Roslan Saleh ketika masih sihat

Roslan kini semakin uzur dan terpaksa dibutakan. - Kredit foto: FB Ustaz Taufik UT

PENGIKUT bidang lakonan tanah air tentu sudah lama tidak melihat lakonan pelakon veteran Roslan Salleh, 64, lebih dikenali sebagai Roslan Saleh atau Pak Lan baik dalam drama TV mahupun filem. 

Umum mengetahui Roslan mengurangkan kegiatan seninya beberapa tahun lalu kerana menghidap penyakit kronik seperti  kencing manis, tekanan darah rendah dan batuk kering.


Ustaz Taufik telah beberapa kali menziarah pelakon veteran ini.



Pada tahun 2017, Roslan mengalami kecederaan semasa menjalani penggambaran iklan dan drama.

Dan dalam masa sama, Roslan menghidap beberapa jenis penyakit seperti kencing manis, tekanan darah rendah dan batuk kering yang menyebabkan dia terpaksa berhenti berlakon.

Ia membuat Roslan kembali ke kampungnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan termasuk menjual pisang goreng dan daging dendeng, sambal lado serta sambal hitam belimbing buluh dari rumah untuk menampung kehidupan keluarga.


Isteri, Zainun Majid turut membantu Roslan ketika sudah tidak berdaya

Pelakon yang merupakan bekas guru lulusan Institut Perguruan Bahasa Lembah Pantai Kuala Lumpur ini terlibat secara serius dalam bidang lakonan sejak 1970. 

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, ( 2020-2022), Roslan banyak berlakon dalam filem dan drama terbitkan Skop Film Production milik Datuk Yusof Haslam.

Setelah lakonannya tidak dapat dilihat sejak beberapa waktu, timbul berita kurang baik untuk pelakon veteran ini.

Kesihatannya semakin memburuk. Bagi mengurangkan kesan sakitnya, doktor terpaksa ‘mematikan’ saraf penglihatan dalam erti lain menjadi ‘buta’.


Roslan Saleh kini sudah tak dapat melihat

Perkara ini dimaklumkan oleh Ustaz Taufik, pemilik agensi umrah UT Travel & Tours yang menziarahinya beberapa hari lalu.

Menurut Ustaz Taufik, pelakon veteran itu tidak lagi boleh melihat sampai bila-bila kerana saraf matanya sudah pun dimatikan oleh doktor.

“Tujuannya untuk menghilangkan rasa sakit dan pening kepala yang dirasai Pak Lan bertahun-tahun lamanya akibat kencing manis yang kritikal.

"Keadaannya yang berada di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka sangat lemah untuk bergerak ke mana-mana.

"Dia juga dipakaikan lampin setiap hari. Kakinya tak boleh bergerak langsung seperti biasa dan terpaksa didukung oleh anak bongsunya setiap kali ingin dibawa ke mana-mana. Berat badannya juga susut akibat selera makan yang tak menentu.



"Sama-sama kita doakan Pak Lan urusan sehariannya dipermudah dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan penuh ketabahan dan kesabaran," kata Ustaz Taufik yang turut memuatkan foto-foto terbaharu memperlihatkan keadaan terkini Roslan. 

Ustaz Taufik yang sering melawat Roslan memaklumkan, mereka yang ingin membantu meringankan beban Roslan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi isteri, Zainun Majid atau salah seorang daripada 3 anaknya.

Roslan telah berlakon dalam 12 filem dan puluhan drama.

Filem pertamanya ialah ‘Sembilu II’ pada 1995 dan terakhir ‘Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda’ pada 2020 sebagai Tok Ketua. - KitaReporters


14
9
0
16
0

Copy Link: