SIAPA tidak mengenali pasangan suami isteri yang sentiasa aktif dan romantis dalam laman sosial media, pelakon Mawar Rashid dan Raf Yaakob. Menjengah ke laman  Instagram Mawar baru-baru ini didapati beliau sudah pun mula berhijab dan ia mendapat sokongan sepenuhnya dari suami tercinta yang juga adik kepada cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob. : KitaReporters 

Raf Yaakob dan isterinya, Mawar Rashid yang kini dah berhijab. - Kredit foto: IG @rafyaakob.


“Mawar sendiri yang terbuka untuk berhijab bukan paksaan daripada saya walaupun ada juga saya bercakap secara berlapik tetapi bukan memaksa,” ujar Raf ketika ditemui pada majlis pelancaran ‘away jersey’ keluaran Adidas untuk Manchester United yang berlangsung di Football Republic, Sunway Pyramid pada Sabtu, 22 Ogos 2020 lalu.

Pemilik nama sebenar, Raden Ahmad Faizal Yaakob, 35, ini hadir ke majlis tersebut sebagai Presiden Kelab Penyokong Manchester United atau 'MyManUtd' bagi menandatangani perjanjian (MoU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla (gambar bawah, kiri).



‘Away Jersey’ untuk pasukan Manchester United kini sudah mula dijual pada harga RM300 di semua gedung Football Republic serta 60 kedai sukan Al-Ikhsan di seluruh negara malah boleh juga diperolehi secara dalam talian dalam www.al-ikhsan.com. 

Menariknya, peminat MyManUtd boleh mendapatkan 20% diskaun bagi pembelian sama ada jersey 'home' berwarna merah yang telah dilancarkan terlebih dahulu pada 20 Ogos 2020 lalu atau jersi 'away' rona hitam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia KL, Dato Sri Dr. Irmohizam Ibrahim (dua dari kanan). 


Menyambung lanjut, Raf memberitahu keterbukaan hati Mawar untuk berhijab telah diluahkan kepadanya ketika mereka mengerjakan umrah pada bulan Februari 2020 lalu di mana selepas itu Mawar berhijab penuh pada bulan Ramadan.

“Tetapi, dia terpaksa membukanya apabila perlu berada di set lokasi penggambaran dan hanya pada Isnin lalu (17 Ogos 2020) dia memakainya sepenuh bertepatan pula dengan sambutan Maal Hijrah,” cerita Raf.

Menurutnya, sebelum keputusan berhijab itu diambil oleh Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, beliau terlebih dahulu ada menasihati isterinya itu agar berfikir panjang kerana tidak mahu keputusan yang diambil itu sekadar sementara sahaja.

“Saya ada memberitahunya, jika belum bersedia jangan paksa. Jangan sekejap tutup sekejap buka sudahlah,” tambah Raf yang gembira dan bersyukur dengan langkah diambil Mawar untuk berhijab sepenuhnya.

Luahan hatinya itu banyak disuarakan dalam laman Instagram sambil dijawab isteri tercinta.



Dalam pada itu, berhubung jantina kandungan Mawar yang kini memasuki bulan kelima, Raf memberitahu perlakuan isterinya itu agak berbeza ketika hamil anak sulung lelaki mereka yang lahir pada bulan Mac tahun 2019 lalu, Raden Muhammad Rafael.

“Sekarang ni Mawar tak lalu makan malah saya pula yang naik badan, masa hamil anak pertama Mawar aktif tetapi sekarang semuanya kurang,” ujar Raf.

Mungkinkah anaknya kali ini seorang puteri?

“Kami dah scan dan tahu jantinannya tetapi kami belum bersedia mengumumkannya,” tambah Raf sambil memberitahu beliau dan Mawar baru-baru ini ditawarkan berlakon bersama dalam sebuah telefilem.



Pun begitu sambungnya, memandangkan Mawar sedang hamil, beliau belum dapat memastikan sama ada akan menerimanya atau sebaliknya menerima sebuah lagi tawaran lain yang berkehendakan mereka berlakon bersama juga.

Wah! Rezeki anak namanya tu! Rezeki jangan ditolak kata orang kan?

Apa pun kita tunggu perkembangan daripada Raf apabila sudah menetapkan pilihan mana yang sesuai dengan keadaan situasi Mawar yang tengah mengandung dan berhijab sekarang.

Sebelum ini Raf pernah berkahwin dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Raden Ahmad Rayyan, 9, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 5.

Beliau berkahwin dengan Mawar Rashid pada 9 November 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Muhammad Rafael berusia 1 tahun 5 bulan. - KitaReporters

1
1
0
0
0

Copy Link: