Siapa kuat? Ada berani? Bersedialah! Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan kembali! Pada 11 Dis 2021
Published byPOSTER Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 anjuran MyArms. - Kredit foto: MyArms
MOHAMMAD Safuan Asif (kiri) dan Jake Chia Jun Kit, antara jagoan gusti lengan negara yang bakal beraksi dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan pada 11 Disember 2021.
TAHUN 2020 menyaksikan hampir seluruh arena sukan negara terpaksa 'dicutikan' gara-gara pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih setahun jugalah para penggusti lengan tanah air kempunan beraksi di arena tempatan mahupun untuk menggalas cabaran negara ke Kejohanan Gusti Lengan Dunia di luar negara apatah lagi ini sukan yang bersentuhan fizikal.
Mujurlah fasa pemulihan negara secara beransur-ansur turut berjaya menghidupkan semula sektor sukan sambil Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan kembali dijadualkan berlangsung pada 11 Disember 2021 di Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor.
Bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang, kejohanan edisi keempat ini menjadi medan pengiktirafan tertinggi buat para penggusti lengan handalan seluruh negara yang pasti ternanti-nanti lama kehadirannya saban tahun.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gusti
AKSI kategori tangan kiri merebut gelaran keseluruhan dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan (MyArms) 2019 di Cyberjaya.
MOHD. ZIL FADLI ABD. HALIM
Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd. Zil Fadli Abd. Halim berkata, “seperti edisi-edisi terdahulu, kejohanan ini mahu mencari sekumpulan penggusti lengan terbaik Malaysia dalam pelbagai kategori berat badan.
“Ramai penggusti lengan dari negeri-negeri ahli gabungan MyArms pasti teruja dan bersemangat untuk menguji dan mempamerkan kejaguhan mereka dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021," katanya.
Bagi mengelak penularan kembali Covid-19, kejohanan ini tegasnya, turut akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penganjuran pertandingan sukan tempatan.
Kali terakhir kejohanan anjuran MyArms yang diasaskan pada 2014 ini berlangsung ialah pada 17 Ogos 2019 di sebuah hotel di Cyberjaya, Selangor.
JOFFEY Jolly (kanan) menewaskan penggusti lengan Ukraine untuk bergelar juara dunia kategori 70kg dalam Kejohanan Dunia IFA 2019 di Rumia. - Kredit foto IFA
“Turut dijangka beraksi kali ini ialah Joffey Jolly, juara kategori senior 70 kilogram tangan kanan Kejohanan Gusti Lengan Dunia anjuran Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) 2019 di Rumia, Poland. Atlet kelahiran Sabah ini juga memenangi pingat gangsa berat sama (tangan kiri) di sana.
“Nama-nama besar gusti lengan Malaysia lain termasuk Mohammad Safuan Asif yang juga pemenang pingat perak senior 57kg kanan dan pemenang pingat gangsa kiri kejohanan sama dan Abigail Kee, pemenang pingat perak remaja 70kg kiri dan kanan,” kata Zil Fadli.
Namun katanya, MyArms tidak dapat mempertaruhkan kembali jagoan-jagoan negara ke Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA pada September 2021 di Orlando, Florida, Amerika Syarikat kerana masalah visa dan Covid-19.
GUSTI lengan hanya menuntut 30 peratus kekuatan, manakala 70 peratus lagi daripada kemahiran, latihan dan penggunaan teknik seperti hook, top roll dan press.
JOFFEY Jolly (dari kiri), Abigail Kee, Jolly Johnson (kapten) dan Mohammad Safuan Asif menayangkan pingat Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 yang dimenangi masing-masing. - Kredit foto: MyArms