Video| Terima kasih Konsortium IRAMA! Santuni artis uzur, terkesan PKP! Dan gelandangan di JB!
Published byAyob Abd Majid (tengah) bersama Jatt (kanan) ketika menziarahi penyanyi era 70-an, Zaleha Hamid yang terlantar sakit di Johor Bahru.
Ayob (tengah) bersama Jatt (tiga dari kiri) dan rakan-rakan artis lain ketika menjayakan program amal di bandar raya Johor Bahru.
BIARPUN industri muzik tanah air kini dalam keadaan suram di mana kebanyakan pengiat industri tersebut terkesan sejak negara dilanda pendemik Covid-19 hampir dua tahun lalu, namun semua itu bukan alasan untuk mereka berdiam diri dan tidak menabur bakti kepada masyarakat khususnya rakan seperjuangan yang kurang bernasib baik.
Menyedari keperluan untuk saling menghulur tangan membantu mereka yang terkesan, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengambil inisiatif untuk turun padang menghulurkan bantuan berupa keperluan harian kepada artis-artis di selatan tanah air serta menyantuni gelandangan di bandar raya Johor Bahru pada Sabtu, 18 September 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan IRAMA
Ayob Majid (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penyanyi 60-an yang popular dengan lagu Cincin Emas, A. Rahman Onn (kanan)
Jatt bersama rakan-rakan ketika menjayakan program amal menyantuni artis dan golongan kurang bernasib baik di bandar raya Johor Bahru.
Presiden IRAMA, Ayob Majid berkata, antara artis yang menerima sumbangan tersebut adalah penyanyi era 60-an, A. Rahman Onn; gitaris kumpulan Sweet Charity, Rosli Muhalim; penyanyi dangdut popular era tahun 70-an, Zaleha Hamid serta salah seorang bekas anggota kumpulan Black Dog Bone, Jatt.
Katanya, program tersebut juga diadakan bersama Dr Zarina Gurraahman, yang mendapatkan dana daripada sumbangan artis Singapura yang mewujudkan tabung kebajikan di negara republik itu.
“Sebenarnya program ini selain bertujuan untuk membantu artis yang mengalami masalah kesihatan atau terkesan sepanjang tempoh perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ia juga merupakan sebagai tanda ingatan kepada mereka.
“Sumbangan yang kami hulurkan mungkin tidak sebesar mana, namun kunjungan kami mungkin mampu mengubat kesunyian mereka selepas tidak lagi aktif dalam bidang seni selain mampu membangkitkan kembali semangat mereka untuk terus menyumbang idea serta berkongsi pengalaman dalam bidang muzik kepada golongan muda,” katanya.
Menurut Ayob lagi, program tersebut bukan sahaja menziarah rakan-rakan artis, sebaliknya turut menyantuni lebih 50 orang gelandangan yang terdapat di bandar raya Johor Bahru pada Sabtu, 18 September 2021 sebagai salah satu usaha IRAMA untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Antara gelandangan di bandar raya Johor Bahru yang menerima makanan ketika program amal anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) di Johor.
Menurut Ayob, turut turun padang menjayakan program tersebut adalah rakan artis serta mereka yang terlibat dalam industri muzik tanah air termasuk Jatt yang merupakan bekas vokalis kumpulan Black Dog Bone yang popular dalam tahun 80-an.
Dalam masa sama, dia turut berharap lebih banyak program seumpama dapat diadakan pada masa akan datang bukan sahaja melibatkan rakan artis di selatan tanah air, sebaliknya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Serawak.
Ayob yang pernah bertugas di syarikat rakaman antarabangsa Pony Canyon merupakan salah seorang pengurus artis terkenal tanah air yang berpangkalan di Kuala Lumpur sebelum ini dan terlibat secara aktif dalam usaha membawa masuk artis-artis negara jiran Indonesia untuk membuat persembahan di negara ini.
“Program ini tidak sama sekali menafikan sumbangan dan aktiviti yang telah dianjurkan pelbagai persatuan industri seni tanah air bagi membantu golongan artis sebelum ini, sebaliknya ianya hanyalah merupakan salah satu tanggungjawab sosial kami selain untuk menzahirkan penghargaan terhadap jasa serta sumbangan golongan artis terdahulu.
“Mungkin ketika ini terdapat dalam kalangan mereka yang sudah tidak aktif atau mengalami masalah kesihatan, namun sumbangan serta jasa mereka dalam mewarnai industri muzik tanah air sebelum ini tidak harus dilupakan begitu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob turut berharap penglibatan lebih ramai artis masa kini dalam sebarang program amal yang dianjurkan oleh mana-mana pihak dalam usaha membantu serta menyantuni artis terdahulu kerana melalui program sebegini mereka boleh berkongsi pengalaman berharga dari golongan artis terdahulu. - KitaReporters
Jai Ria Band (kiri) salah sorang artis selain Jatt yang turut meluangkan masa menjayakan program amal menyantuni golongan kurang bernasib baik di bandar raya Johor Bahru.