fazili (3) berpeluang meraih kap sulung Harimau Malaya di Bangkok atau Hyderabad. - Kredit foto: FAM 


SERGIO Aguero kali akhir dengan tim Malaysia yang dikendalikan Kim Pan Gon ketika menewaskan Taiwan 3-1 pada 11 Jun 2024 di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Yang kembali memikat barisan jurulatih negara sejak diketepikan selepas Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun 2024 lalu ialah perantara Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi dan penyerang naturalisasi Sri Pahang FC kelahiran Argentina, Sergio Aguero selain penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli yang kali akhir menyarung jersi Malaysia pada 2019. 

Kapten berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools turut disenaraikan kembali setelah bek tengah Buriram United Thailand ini menarik diri daripada menentang New Zealand.

Malaysia menghuni ranking ke-133 dunia berbanding Laos, ke-187 dan India, ke-125 dengan sebarang keputusan positif siri perlawanan ini bakal melonjakkan mereka dengan kutipan mata yang agak besar.  

Pasukan Pau dan Laos yang digelar Gajah Juta turut menjadikan pertemuan mereka pemanas badan menjelang Kejohanan ASEAN (dulunya Piala AFF) dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.  

Kali akhir menentang Laos, Malaysia berpesta gol 5-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam pertemuan Kumpulan B Piala AFF tanggal 24 Disember 2022.  

Tim negara yang dikendalikan warga Korea Selatan, Kim Pan-gon turut menewaskan India 4-2 dalam separuh akhir Pestabola Merdeka juga di Bukit Jalil pada 13 Oktober 2023.  - KitaReporters


SKUAD 26 pemain berdepan Laos dan India di Bangkok dan Hyderabad tanpa perantara naturalisasi kelahiran Brazil, Endrick Dos Santos (10) dan penyerang Sabah FC, Darren Lok (9) serta La'Vere Corbin-Ong  (berdiri, kiri) yang dalam kesebelasan utama menentang New Zealand, 14 Oktober 2024. - Kredit foto: FAM


TIM MALAYSIA

Penjaga gol: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim FC), Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC), Haziq Nadzli (Perak FC).

Benteng: Matthew Davies, Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim FC), Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC), Dominic Tan, Daniel Sang Ting, Adib Ra’op (Penang FC), Dion Cools (Buriram United, Thailand)

Perantara: Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Nooa Hamzah Laine (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC).

Sayap: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim FC), Safawi Rasid, Akhyar Rashid (Terengganu FC), 

Penyerang: Romel Morales (Johor Darul Ta’zim FC), Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC).

 

 

 

14
12
0
14
0

Copy Link: