Moussa Sidibe! Sayap kanan import baharu Harimau Selatan! Gugat trio Harimau Malaya dalam JDT?
Published byMOUSSA Sidibe (tengah), kemasukan import baharu JDT, sekali gus mencetuskan persaingan sengit sayap kanan dalam kesebelasan utama JDT FC 2022. - Kredit foto: JDT
POSITIF atau negatif? Membina atau membinasa?
Kemasukan seorang lagi pemain import terbaharu, Moussa Sidibe dalam Johor Darul Ta’zim (JDT) FC mencetuskan persoalan itu.
Sayap kanan kelahiran Mali dari kelab SD Ponferradina, Sepanyol itu menyertai Harimau Selatan di kem latihan pramusim Liga Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sidibe, 28, menyusuli langkah Fernando Forestieri (Argentina) dan gandingan Sepanyol - Bienvenido Maranon dan Carli de Murga sebagai penyarung jersi biru merah JDT bagi musim 2022 yang bermula 26 Februari ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JDT
Namun bagaimana pula nasib tiga sayap Harimau Malaya dalam kesebelasan utama JDT seperti Safawi Rasid dan Arif Aiman Hanapi malah si naturalisasi Mohamadou Sumareh?
Semakin kurang minit permainan bersama JDT kendalian Benjamin Mora dari Mexico, akan kian tipislah peluang trio ini untuk menyertai skuad negara yang kini diterajui Kim Pan-gon dari Korea Selatan.
BENJAMIN Mora (kiri) dan Alistair Edwards mengapit pemain import JDT dari Sepanyol, Carli de Murga dalam majlis menandatangani kontrak di Johor Bahru. - Kredit foto: JDT
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards walau bagaimanapun telah bersedia dengan jawapannya dalam laman sosial Facebook Johor Southern Tigers:
“JDT FC akan memiliki skuad yang besar untuk kempen 2022 kerana Harimau Selatan akan bersaing dalam empat kejohanan dengan kembalinya Piala FA selain Liga Super dan Piala Malaysia mahupun Liga Juara AFC (ACL).
“Harimau Selatan bakal bermain 50 perlawanan pada musim 2022 bergantung kepada kemaraan ke pusingan kalah singkir (FA, Piala Malaysia dan ACL.
SAFAWI Rasid mengumpul empat gol buat Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 (2021) di Singapura dari 6 hingga 19 Disember 2021 namun posisinya di JDT bakal tergugat dengan kehadiran pemain kelahiran Mali, Moussa Sidibe. - Kredit foto: AFF
“Justeru, skuad besar yang berkualiti diperlukan untuk penggiliran pemain dan memastikan pasukan berada pada tahap optimum untuk semua pertandingan.
"Akan ada pemain yang terlibat dalam sistem penggiliran juga akan menyaksikan mereka bermain untuk JDT FC II (Liga Perdana) untuk mendapatkan ‘kecergasan perlawanan’ dan memastikan mereka bersedia bagi pasukan utama pada bila-bila masa.
“Penggiliran bersama JDT FC II juga akan membantu perkembangan pemain muda yang bercita-cita tinggi dalam JDT II apabila mereka dapat menimba pengalaman berharga bermain bersama pemain yang lebih berpengalaman.
“JDT FC mahu memastikan peralihan yang lancar ke pasukan senior seperti kisah kejayaan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah Usman,” kata bekas penyerang Singapura, Johor, Selangor dan Sarawak serta Australia era 90-an ini.
SYAHMI Safari, bek kanan Harimau Malaya yang menyertai JDT FC mulai musim 2020, bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Dubai, UAE. - Kredit foto: JDT
JDT FC dalam siri perlawanan persahabatan pramusim 2022 ini, akan menentang kelab Slovakia, MSK Zilina pada 25 Januari 2022 dan FC Riga (Latvia), 28 Januari 2022.
Dua lagi lawan ialah kelab Russia, Rodina Moscow (2 Februari 2022) serta yang berpengalaman Liga Juara Eropah UEFA, Spartak Moscow (5 Februari 2022).
Kata pemilik Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim: “Ini kali kedua JDT mempersiapkan pasukan di Dubai (selepas 2020). Kami mahu kelainan berbanding kelab-kelab tempatan lain, Dubai lagipun mempunyai prasarana bola sepak dan latihan yang canggih, seperti mana kami di Johor Bahru.
“Dubai juga sering menjadi lokasi latihan kelab-kelab Eropah yang mahu lari daripada cuaca sejuk melampau dan membolehkan mereka menjalani latihan seperti biasa. Jadi ini kesempatan kami melakukan sparring (uji latih) yang amat penting menjelang ACL.
“Bukan mudah untuk JDT diterima sebagai tetamu (di Dubai) tetapi dengan rangkaian hubungan yang dimiliki dalam dunia bola sepak, tiada masalah,” katanya yang juga Tunku Mahkota Johor dalam laman sosial berkenaan.
MOHAMADOU Sumareh (kanan) agak bergelut mendapatkan prestasi terbaiknya sama ada dengan JDT FC mahupun skuad kebangsaan. - Kredit foto: JDT
Harimau Selatan juga mengekalkan Mauricio dos Santos (Brazil), Shane Lowry (Australia), Leandro Velasquez (Argentina) dan Bergson da Silva (Brazil) dalam musim 2022 ini.
Musim 2021 menyaksikan mereka merangkul gelaran Liga Super kali kelapan berturut-turut, mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah dan muncul naib juara Piala Malaysia namun terkandas pada peringkat Kumpulan G ACL di Bangkok.
Tirai Liga Malaysia 2022 bakal disingkap dengan perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari 2022 antara JDT FC dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC di Johor Bahru. - KitaReporters
KEDUDUKAN undian ACL 2022 Kumpulan I membabitkan JDT FC yang disaingi kelab Jepun dan China serta pemenang play-off antara bekas juara ACL dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan Port FC, Thailand. - Kredit foto: JDT
MORA dan bek tengah, Aidil Zafuan Abd. Radzak bersedia bagi perlawanan pembuka tirai Liga M 2022, Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari 2022 (kanan). - Kredit foto: MFL
JDT FC (kiri) dan Kuala Lumpur City FC dalam final Piala Malaysia 2021 di Bukit Jalil pada 30 November 2021 lalu, bakal kembali berentap demi Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari 2022 di Johor Bahru. - Kredit foto: KLC