Video| Salah faham niat mati di Tanah Suci? Syamsul Debat jawab! Kongsi pengalaman tunai umrah!
Published byRAMAI yang menarik lafaz lega dan kerinduan untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah selepas kerajaan Arab Saudi kembali membenarkannya dengan syarat-syarat tertentu.
Maka ramailah yang mula merancang dan meneruskan
perancangan yang tertunda sekian lama untuk menjejakkan kaki ke sana.
Dalam keterujaan mengerjakan ibadah umrah, jangan sesekali kita lupa untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana COVID-19 masih ada.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Mekah dan Madinah
Bagi yang belum ada rezeki untuk ke sana, dapat melihat rakan-rakan berkongsi gambar dan cerita pengalaman di sana dalam media sosial, ia sudah memadai untuk mengurangkan kerinduan pada tempat suci tersebut.
Antara figura umum yang ke sana menunaikan ibadah umrah ialah penceramah bebas, Ustaz Syamsul Debat atau nama penuhnya Syamsul Amri Ismail.
Namun, perkongsian beliau berhadapan pengalaman menyaksikan pengurusan jenazah di Tanah Suci menarik perhatian netizen.
Jenazah rakyat Malaysia yang sedang diuruskan untuk dikebumikan di Tanah Suci.
Pada mulanya netizen yang ingintahu bertanyakan
kepadanya ke manakah jenazah tersebut dikebumikan apatah lagi jenazah itu
merupakan rakyat Malaysia. Malah ada juga yang bertanya, kenapa jenazah tidak
dibawa pulang ke negara asal sebaliknya dikebumikan di Tanah Suci.
Jelas Ustaz Syamsul, untuk membawa pulang jenazah ke
negara asal bukan perkara mudah kerana ia memakan masa dan kos yang tinggi.
“Malam tadi, sekembalinya dari solat isyak, saya sempat
melihat satu jenazah yang rupa-rupanya jemaah umrah dari Malaysia. Mulalah ada
yang bertanya mereka akan dikebumikan di mana agaknya Ustaz. Maka saya
menjawab, Insya-Allah akan dikebumikan di Tanah Suci ini juga.
“Lalu mereka bertanya, mengapa Ustaz? Berikut alasan
orang yang meninggal dunia di Mekah saat haji atau umrah tidak boleh dibawa
pulang.
“Alasan orang meninggal dunia di Mekah saat haji
atau umrah tidak boleh dibawa pulang kerana pemerintahan Arab Saudi khuatir
jarak tempoh yang sangat jauh, akan merosakkan keadaan jenazah.
“Selain itu, perbelanjaan yang akan dikeluarkan juga tidak sedikit, kerana harus menggunakan pesawat dan juga menguruskan beberapa perkara penting lainnya.
“Ketika terdapat keluarga atau kerabat yang meninggal dunia ketika sedang menjalankan ibadah umrah atau haji, keluarganya sudah mengikhlaskan untuk jenazahnya dikuburkan di sana.
“Namun, tidak jarang jemaah haji atau umrah yang
berdoa ingin meninggal dunia di Tanah Suci. Terdapat hadis yang menjelaskan
keutamaan Muslim yang meninggal di Tanah Suci, yang ertinya:
"Siapa yang boleh meninggal di Madinah, silakan meninggal di Madinah. Kerana aku akan memberikan syafaat bagi orang yang meninggal di Madinah. Hadis Riwayat At-Tirmidzi disahihkan an-Nasai dalam Sunan Al-Kubra (1/602) dan Al-Albani.
“Jika ada yang ingin memaksa memulangkan jenazahnya
ke negara asal, misalnya ke Malaysia, perkara tersebut harus membabitkan atau
dibantu oleh kerajaan Malaysia.
“Tetapi proses ini tidak mudah dilakukan kerana memerlukan waktu yang tidak sedikit dan juga harus mendapatkan persetujuan daripada pihak berkuasa setempat, pihak hospital dan juga memerlukan tandatangan pengesahan daripada Gabenor Mekah yang sedang menjawat jawatan itu ketika itu,” jelasnya panjang lebar.
Kredit foto: IG Syamsul Debat Official
Namun penjelasannya itu mengundang lagi persoalan daripada orang ramai mengenai niat mati di Tanah Suci adakah ia dibenarkan dalam Islam.
Menurut Syamsul perkara tersebut telah dijelaskan oleh Rasululullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Soal Ustaz Syamsul lagi, kenapa kita mahu mati sedangkan niat kita mahu pergi menunaikan ibadah.
“Kita pergi untuk buat ibadat, kenapa hendak minta
mati pula? Bukankah banyak tanggungjawab kita di tanah air dan berapa banyak
pahala boleh dapat jika umur kita panjang? Kalau semua orang minta mati di
sana, siapa pula yang akan jaga agama?
“Adakah kita ingin mati di Mekah atau Madinah sebab
ada orang kata kalau mati di sana masuk syurga? Kalau begitu sebabnya kita
hendak mati, maka pendapat itu tak betul. Cuma apa sebab mati itulah yang perlu
jelas.
“Tidaklah menjadi kesalahan minta mati di Makkah
atau Madinah tetapi yang salah ialah bunuh diri atau cari jalan hendak bunuh
diri sebab hendak mati di sana.
“Mintalah mati dalam husnul khatimah. Walau di mana
mati sekalipun, jika dalam husnul khatimah itulah yang baik. Meninggal dunia
ketika mengerjakan haji atau umrah, mudah-mudahan termasuk dalam husnul
khatimah.
“Tuntasnya, persiapkanlah diri kita untuk menghadapi
hari kematian kelak. Sudah bersediakah kita? Sudah cukupkah amalan kita untuk
dibawa untuk menghadap Sang Pencipta?
“Janganlah kita terlampau mengejar dunia sehingga kita lalai dan alpa tentang pentingnya hari akhirat. Amalan di dunia itulah yang menentukan di mana kita di sana nanti. Doa seorang anak soleh, sedekah jariah kita, itulah yang memberi bekalan kita untuk hari mati nanti. Semoga kita semua mati dalam kalangan orang yang beriman,” akhirinya.
Semoga dengan penjelasan ini sama-sama kita fikir dan memburu mati dalam keadaan husnul khatimah dan bukannya memburu di mana tempat kita mati. Di mana dan bila kita mati itu rahsia Allah SWT. - KitaReporters
Ustaz Syamsul Debat bersama jemaah umrah di Tanah Suci Mekah.