AZNAN Hassan (baju kuning) diperkenalkan dan bersalaman dengan para pemain Akademi Hoki MBPJ daripada pelbagai peringkat umur. - Kredit foto: LP


MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam pembangunan sukan hoki menerusi Akademi Hoki MBPJ yang memfokuskan bakat baharu pemain bawah 10 hingga 17 tahun sekali gus menjadi pembekal bakal-bakal pemain handalan negara.

Akademi ini yang sudah berusia hampir sedekad atau sebelumnya dipanggil Program Pembangunan Hoki Remaja MBPJ selain itu, sudah berjaya membentuk sebuah pasukan MBPJ yang berdaya saing dalam Liga Hoki Remaja (JHL - Bawah 19 Tahun) kelolaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).


AZNAN HASSAN


“Malah ada kalangan lulusan Akademi Hoki MBPJ sudah menyertai pasukan kebangsaan dan bermain dalam Sukma (Sukan Malaysia) dan Liga Hoki Malaysia Wanita (WMHL) antaranya Nur Atira Mohamad Ismail, Nur Insyirah Effarizal dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini. 

“Sejak lima tahun lalu (2020), pengambilan peserta akademi yang sebelum ini terhad kepada remaja lelaki sahaja, dikembangkan kepada bakat hoki perempuan dengan sejumlah RM200,000 diperuntuk bagi membiayai programnya pada tahun ini (2025),” kata Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan selepas Majlis Penyerahan Jersi Let's Play dan Pengenalan Pemain akademi di Stadium Hoki MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada 23 Februari 2025 lalu.

Tiada yuran bulanan yang dikenakan kepada pemain-pemain namun ada juga ibu bapa yang mungkin secara sukarela mengumpul dana untuk meluaskan pembiayaan tambahan penyertaan anak-anak mereka, ujarnya.

 “Hari ini kejayaan Akademi Hoki MBPJ juga hasil sokongan kuat ibu bapa para pemain. MBPJ juga menerapkan konsep akademi ini untuk semua. Ibu bapa juga bukan sekadar melihat perkembangan anak dalam hoki tetapi kami menggalakkan mereka memberi pandangan dan cadangan bagi menambah baik program,” katanya.


EMPAT pemain pasukan peringkat umur Akademi Hoki MBPJ diperkenal pada hadirin majlis sambil Aznan Hassan (memegang mikrofon) menyampaikan taklimat. - Kredit foto: LP 


Ketua jurulatih Akademi Hoki MBPJ, Mohd. Harfizi Baharom berkata, setakat ini hampir 200 pemain berlatih dengannya yang turut dibantu oleh sembilan penolong jurulatih.

Pecahan peserta akademi ini membabitkan 50 pemain lelaki bawah 17 tahun, 54 pemain perempuan bawah 17, 45 pemain lelaki bawah 12, 50 pemain perempuan bawah 12 serta masing-masing 25 pemain lelaki dan perempuan bawah 10 dan 14.

“Mereka datang dari sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang, tidak semestinya Petaling Jaya. Pemilihan diadakan setiap awal tahun. Mana sekolah yang tiada hoki, Akademi Hoki MBPJ membantu pelajar-pelajarnya untuk berlatih bersama setiap minggu bermula malam, Jumaat hingga petang Ahad.

“Dalam tiga bulan, kami turut mengaturkan dua tiga perlawanan persahabatan setiap kategori umur. Kalau ada kejohanan yang kami sertai di Lembah Klang, semuanya ditanggung MBPJ. Musim baharu JHL akan bermula Julai 2025 nanti dan MBPJ akan menghantar pasukan lelaki dan perempuan.

“MBPJ pernah muncul juara JHL lelaki pada 2017 dan perempuan, 2019,” kata Harfizi, 37, yang pada 22 Februari 2025 lalu mengemudi Pasukan Hoki Terengganu (THT) membolot gelaran trebel Liga Hoki Malaysia 2025 termasuk Piala TNB dan Piala Sumbangsih.


MOHD. HARFIZI BAHAROM


HAIRUL AZMI YUSOF 


Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Let’s Play, Hairul Azmi Yusof memberitahu, penajaan pakaian sukan jenama ini yang bernilai RM50,000 kepada Akademi Hoki MBPJ merupakan yang kedua selepas Akademi Hoki Pahang.

“Kami sediakan dua set pakaian latihan dan satu set pakaian kembara untuk 200 orang termasuk jurulatih pasukan Bawah 12 dan 17 Akademi Hoki MBPJ.

“Sebagai jenama pakaian sukan syarikat bumiputera berpangkalan di Shah Alam, Selangor sejak 2016, Let's Play menyokong padu pembangunan hoki termasuk kejohanan yang membabitkan sekolah-sekolah, Let’s Play Extended Kid,” katanya.

bahkan Let's Play, tambahnya, pernah menaja dua kejohanan hoki antarabangsa seperti Piala Datuk Mirnawan Nawawi 2024 dan Piala Sultan Johor (SOJC), katanya.

Let’s Play jelas beliau, juga meletakkan KPI (indeks prestasi utama) tertentu untuk pasukan tajaannya yang setakat ini seperti PDRM Blue Warriors dan Malaysian University muncul juara dan naib juara WMHL 2025. 

Turut kini ditaja kata Hairul atau lebih popular dijuluki Megat ialah empat pasukan bola sepak Liga A1 Semi-Pro iaitu si juara musim 2025 - Imigresen FC, UiTM United, Gombak FC dan Malaysian University. - KitaReporters


PARA pemain Akademi Hoki MBPJ dan tetamu kenamaan melaungkan sorakan semangat pada Majlis Penyerahan Jersi Let's Play dan Pengenalan Pemain di Stadium Hoki MBPJ, Petaling Jaya. - Kredit foto: LP


20
13
0
8
0

Copy Link: