Nancy Shukri (tengah) melancarkan program Istana Budaya 2022 di Lambang Sari, Istana Budaya diiringi Mohamed Azlan (kiri).


PENTAS berprestij Istana Budaya (IB) bakal membuka tirai dengan 'Konsert Lagu Rakyat'  pada 25 dan 26 Mac 2022 ini dan seterusnya dirancakkan semula dengan 11 lagi program pelbagai seni dirancangkan sepanjang tahun 2022.

12 program tersebut meliputi lima (5) program terbitan Istana Budaya sendiri iaitu "Konsert Lagu Rakyat", "Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf dan The Carnival of the Animals", tari "Sulur & Nakasari", dramatari "Ratu Kuning Langkasuka" dan teater muzikal "Jula Juli Bintang Tujuh".

Manakala,  program luar yang telah diluluskan untuk pementasan setakat ini adalah "Konsert UK's Reunion 25 Tahun", "Konsert Seniman Negara Dato' Seri Ahmad Nawab", "5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA)", "Thunder - Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022" serta tiga teater iaitu "Antara Tiga", "Tanjong" dan "Teater Muzika Moyang Salleh”.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Istana Budaya



“Hasrat kami mahu menghangatkan semula aktiviti seni persembahan pentas  di Istana Budaya untuk tahun 2022 ini,” ujar Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada majlis pelancaran Program Istana Budaya (IB) 2022 bertempat di Lambang Sari, bangunan panggung Istana Budaya pada petang semalam, 15 Mac 2022.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Mohamad Azlan Abdul Majid serta beberapa artis jemputan antaranya pelakon lagenda, Fauziah Nawi dan penyanyi veteran Rozita Rohaizad serta ramai lagi.



Kata Nancy, kewujudan ruang-ruang pementasan di Istana Budaya yang dapat memberi peluang pekerjaan serta kepuasan berkarya kepada penggiat seni, turut menyumbang ke arah kelangsungan ekonomi industri tersebut.

"Istana Budaya juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik dan tari yang mampu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan," tambah beliau.

Untuk rekod, pada tahun lalu, Istana Budaya telah menerima kehadiran hampir enam (6) ribu penonton untuk 11 program dalam tempoh lima (5) bulan yang dibenarkan beroperasi dengan hasil pendapatan jualan tiket adalah sebanyak RM130 ribu.”

Kedua-dua jumlah itu, dijangka meningkat semula pada tahun 2022 yang termasuk hasil sewaan ruang sejajar dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan dan agensi kerajaan yang lain.




Dalam pada itu, Nancy turut mengumumkan mengenai insentif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun yang diberikan kepada syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian dan kebudayaan, diluluskan oleh MOTAC bermula dari tahun 2022 hingga 2025.

“Insentif cukai tersebut terbuka kepada semua penganjur berkelayakan meliputi kategori persembahan pentas kesenian dan kebudayaan terimasuk seni muzik, tari, lakon, seni mempertahankan diri, adat budaya, kesusasteraan dan audio visual termasuk media interaktif,” jelas Nancy.

Beliau berharap agar insentif tersebut dapat membantu melonjakkan semula industri seni persembahan pentas dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk terus bergiat aktif.

Sehingga kini, Istana Budaya masih menerima permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi tahun 2022 dan 2023 mengikut kesesuaian program serta tarikh yang akan dipohon oleh penganjur.



Sementara itu, vokalis kumpulan Ukays, Amir melahirkan rasa terujanya untuk mengadakan persembaan Konsert UK's Reunion 25 tahun buat pertama kalinya  di pentas IB yang dianggap cukup berprestij.

"Percayalah sesiapa sahaja yang menyanyi di pentas IB pasti berpuas hati. Lain dan puas rasanya bila menyanyi di pentas berprestij ini yang dilengkapi sistem audio dan videp berkualiti tinggi," ujar Amir Ukays atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 53, ketika ditemui.

Konsert UK's  Reunion 25 tahun dijadualkan bermula pada 17 hingga 18 Jun 2022 di Istana Budaya dan merupakan antara konsert yang dijangka  mendapat sambutan hangat walau pun tiketnya berharga serendah RM111 sehingga RM999.

Pun begitu. Amir berharap dapat menarik perhatian penaja utama untuk bersama-sama menjayakan konsert yang dijangka bernilai sehingga RM1.5 juta ini.

"Sebagai konsert reunion 25 tahun kami akan membawa 25 buah lagu-lagu hangat," kata pelantum lagu popular 'Di Sini Menunggu, Di Sana Menanti' ini. - KitaReporters


12
12
0
16
0

Copy Link: