Musibah bukan penghalang Harimau Malaya! Pendorong untuk bangkit lebih garang di Bishkek! - Pan-gon
Published byKIM Pan-gon (kiri) dan kapten Harimau Malaya, Dion Cools dalam sidang media praperlawanan Kyrgyzstan-Malaysia di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, hari ini. - Kredit foto: FAM
SEGALA musibah yang menimpa sejak Mei 2024 lalu seperti serangan asid terhadap Faisal Halim, kecederaan Arif Aiman Hanapi mahupun ketiga-tiga ‘targetman’ – Romel Morales, Darren Lok dan Syafiq Ahmad - tidak akan sesekali mematahkan semangat juang Harimau Malaya.
“Segala
kejadian yang merintangi pemain-pemain negara hanya akan menjadikan kami
lebih gagah,” tegas ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam video sidang media
praperlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pusingan kedua menentang Kyrgyzstan pada 11
malam, 6 Jun 2024 (waktu Malaysia) kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perlawanan di gelanggang lawan sentiasa getir. Inilah penentu sama ada Malaysia atau tuan rumah yang layak sebagai antara 18 terbaik (kelayakan), kata warga Korea Selatan ini di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, pada 5 Jun 2024.
Malaysia di anak tangga ketiga Kumpulan D kelayakan ini dengan enam mata setelah menumpaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Taiwan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei pada 16 dan 21 November 2023.
Skuad Pan-gon walau bagaimanapun ditundukkan Oman 2-0 di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat dan Bukit Jalil pada 21 dan 26 Mac 2024.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Arab Saudi pada 2027 untuk seterusnya cuba memburu slot ke pusingan akhir Piala Dunia di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico.
“Saya mahu
melihat semangat kebangkitan yang hebat daripada pasukan negara seperti mana
ketika mereka mengikat Korea Selatan 3-3 dalam Piala Asia (di Stadium Al Janoub,
Al Wakrah, Qatar, 25 Januari 2024 lalu).
“Saya mengalu-alukan keputusan yang bagus dengan Kyrgyzstan. Saya tahu kali ini suasananya berbeza (dengan di Bukit Jalil lalu). Kami jika bertandang pun hanya menang tipis (seperti mana di Taipei),” katanya.
HARIMAU Malaya meneruskan latihan persediaan saat akhir menjelang menentang Si Helang Putih di 'sarangnya' di Bishkek, malam esok. - Kredit foto: FAM
Kyrgyzstan bangkit selepas ditumpaskan oleh Malaysia 4-3 dengan mengejutkan pilihan utama yang di ranking ke-77 dunia, Oman 1-0 di Bishkek dan membenam Taiwan 2-0 dan 5-1 di Taipei dan gelanggangnya lantas menerajui Kumpulan D.
Si Helang Putih kendalian Stefan Tarkovic dari Slovakia menghuni ranking ke-100 dunia berbanding Harimau Malaya, ke-138 manakala Taiwan, ke-159. - KitaReporters
SKUAD NEGARA: Azri Ab. Ghani, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (penjaga gol), Matthew Davies, Feroz Baharudin, Shahrul Saad, La’Vere Corbin-0ng, Declan Lambert, Dominic Tan, Daniel Sang Ting, Safwan Mazlan, Adib Ra’op, Dion Cools (benteng), Endrick Dos Santos, Brendan Gan, Stuart Wilkin, Syamer Kutty Abba, Nooa Hamzah Laine (perantara), Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Nur Shamie Iszuan Amin, Zhafri Yahya (sayap), Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli, Engku Nur Shakir Engku Yacob (penyerang).
SAYAP kiri Harimau Malaya, Faisal Halim (kiri) terpaksa direhatkan daripada menentang Kyrgyzstan di Bishkek, esok kerana masih menjalani pemulihan kecederaan serangan simbahan asid sejak awal Mel 2024 lalu. - Kredit foto FAM
ARIF Aiman Hanapi (12) turut kempunan menentang Kyrgyzstan gara-gara kecederaan setelah begitu menyerlah ketika menewaskan pelawat 4-3 di Bukit Jalil pada 16 November 2023. - Kredit foto FAM