BARISAN kuadran Malaysia yang terkandas pada saingan Kumpulan B lagi dek perbezaan mata tipis dengan Myanmar dan Vietnam.  


APA yang disangsikan menjadi kenyataan, apa yang disasarkan tidak kesampaian.

Inilah malang yang menimpa gandingan lelaki negara pada saingan Kumpulan B kuadran (berempat) Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar 2025 di Kompleks Sukan Patliputra, Kankarbagh, Patna, Bihar, India.

Gara-gara dijinakkan oleh Vietnam 12-15, 5-15 pada 21 Mac 2025, mereka meleset daripada sasaran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertingginya untuk ke perlawanan akhir.

Malah yang ralatnya ialah Noraizat Nordin, Shahalril Aiman Halim, Aidil Aiman Azwawi dan Amirul Zazwan Amir terkandas ke suku akhir hanya akibat perbezaan mata dalam kedudukan keseluruhan dengan juara dan naib juara kumpulan, Myanmar dan Vietnam.

Dua pemain simpanan ialah Fetri Azwadi dan Norfaizzul Razak.


TIM wanita memperagakan pingat gangsa kuadran Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar 2025 sebagai pemenang tempat ketiga bersama India. Kiri dan kanan ialah jurulatih, Rashidi Nordin dan Ahmad Ezzat Zaki. - Kredit foto: PSM 


Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan di Kuala Lumpur pada 16 Mac 2025 lalu berkata, beliau tetap menyasarkan final kuadran walaupun masih meragui kemampuan para pemain negara yang sudah lama tidak bertumpu kepada acara ini termasuk kurangnya pendedahan pertandingan.

Kali akhir skuad negara bermain kuadran dalam pertandingan antarabangsa ialah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Titiwangsa.

Malah setiap kali diberi pilihan acara, PSM lebih mengutamakan regu berpasukan, antara regu atau beregu pada temasya dwitahunan rantau Asia Tenggara itu mahupun Sukan Asia dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand. 

Malaysia mengakhiri lebih awal kempen kuadran Piala Dunia Istaf di Bihar di tempat ketiga termasuk setelah menumpaskan Perancis 15-6, 15-7 dan Myanmar 10-15, 17-14, 15-13 pada 21 Mac 2025.


NUR Fatihah Sharudin (14) membuat rejaman ke kawasan Vietnam biarpun berdepan dua pemain lawan dalam separuh akhir kuadran wanita Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Kompleks Sukan Patliputra, Bihar. - Kredit foto: STFI


Namun begitu, cabaran kuadran wanita di Bihar bertahan sehingga separuh akhir menerusi gandingan Siti Norzubaidah Che Ab. Wahab, Kamisah Khamis, Nur Fatihah Sharudin dan Azeira Lusian.

Mereka dengan simpanan, Emilia Eva Natasha Saudia dan Siti Hadinavilla Jumidil disekat oleh Vietnam 11-15, 5-15 dalam separuh akhir selaku juara Kumpulan A setelah memastikan status itu dengan mengatasi India 15-17, 15-10, 15-7.

Dua lagi kemenangan dicapai pada 21 Mac 2025 iaitu terhadap Iran 15-11, 15-7 dan Nepal 15-9, 15-7 serta dengan China tanpa menumpahkan setitis keringat pun kerana lawan tidak dapat hadir akibat masalah visa.

Wanita kita berkongsi podium pemenang tempat ketiga atau gangsa dengan tuan rumah yang turut ditewaskan oleh Thailand dalam separuh akhir.


AKSI hebat Malaysia dan India dalam perlawanan penghabisan Kumpulan A kuadran wanita Piala Dunia di Bihar. - Kredit foto: STFI 

 

9
19
0
13
0

Copy Link: