Zul Ariffin enggan jaja kisah peribadi termasuk isterinya! Tidak terpengaruh Penunggang Agama!

Published by
KitaReporters


PELAKON popular berbadan sasa tetapi diminati ramai kerana rupa dan wataknya yang romantis, Zul Ariffin, 35, tidak mengiya ataupun menidakkan lakonan yang memerlukan adegan berpegang tangan atau intim dengan pasangannya dalam filem mahu pun drama.

“Saya adalah diri saya. Tidak berubah dan akan mengikut kehendak skrip dalam lakonan,” begitu jelas Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin walaupun sejak akhir-akhir ini ramai yang beranggapan Zul sudah berhijrah apabila tampil bersama kumpulan tabligh dengan rakan artis lain seperti Anuar Zain, Norman Hakim, Shahrul Ridzwan dan ramai lagi.

Malah Zul Ariffin sering juga dilihat bersama Ustaz Ebit Lew dalam beberapa aktiviti anjuran pendakwah terkenal itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Zul Ariffin


"Orang kata kita hijrah tetapi bagaimana kita hijrah akhlak dan jamin tidak buat dosa. Saya bersama mereka kerana ada waktu terluang dan mahu mendalami serba sedikit ilmu keagamaan agar menjadi manusia lebih baik dalam kehidupan,” tambah Zul sambil berharap mereka yang suka komen lebih baik jaga lidah dan mulut dan tidak bersangka buruk.

Mengulas lanjut ketika ditemu bual secara virtual dalam sidang media filem ‘Penungang Agama 2’, Zul tetap dengan pendiriannya tidak mahu berkongsi banyak perihal peribadinya, lebih-lebih lagi soal berhijrah mahu pun mengenai pasangan hidupnya.

“Saya tetap diri saya dan tidak mudah terpengaruh dengan ‘penunggang agama’ yang sentiasa ada sekeliling kita tanpa disedari,” akui Zul.

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah pengarah filem berkenaan, Syafiq Yusof.

‘Penunggang Agama 2’  bakal menemui penonton bermula 19 Oktober 2021 ini, Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 di mana merek boleh menyaksikannya dengan bayaran RM15 bagi tempoh 48 jam atau boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Malah, bagi mereka yang terlepas menonton Penunggang Agama 1, boleh juga melanggan dua koleksi filem tersebut secara kombo (Penunggang Agama 1 dan Penunggang Agama 2) dengan satu harga istimewa RM19.90. 



Masih mengekal teraju utamanya iaitu pelakon popular tanah air, Zul Ariffin sebagai Amir, bersama pelakon, penyanyi dan juga pengacara Azira Shafinaz sebagai Anna, filem seram thriller terbaharu ini menampilkan aksi yang lebih seram dan penuh kejutan berbanding filem Penunggang Agama pertama.

Dalam pada itu,  menyambung topik hijrah, Zul Ariffin tidak menganggap wataknya sebagai Ustaz Amir mempengaruhi diriya mendekati jemaah tabligh mahu pun Ebiet Liew.

“Bukan kerana filem terbabit saya perlu berhijrah. Saya rasa bertuah apabila dapat bersembang dengan rakan-rakan ketika berkumpul apatah lagi apabila ada masa terluang,” jelas pelakon yang baru-baru ini diserang hipertensi dan dikejarkan ke hospital.



Menurut Zul keadaan yang menimpanya itu tidak disedarinya dan menganggap mungkin kerana terlalu banyak masa lapang dan kurang bekerja disebabkan  PKP membuatkan kesihatannya terganggu.

“Apa pun alhamdullillah, saya masih hidup. Selepas keluar hospital esoknya saya dah ke gim,” cerita Zul yang turut nafi rasa stres disebabkan soal kahwin.

Katanya, selagi belum tiba masanya untuk berkahwin beliau sekali-kali tidak akan berkongsi sebarang perhubungan dengan mana-mana wanita.

“Tak membawa faedah kepada saya pun untuk berkongsi hal peribadi,” akhirinya.

Memegang watak seorang yang digelar Ustaz dalam ‘Penunggang Agama 2’, Zul akui perlu mengawal emosi bagi merealisasikan wataknya mengikut kehendak pengarah.

“Sepanjang penggambaran saya tidak diganggu dengan sebarang gangguan mistik cuma saya lebih takut dengan COVID-19 pada waktu itu,” ujar Zul dalam ketawa kecil.

'Penunggang Agama 2' lebih terang dan bersuluh dalam menghuraikan definisi ‘penunggang agama.’ 



Watak baru yang diperkenalkan seperti Father Michael yang digerakkan oleh pelakon hebat Tony Eusoff (gambar atasberupaya memberikan persembahan terbaik untuk watak seorang paderi. 

Pertembungan antara Islam dan Kristian diadun dengan menarik oleh Syafiq Yusof dengan mesej ‘Islam itu sempurna, Muslim Yang Tidak’ bahkan babak akhir di sebuah bukit menghijau saujana memandang memberikan kiasan pula kepada anak-anak muda yang beranggapan suasana  tenang dan aman begitu dikatakan ‘romantis’.



Apa pun yang pasti,  filem terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw ini  menjanjikan debaran yang tidak disangka-sangka lengkap dengan latar bunyi yang menambahkan lagi kejutan.

Antara pelakon lain yang turut membintangi Penunggang Agama 2 adalah Salina Saibi (Huda), Johan As’ari (Hafiz), Dato’ Rahim Razali (Datuk Fawwas), Anna Jobling (Anak Datuk Fawwas), Puteri Nurqaseh (Sarah), Burhan Sidqi (Bakhtiar),  Sharifah Aisyarha (Anim) dan sudah tentunya Nasir Bilal Khan yang cukup menggerunkan solekan pada wajahnya kali ini.

Nak tahu apa kah dendam Huda terhadap Amir dan Anna berjaya, nantikan 19 Oktober 2021 ini di Astro First. - KitaReporters


15
9
0
10
2

Copy Link: