Video| YSG teruskan legasi Kedai Emas Wan Endut Terengganu! Dengan idea baru, gaya orang muda!
Published byTahniah orang muda, Yana dan Kamal Iqwan berani meneroka bidang pemasaran barang-barang kemas mengekalkan legasi keluarga Wan Endut
YANA Sofia Gold (YSG) akan menjadi penanda aras baru bagi perniagaan kedai emas milik keluarga, selepas satu lagi pembukaan cawangan baharu butik barangan kemas mereka di Sky Awani, Sentul Perdana, Kuala Lumpur.
Allahyarham Wan Endut merupakan antara peniaga emas yang terawal di Kuala Terengganu, kini usaha perniagaan itu diwarisi beberapa anak cucu beliau yang menjalankan perniagaan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan barangan kemas
Jika di kedai emas Wan Endut di Kampung Cina, Terengganu sangat terkenal dengan kepelbagaian reka bentuk emas yang sudah menjadi koleksi tradisi wanita sejak zaman berzaman.
Kali ini butik baharu dengan cerita baru, ilham baru dan dikendalikan oleh pasangan suami isteri yang bertanggungjawab dalam menzahirkan produk setaraf jenama mewah dunia.
Katakanlah ada yang suka membeli barangan buatan jenama terkemuka dunia. Ia sekadar bahan koleksi hiasan tetapi di YSG koleksi itu adalah dalam bentuk emas 916 yang boleh diniagakan. Ini kerana reka bentuknya adalah ilham dari Paris, Milan Itali dan Dubai. Sebagaimana yang sebelum ini konsep itu diperkenalkan oleh ibu Yana, Wan Faridah Akmal Wan Endut.
Pengarah bersama YSG, Yana atau Nik Nurliana Nik Hamid, anak kedua dari empat beradik dan sulung perempuan mengambil keputusan membuka kedai emas YSG ini selepas menimba pengalaman membantu ibunya mengendalikan kedai emas pertama di Keramat Mall beberapa tahun lalu.
Bersama-sama mengemudikan perniagaan. Yana seorang peguam dan Kamal Iqwan jurutera IT.
Kini Yana berasa sangat bertuah memiliki ibu yang sanggup berkongsi perniagaan keluarga untuk dia berdikari memiliki sebuah empayar perniagaan.
Nama itu kini terus hidup dengan nama baru YSG dan 'dimudakan' lagi selari permintaan generasi baru dengan berilham kreatif seni reka, berdasarkan penghasilan barangan sebagaimana sehebat jenama terkemuka dunia.
Inspirasi yang cuba diketengahkan oleh YSG adalah pemilikan barang-barang kemas yang sama dengan reka bentuk atau gaya aksesori jenama mewah dunia.
Tetapi dalam masa yang sama ia boleh dijadikan aset pelaburan iaitu jual semula ketika waktu kesempitan untuk mendapatkan wang tunai segera.
Berbanding barangan berjenama yang sama, lebih kepada seni yang cantik, mahal tapi tak laku untuk dijual balik.
Konsep dan pemilihan dekorasi serta warna yang lembut di YSG
"Saya melihat pasaran industri emas ini melonjak dengan begitu cepat, pesat berkembang ketika Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu bila orang ramai menggunakan manfaat moratorium dan wang bantuan kerajaan dengan beratur panjang di beberapa kedai kami, membeli emas untuk dijadikan pelaburan," katanya dalam satu pertemuan khas sempena pembukaan YSG pada 26 Januari 2022.
Kata Yana, ramai anak muda kini beralih membeli barangan kemas dengan bermula membeli ketulan emas (charm) yang menghiasi gelang dalam kadar harga RM200 ke atas dan gold bar emas.
'Design' terbaru dan lebih moden adalah emas yang disadurkan dalam bentuk warna warni, krom, kuning dan merah ros yang menjadi kegilaan muda-mudi.
Tambahan pula dengan pekerja yang juga 'orang muda' maka tepat sekali YSG menawarkan koleksi emas yang ikut selera daripada wanita bekerjaya sehingga makcik.
Butik yang selesa pelanggan di YSG Sentul Kuala Lumpur
Yana turut diterapkan supaya membantu keluarga ibunya menguruskan kedai emas setiap hujung minggu waktu bekerja, dan dia akan menemani ibunya berniaga emas secara persendirian.
Ini menjadi faktor yang menguatkan cita-citanya untuk memiliki butik emas sendiri apabila dia yang sebelum ini bekerja sebagai penasihat undang-undang di sebuah syarikat terkemuka, terkejut dengan beberapa kedai milik keluarganya menjadi serbuan para pembeli emas.
Sehinggakan mereka tidak cukup kakitangan untuk melayannya. Bertuah lagi pelanggan yang beratur panjang itu diviralkan dan seterusnya 'meletup' di media sosial.
Bila melihat perubahan masyarakat yang membeli barang-barang kemas sebagai aset pelaburan, membuatkan Yana bertindak meletak jawatan yang diminatinya sejak kecil untuk memikul amanah menjenamakan semula kedai emas titihan warisan keluarganya.
Yana yang terbabit secara sepenuh masa sebelum ini menguruskan kedai emas di Keramat Mall sejak 2019 dan ketika dia mengemukakan notis berhenti kerja, sekali lagi hatinya turut diuji memilih diberi kenaikan gaji yang lumayan atau mengembangkan empayar emas keluarga yang diusahakan sejak turun temurun daripada datuk, ibu dan kini dia adik beradik sebagai pewaris nama keluarga.
Bak kata oranglah, ke mana lagi kuahnya kalau tidak ke nasi, titisan orang berniaga kalau tidak mengalir kepada darah dagingnya, maka doa ibu yang akan dimakbulkan.
Yana memilih berpihak kepada ibu dan dia kini tidak berhenti lagi untuk menoleh ke belakang atau menyesal melepaskan jawatan perundangan yang disandangnya sejak lapan tahun lalu.
Penasihat utama, Kamal Iqwan dengan mentuanya, Umi @ Wan Faridah Akmal Wan Endut
Tidak lama kemudian suami Yana, Kamal Iqwan Kamaluddin yang berkongsi kehidupan sejak 11 tahun lalu, turut melepaskan jawatannya sebagai jurutera teknologi maklumat semata-mata untuk membantu isterinya. Tugas Kamal Iqwan di YSG, terbabit menguruskan kedai, stok-stok dan pemasaran secara online.
Seiring dengan doa dan harapan ibunya, Wan Faridah yang lebih dikenali sebagai Umi itu yang mahukan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan memiliki perniagaan sendiri mendorong Yana dan suaminya membuka butik barang kemas milik mereka, di alamat G-15, Residensi Awani, Nombor 72, Jalan Sentul Perdana.
Lantas bila sekali melangkah, maknanya mereka akan memikul nama baik keluarga datuk Yana sampai bila-bila dan nama baik ibu serta harapan keluarga untuk mengembangkan empayar perniagaan emas itu yang kini sudah dikenali di seluruh Malaysia.
Ini kerana selain pelanggan mengunjungi butik, perniagaan dalam talian kian muncul sebagai pemasaran paling efektif selepas PKP.
Macam baru cincin prelove
Mengimbau kembali pembukaan kedai emas di KL ini macam loretan kisah, kegigihan dan rasa bangga terhadap perniagaan keluarga selaras dengan konsep kerajaan mahu membentuk Keluarga Malaysia bila anak-anak beranak berpakat mengusahakan satu jenama perniagaan keluarga sehingga mampu mencapai taraf antarabangsa. Itu yang dilalui oleh Yana dan suaminya sekarang.
Tahniah Yana dan Kamal Iqwan. - Kitareporters.com