Kredit foto-foto: Samsudin Oli Mohamed


TATKALA ramai individu seusianya gemar beraktiviti bersama kawan-kawan namun seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara Kodiang, Kedah memilih untuk memberi tumpuan terhadap dunia penternakan.

Ahmad Mukhlis Shahidan, 18, tidak kisah dengan bau busuk dan bergelumang najis kerbau, lembu, kambing serta arnab ternakannya malah turut bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang berkaitan ternakan atau pertanian.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ternakan


Ahmad Mukhlis punyai impian untuk bergelar petani muda suatu hari nanti dan raih kejayaan tersendiri dalam bidang penternakan atau pertanian.

Berkongsi cerita, remaja ini memaklumkan dia mula berjinak-jinak dalam bidang penternakan seawal pada usia tujuh tahun kerana sering mengikuti bapanya ke kandang ternakan dan semakin hari minatnya kian mendalam. 

“Walaupun sibuk dengan persekolahan namun saya tetap akan bahagikan masa sebaik mungkin bagi membolehkan ke kandang di Padang Sera dan Kodiang melihat haiwan ternakan serta melakukan kerja-kerja berkaitan yang memberikan keseronokan tersendiri. 

“Sebalik pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan sekolah terpaksa ditutup, saya punyai lebih masa lapang untuk memberi tumpuan terhadap kerja-kerja ternakan sekali gus dapat menambah pendapatan. 

“Mungkin dunia penternakan ini tidak glamor tetapi punyai masa depan begitu cerah. Melihat aspek inilah saya berhasrat untuk meneruskan pelajaran pada peringkat lebih tinggi dalam bidang ternakan dan pertanian selepas ini,” katanya kepada KitaReporters. 


 Bidang penternakan mempunyai masa depan begitu cerah bagi Ahmad Mukhlis.



Tambah Ahmad Mukhlis, segala dilakukannya kini serta perancangannya itu juga diharapkan sedikit sebanyak menarik minat golongan muda yang diketahui umum semakin kurang meminati bidang penternakan.

“Minat saya ini tidak pernah menghalang untuk tetap bersama rakan-rakan tetapi keutamaan lebih diberikan kepada haiwan ternakan. Saya seronok berada di kandang jalankan kerja, bukan sahaja dapat isi masa dengan berfaedah tetapi juga timba pengalaman dan jana pendapatan.

“Saya yakin dengan minat dan semangat diberikan ibu bapa serta penduduk setempat membolehkan saya dapat mencipta nama sebagai penternak atau petani muda negara suatu hari nanti,” ujarnya.

Kata remaja ini lagi, selain menjaga ternakan dia juga menjual serta membekalkan susu kerbau dan berharap pihak-pihak berkaitan dapat membantunya menambah jumlah ternakan memandangkan kini susu dibekalkan tidak dapat menampung permintaan pelanggan yang begitu tinggi.- KitaReporters


Susu kerbau hasil ternakannya mendapat permintaan yang tinggi oleh penduduk setempat.


Setiap pagi kerbau-kerbau peliharaan dimandikan Ahmad Mukhlis.


17
13
0
20
1

Copy Link: