PKPB: Kalau tubik ke bandar, patuhi SOP, usah bawa anak-anak

Published by
KitaReporters

KELONGGARAN menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020 memberi peluang ramai rakyat Terengganu keluar membanjiri bandar-bandar utama seluruh negeri bagi menyelesaikan pelbagai urusan tertangguh sejak 18 Mac 2020 akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda negara. Keputusan kerajaan negeri menerima saranan kerajaan pusat membuka sektor ekonomi juga menyaksikan banyak premis perniagaan mula beroperasi dan memberi peluang pekerjaan kepada pekerja masing-masing. : KitaReporters

Kenderaan milik orang ramai sudah memenuhi jalan raya di hadapan premis perniagaan berikutan pelaksanaan PKPB di Terengganu 


Hampir keseluruhan bandar-bandar utama di Terengganu menyaksikan orang ramai bertumpu ke premis perniagaan untuk membeli barang keperluan, manakala beberapa jabatan dan agensi penting kerajaan turut beroperasi seperti biasa membolehkan mereka berurusan dengan jabatan terbabit.

Keadaan bertambah sibuk dengan jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengurangkan aktiviti Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa lokasi yang dianggap tidak penting.

Bagaimanapun, sikap sesetengah ibu bapa dan penjaga yang turut membawa anak-anak ketika keluar untuk membeli barang keperluan harian dilihat amat tidak sesuai pada ketika ini.

Status ke COVID-19 yang menurun di Terengganu pada 4 Mei 2020 yang membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan PKPB


Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, hasil tinjauan di beberapa lokasi secara rawak, pihaknya berjaya mengesan sebahagian penjaga yang mengambil sikap sambil lewa dalam perkara itu ketika pelaksanaan PKPB dan bulan Ramadan. 

Tegasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dipandang mudah dan masih berjalan walaupun dilonggarkan bersyarat. 

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati mereka yang membawa dua atau tiga anak menaiki motosikal untuk tidak melakukan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, negara masih melaksanakan PKP, jadi rakyat kena patuh dengan peraturan-peraturan serta SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa. 

Roslee berkata, setakat ini pihaknya masih melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri, walaupun jumlah anggota telah dikurangkan semasa operasi itu.

Kedai menjual peralatan komunikasi antara menjadi tumpuan orang ramai.


Tinjuan mendapati orang ramai dilihat mula mengunjungi beberapa pusat perniagaan seperti kedai pakaian, kain, telekomunikasi dan peralatan elektrik yang sebelum ini ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, sebahagian besar premis perniagaan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, manakala orang ramai pula akur dengan tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Kerajaan Terengganu adalah antara negeri terawal melaksanakan PKPB  sebagaimana saranan Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat catatan di Facebook miliknya mengena pelaksanaan PKPB di Terengganu


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun memberi amaran kelonggaran yang diberikan akan ditarik balik jika rakyat negeri itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan jika tahap pemauhan kepada SOP berkenaan didapati rendah. - KitaReporters

2
4
2
0
1

Copy Link: