Tahniah Elavarasan! Atasi Zainal, Azraai! Bantu Kim Pan-gon! Misi julang kembali Harimau Malaya!
Published byE. Elavarasan (kiri) dan Pengarah Teknikal Sarawak United FC yang juga bekas ketua jurulatih negara, B. Sathianathan. - Kredit foto: SUFC
E. Elavarasan mengetepikan dua calon yang disenarai pendek terdahulu, Zainal Abidin Hassan dan Azraai Khor Abdullah untuk sah menyandang jawatan penolong jurulatih skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Anak jati Selangor berusia 60 tahun ini, diumumkan sebagai anggota terbaharu barisan kejurulatihan negara yang diterajui warga Korea Selatan, Kim Pan-gon, dalam satu siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 Februari 2022.
Tuah tampak berpihak kepada bekas ketua jurulatih Sarawak United FC ini biarpun dia pernah dilaporkan, tidak memohon jawatan berkenaan yang jauh berbeza dengan calon-calon lain.
Namun Elavarasan terlebih dulu turut ditemu duga Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell dan Pan-gon yang akhirnya berpuas hati bahawa beliau menepati ciri-ciri idamannya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kim Pan-gon
E. Elavarasan (kiri) mendapat kepercayaan Kim Pan-gon sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM
"Dia berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain pasukan-pasukan Liga Super dan Perdana.
"Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell dan saya sendiri, Elavarasanlah yang terbaik dan paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi maklumat tepat, nasihat dan pendapat.
"Dia jurulatih yang jujur, tekun dan sedia memberikan kerjasama penuh dalam membantu kami barisan kejurulatihan baharu membawa Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik," kata Pan-gon, 53, bekas ketua jurulatih Hong Kong (2009-2010 dan 2012-2017).
KIM Pan-gon (tengah) dan barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya yang turut dibawanya (dari kiri) dengan penolong-penolongnya (dari kiri), Cho Jun-ho, Gokhan Kandemir, Pau Marti Vicente dan Lim Jae-hun. - Kredit foto: FAM
Elavarasan yang lahir pada 5 Januari 1962, membimbing Sarawak United FC sejak Februari 2020 sehingga berjaya muncul naib juara Liga Perdana 2021 sekali gus melonjak menyertai Liga Super 2022.
Dia tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan kebangsaan termasuk peringkat umur di bawah naungan FAM sebelum ini.
Namun dia pernah ditawarkan sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun Malaysia pada 2017 yang ditolaknya.
"Satu penghormatan dengan pelantikan ini. Juga satu cabaran dan peluang untuk menyumbang pada peringkat kebangsaan. Saya gembira kerana diberi peluang terbabit dalam projek Pan-gon.
“Saya harap kami anggota kejurulatihan pasukan kebangsaan dapat cepat serasi dalam menghadapi tugasan utama antarabangsa (terutama pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Malaysia pada 8, 11 dan 14 Jun 2022),” katanya.
Pada 17 Februari 2022, Pan-gon memperkenalkan barisan penolongnya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol, Korea Selatan), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan, Turki) dan Lim Jae-hun (juruanalisis prestasi, Korea Selatan).
Harimau Malaya kendalian Pan-gon, dijadualkan memulakan kem latihan pusat mereka pada 14 Mac 2022 bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa dengan Filipina pada 23 Mac 2022 dan Singapura, 26 Mac 2022 - kesemuanya di Singapura. - KitaReporters
Elavarasan (kiri) bererti Putera dalam bahasa Tamil, melatih Sarawak United FC sehingga melonjak ke dalam Liga Super 2022 daripada Liga Perdana 2021. - Kredit foto: SUFC
BIODATA E. ELAVARASAN:
Nama Penuh: Elavarasan Elangowan
Umur: 60 tahun
Tarikh lahir: 5 Januari 1962
Tempat lahir: Selangor
Kelayakan kejurulatihan: Lesen Pro AFC (2018)
Karier Kejurulatihan:
2020-2022: Sarawak United FC
2019: PDRM
2018: Melaka United
2015-2017: PKNS FC
2013: Terengganu
2009-2012: Felda United FC
2006: Melaka
2001-2005: Public Bank
1999: Pasukan Piala Bardhan Selangor
1994-2000: Public Bank FC (Liga Dunhill Selangor)
Kejayaan:
1997, 1998 & 2000: Juara Liga Dunhill Selangor (Public Bank FC)
1999: Juara Piala Bardhan (Selangor)
2003: Juara Liga Perdana 2 dan naik Liga Super 2004 (Public Bank)
2004: Naib juara Liga Super (Public Bank)
2006: Naib juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2007 (Melaka)
2010: Juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2011 (Felda United FC)
2016: Naib juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2017 (PKNS FC)
2016: Naib juara Piala FA (PKNS FC)
2019: Tempat ketiga Liga Perdana dan naik Liga Super 2020 (PDRM)
2021: Naib juara Liga Perdana dan naik Liga Super 2022 (Sarawak United FC)
ELAVARASAN (kanan) mengarahkan seorang pemain Sarawak United FC dalam sesi latihan menjelang Liga Super 2022. - Kredit foto: SUFC
MISI getir Kim Pan-gon dan E. Elavarasan serta empat lagi anggota barisan kejurulatihan dalam menjulang semula Harimau Malaya dari ranking ke-154 dunia dan kegagalan teruk Piala AFF di Singapura pada Disember 2021. - Kredit foto: FAM
GANDINGAN anak jati, pemain berdarah warisan dan naturalisasi dalam skuad kebangsaan didakwa sudah berpecah tiga puak ketika Piala AFF 2021 - elemen yang perlu diperbaiki Pan-gon & Co. - Kredit foto: FAM