Dari seorang jurusolek artis kepada pengusaha kosmetik dan kini bergelar penyanyi walaupun hanya berduet dengan  Zara Zya, namun Datuk Seri Alha Alfa belum membayangkan akan menjadi seorang pelakon.

“Saya tidak terfikir ke arah itu walaupun pernah menjadi ‘cameo’ sahaja tetapi bukan berlakon sesebenarnya, jadi belum ada perancangan ke arah itu,” ujar Alha Alfa ketika ditemui pada majlis sidang media ‘Transformasi Dato Seri Alha Alfa’ dan pelancaran single duetnya, ‘Cinta Agung’ bersama Zara Zya sekali gus memperkenal rangkaian produk terbaharunya bersama Datin Seri Umie Aida bertempat di sebuah restoran di Publika pada 28 Disember 2023.



Zara Zya dan Alha Alfa berduet single pertama mereka, 'Cinta Agung'. - Kredit foto: FAS.


Menurut pemilik bernama sebenar, Abdul Al-Halim Mohd Al-Fadzil, 35, ini, bukan niatnya pun mahu bergelar penyanyi tetapi sekadar ingin memeriahkan industri hiburan dengan sebuah lagu duet bersama teman karibnya, Zara Zya yang sering menjadi ‘geng karaoke'nya.

“Saya hanyalah seorang usahawan biasa dan masih banyak lagi yang saya harus pelajari. Hakikatnya, saya tidak mempunyai ‘niat khas’ untuk menampilkan ‘sisi lain’, apa yang saya lakukan hanyalah bertujuan memeriahkan lagi industri hiburan tanah air,” ujar Alha ikhlas.

Bercerita lanjut bagaimana tercetusnya hasrat untuk menghasilkan single ‘Cinta Agung’, katanya, ia timbul secara santai apabila beliau dan Zara Zya memang gemar berkaraoke bersama beberapa teman rapat lain.

“Kebetulan pula saya berkawan baik dengan Yuka Kharisma yang merupakan seorang penyanyi dan komposer terkenal. 

"Pernah saya berseloroh meminta beliau menciptakan sebuah lagu dan tanpa diduga Yuka memaklumkan telah menyiapkan sebuah single untuk saya, lantas saya terima pelawaan tersebut dan mengajak Zara Zya untuk berduet bersama,” kenang Alha sambil memberitahu, lagu tersebut telah dihasilkan hampir setahun lalu tetapi hanya kini direalisasikan.



Dalam pada itu menjawab kembali soal berlakon, sebelum sempat Alha menghabiskan kata-katanya, "rasanya saya tidak akan berlakon", Zara Zya celah sambil membantunya menjawab dengan berkata, "jawab je insya-Allah sebab mana tahu nanti bila ada rezeki berlakon dan terjebak pulak dah susah sebab dah kata tak akan berlakon,” yang disusuli anggukan daripada Alha seraya menyambung kata, "insya-Allah".

Bagi Alha, penghasilan single bersama Zara Zya merupakan penghargaanya terhadap Zara yang banyak membantu dan memberi sokongan sebagai seorang sahabat.

“Biarlah ia diabadikan menerusi sebuah karya yang indah. Lagi pun, saya seorang yang sukakan cabaran, tetapi saya sendiri tidak berani untuk melakukannya. Namun apabila diasak oleh rakan-rakan terdekat, saya akan menyahut cabaran tersebut,” ujar Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina ini.


Dari kiri: Zara Zya, Alha Alfa, Umie Aida dan Yuka Karisma.


Pun begitu apa yang pasti, kehadirannya dalam dunia glamor ini lebih kepada mengembangkan empayar Alha Alfa Cosmetics  (AAC) yang kini sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti di Singapura, Brunei serta memikat hati pengguna Eropah dan Timur Tengah selain di Indonesia waima bakal membuka cawangan rasminya di negara jiran serumpun itu pada tahun hadapan (2024).

“Fokus utama saya kini adalah memastikan jenama Alha Alfa Cosmetics (AAC), dapat bersaing dengan jenama antarabangsa yang terlebih dahulu bertapak di industri kita,” ujar Alha.

Sehubungan itu juga, Alha Alfa Cosmetics memperkenal keluaran terbaharu minyak wangi eksklusif bersama Umie Aida, ‘Perfume AA X Umie Aida’, dan juga rangkaian ‘Perfume AA’ sendiri.



“Dengan momentum yang ada pada jenama AAC, saya dan keluarga besar Alha Alfa Rich Legacy (AARL) berimpian untuk meletakkan AAC ebagai jenama kecantikan nombor satu di pasaran Malaysia. 

“Dan andai benar kini saya dilihat sebagai seorang selebriti, mudah-mudahan saya dikenali dan diingati kerana kehebatan produk kosmetik yang saya hasilkan, dan inilah perancangan masa hadapan saya,” jelas Alha Alfa.


Alha menerima sijil MBR. - Kredit foto: Zamankini.


Sementara itu, majlis yang berlangsung santai dan penuh glam turut menyaksikan Alha menerima dua sijil ‘Malaysia Book Of Records’ (MBR) atas pencapaian produk Alha Alfa membuat Demonstrasi Kosmetik pada Latitud Tertinggi iaitu di awan biru melalui kolaborasi sulungnya bersama syarikat penerbangan AirAsia Shop ,sekali gus menerima siji MBR sebagai pemegang rekod bagi kategori ‘individu’  untuk acara demontrasi sama menggunakan produk terbaharunya, Lip Matte Gradient Lips Edition..

Menakjubkan sekali transformasi Alha Alfa sepanjang kerjayanya mencipta nama dalam dunia seni dan hiburan dalam masa yang singkat, bahkan mampu pula bertindak sebagai penaja utama kepada beberapa Anugerah Berprestij sepert ' ABPBH' dan Anugerah Juara Lagu ke-38  yang akan datang mahu pun menaja konsert Mahalini pada Februari tahun hadapan (2024). 

“Saya beranggapan, dengan cara menaja anugerah-anugerah seperti AJL38 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebelum ini, merupakan cara saya mengungkapkan terima kasih kepada sebuah industri yang amat bermakna kepada saya,” akhiri Alha yang turut dikejutkan dengan acara memotong kek sambutan hari jadinya yang diatur oleh  kakitangan syarikatnya. -KitaReporters


11
5
0
13
0

Copy Link: