Geng Plastik Ija ketika mengadakan aktiviti kebersihan di Pulau Perhentian, Terengganu


Pulau Perhentian di daerah Besut, Terengganu sememangnya antara pusat peranginan terkenal dan dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negeri kerana keindahan pantai dan air laut yang biru.

Namun, keindahan pulau pelancongan itu tercemar apabila orang ramai yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dan sisa-sisa makanan merata tempat ketika bersantai di pulau itu lalu menyebabkan keadaan menjadi kotor dan mencacatkan pemandangan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sampah sarap:

https://kitareporters.com/search?search=sampah+sarap 


Geng Plastik Ija menjalankan gotong royong mengutip sampah di Pulau Perhentian


Meskipun pihak berwajib kerap menganjurkan program gotong royong dengan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti tetapi ia tidak memberi kesan kepada sikap pengotor pengunjung ke pulau tersohor itu.

Kumpulan pencinta kebersihan alam yang dikenali dengan Geng Plastik Ija (GPI) terpanggil untuk mengadakan aktiviti gotong royong membersih sampah sarap di pulau itu dalam misi menjelajah pantai-pantai di Terengganu

Kumpulan sukarelawan itu yang diketuai Zulkifli Sarji, membawa bersama ahli kumpulan membabitkan 18 orang dewasa dan enam kanak-kanak berkampung di pulau itu bagi menjalankan kerja gotong royong mengutip sampah yang ditinggalkan pelancong.


Zulkifli Sarji


Zulkifli berkata, program sehari  itu berjaya mengutip lebih 105 kilogram sampah sarap yang dibuang merata tempat sama ada di persisiran pantai, celah batu dan bukit bukau. 

Menurut Zulkifli, menerusi Program GPI Beach Cleaning yang diadakan pada 18 Mac 2021 itu sebahagian aktiviti ahli kumpulan untuk melatih semangat cintakan kebersihan dan membangkitkan kesedaran kepada orang ramai.


Sampah yang dikutip oleh para peserta dimasukkan ke dalam plastik untuk dihantar  ke pusat pelupusan sampah


“Walaupun kami ditertawakan oleh pihak tertentu ketika melihat ahli kumpulan mengutip sampah, ia tidak melemahkan semangat peserta kerana ia tetap dianggap aktiviti mulia,” katanya.

Sebelum berkunjung ke Pulau Perhentian, pihaknya sudah melakukan aktiviti sama di beberapa lokasi pelancongan di Terengganu termasuk Pantai Batu Buruk, Pantai Penunjuk, Kijal, Pantai Petak, Paka dan beberapa pusat pelancongan lain.


GPI ketika mengadakan aktiviti mengutip sampai di Pantai Kijal, Terengganu


Geng Plastik Ija (GPI) ini ditubuhkan pada 2017 dengan menjalankan aktiviti kutip sampah secara suka-suka, tetapi selepas mendapat sambutan komuniti setempat di Kijal, Terengganu, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk mendaftar sebagai NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Zulkifli berkata, ketika ini GPI mempunyai cawangan di Kuala Terengganu dan Besut dengan keahlian lebih 100 orang.

“Bukan mudah untuk mengajak orang ramai menjalankan aktiviti mengutip sampah kerana ramai yang bersikap malu-malu, tambahan pula ia kerja tanpa mendapat imbuhan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini masyarakat melihat aktiviti yang dijalankan oleh GPI satu usaha murni untuk mendidik masyarakat terutama menjaga kebersihan alam sekitar. - KitaReporters


21
1
0
0
2

Copy Link: