Sahoca Bikers Legend hargai pelajar SMKSG cemerlang PdPR! Santuni, sokong pelajar cari ilmu!
Published bySelain menjalan aktiviti riadah dan jelajah, kelab motosikal Sahoca Bikers Legend, turut menitikberatkan aktiviti turun padang melaksanakan gerak kerja amal sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Antaranya, aktiviti kemasyarakatan yang membabitkan komuniti dan pelajar di sekitar Alor Setar dan Kedah khasnya.
Keprihatinan Sahoca Bikers Legends telah direalisasikan dalam satu aktiviti memberi sumbangan kepada 155 pelajar cemerlang PdPR Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunong (SMKSG) di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Program yang diadakan secara santai ini melibatkan 15 orang ahli grup Sahoca Bikers Legend, dianggotai bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelab motosikal
Sahoca Bikers Legends bergambar dengan Shamshulbadri Ishak (empat dari kanan).
"Program seperti ini membolehkan kami Sahoca Bikers Legends menyantuni para pelajar ini dengan lebih dekat sebagai sokongan terhadap kemajuan mereka dalam mencari ilmu," kata Presidennya, Ahmad Zahir Hamzah.
Menurut Ahmad Zahir, peluang ini juga digunakan untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima yang datang dari latar belakang yang berbeza.
"Alhamdulillah, majlis berlangsung dalam suasana harmoni dan ceria. Kami juga terasa macam balik ke sekolah semula," ujarnya.
Seorang ahli Sahoca Bikers Legends, Noor Hisham Bahadon menyampaikan dumbangan kepada salah seorang pelajar.
Shahrunnizam Haron menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar
Seramai 155 pelajar cemerlang Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima menerima hadiah berupa barangan keperluan dan pembelajaran hasil sumbangan ahli dan orang ramai.
Dengan komitmen para guru, PdPR di sekolah ini berjalan dengan baik dan penglibatan murid juga sangat menggalakkan.
Sehubungan itu Sahoca Bikers Legends terpanggil untuk berkerjasama dengan pihak SMK Seri Gunong untuk memberi penghargaan kepada murid yang aktif PdPR ini dan berjaya cemerlang.
"Kerjasama ini bertujuan memupuk kepentingan bersama dan menambah baik penyampaian perkhidmatan antara SMK Seri Gunong dan Sahoca Bikers Legends dalam bidang pengurusan dan kepimpinan yang telah dipersetujui.
"Program ini juga akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dalam membangunkan hala tuju bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan yang bermanfaat bagi kedua-dua belah pihak berdasarkan beberapa perkara yang telah dibincangkan," kata Ahmad Zahir.
Seorang pelajar menerima sumbangan dari Azizan Abd Wahab
Kedua-dua belah pihak akan merancang, membangun dan melaksanakan projek-projek kepimpinan pendidikan dan kemahiran yang berfaedah sebagai keutamaan.
Pada masa sama, Sahoca Bikers Legends akan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti yang menjana pertumbuhan dan pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran serta kepakaran untuk sekolah ini.
"Kami juga akan menjalankan lain-lain aktiviti atau apa sahaja projek usaha sama yang dipersetujui kedua-dua belah pihak demi untuk kemajuan dan kecemerlangan sekolah," ujar Ahmad Zahir.
Termeterai... Perjanjian kerjasama antara Sahoca Bikers Legends dan SMKSG yang diwakili Ahmad Zahir (duduk) dan Shamshulbadri Ishak.
Sementara itu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunung, Gunung Keriang, Cikgu Shamsulbadri Ishak berkata, pihaknya berterima kasih dan berbesar hati di atas iniasiatif yang dilakukan oleh Sahoca Bikers Legends kepada para pelajar sekolah SMKSG.
"Kami mengalu-alukan sumbangan dan kerjasama seperti ini untuk kemajuan para pelajar dan sekolah khasnya.
"Saya mendoakan tuan-tuan sentiasa dalam sihat walafiat dan dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan untuk meneruskan kerja kerja amal seperti ini pada masa hadapan," tambahnya.
Pada akhir majlis, satu perjanjian kerjasama turut ditandatangani antara Sahoca Bikers Legends dan SMKSG dengan Sahoca Bikers Legends diwakili Ahmad Zahir dan SMKSG oleh Shamshulbadri Ishak. - KitaReporters
Penyampaian cenderahati untuk Sahoca Bikers Legends