AKTIVITI jenayah di negara kita bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan ketamadunan sesebuah kumpulan masyarakat.

Semakin meningkat maju sesebuah negara bangsa itu, maka aktiviti jenayah juga makin bersifat 'pelik' dan terkadang tidak terfikir dek akal normal kita.

Memetik perkongsian dari sebuah laman Facebook yang berkongsikan informatif kesihatan iaitu Public Health Malaysia, dari tahun 2012 sehingga 2017, terdapat 482 kes kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dilaporkan hilang di Malaysia.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kanak-kanak:

https://kitareporters.com/search?search=kanak-kanak



Bagi memperhalusi lagi statistik ini, cuba kita mengambil angka kes pada tahun 2017. Secara puratanya, seramai empat orang kanak-kanak akan hilang untuk setiap hari di negara kita ini.

Ia merupakan suatu perkembangan tidak sihat yang wajar untuk kita bendung dari semasa ke semasa.

Apatah lagi jika kita berada di kawasan-kawasan bandar yang lazimnya merupakan kawasan yang memiliki kes jenayah tinggi.

Tanpa sedar, ibu bapa sendiri telah menjadi faktor utama memudahkan para penjenayah untuk mengesan, mengenal pasti dan menculik kanak-kanak ini.

Antaranya kita gagal untuk memanfaatkan kemudahan dan teknologi sedia ada dengan sebaik mungkin, sehingga secara disedari ia telah membahayakan nyawa anak sendiri.



Pasti kita akui, zaman sekarang ramai ibu bapa menggunakan laman sosial seperti Facebook dan juga Instagram untuk berkongsi maklumat diri, privasi, lokasi mereka dan sebagainya.

Walaupun mereka sentiasa berfikiran positif dan memiliki aura yang positif setiap masa, namun harus diingat bahawa para penculik atau penjenayah ini tiada istilah positif diri atau rasa belas kasihan terhadap sesiapa.

Bagi mereka, asalkan perkara itu mampu memberi pulangan wang yang lumayan untuk mereka, maka apa jua cara sekali pun aktiviti jenayah itu tetap akan dilakukan pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.

Apatah lagi tindakan dan sikap ibu bapa yang cukup mudah mendedahkan maklumat diri, privasi, lokasi dan sebagainya dalam laman sosial, ia memberi jalan mudah untuk para penjenayah ini merancang tindakan penculikan.



Sebenarnya data yang kita kongsikan dalam media sosial itu sangat berbahaya dan boleh mendatangkan musibah kepada kita dan juga ahli keluarga, jika kita tiada ilmu keselamatan siber.

Seperti contoh, baru-baru ini tular satu video seorang pelajar sekolah yang disapa oleh seorang jurugambar ketika si anak comel itu sedang menunggu ibunya untuk pulang dari sekolah.



Jurugambar tersebut kemudiannya mengambil gambar kanak-kanak comel berkenaan dan kemudiannya dimuat naik dalam TikTok.

Seperti apa yang dijangka, posting tersebut tular dalam TikTok dan berjaya meraih ribuan komen dan jutaan tontonan yang memuji hasil kerja jurugambar tersebut dan juga kecomelan pelajar sekolah itu bergaya di hadapan orang asing yang tidak dikenalinya.

Walaupun jurugambar itu seorang yang baik hati dan tidak melakukan sebarang jenayah yang tidak diingini, namun situasi sedemikian tetap cukup berisiko tinggi dan menggalakkan para penjenayah untuk menculik anak-anak kecil ini.


Kredit foto: Mingguan Wanita


Justeru, atas prinsip untuk menjaga keharmonian kemanusiaan sejagat, wajarlah untuk semua ibu bapa lebih berhati-hati dalam memuat naik gambar dan maklumat berkaitan diri dan anak-anak sendiri di media sosial.

Jangan kita fikir bahawa kita tidak mampu menjadi mangsa jenayah ini, kerana 'jerat tidak pernah melupakan pelanduk'.

Mungkin hari ini kita terlepas, namun tiada siapa yang menjangka bahawa esok akan ada mata mata yang sedang memerhati dan hanya menunggu peluang dan ruang untuk bertindak atau melakukan jenayah terhadap anak kesayangan kita sendiri.

Antara tindakan yang telah dan sedang kita lakukan dan ia mendedahkan anak-anak dengan bahaya tanpa kita sedari adalah seperti berikut :

  • 1. Mendedahkan nama dan maklumat peribadi anak di media sosial.
  • 2. Berkongsi foto atau video anak-anak dihukum, didenda atau dimalukan kepada umum dalam media sosial.
  • 3. Lokasi anak tunggu kenderaan untuk pulang.
  • 4. Lokasi sekolah anak.
  • 5. Nama kelas dan maklumat di sekolah.
  • 6. Gambar anak dengan duit, barang kemas atau barang berharga.
  • 7. Gambar anak dalam keadaan tidak berpakaian sempurna.

Ayuh! Jadilah ibu bapa yang cakna terhadap keselamatan siber dan menggunakan media sosial dengan penuh bertanggungjawab, berilmu dan mempunyai perasaan berwaspada sentiasa.

Malang tidak berbau, jika tersalah langkah, kelak menyesal tiada penghujungnya. - KitaReporters

0
0
3
0
0

Copy Link: