Tiga jejaka viral disatukan jadi trio! Hasilkan single terbaharu OY! Bakal jadi pengganti trio KRU?
Published byDari kiri: Afiq, Nidza dan Razmansyah.
Ketiga-tiga pemuda tampan ini, Muhd Razmansyah, Afiq Adnan dan Nidza Afham pernah viral dalam media sosial dengan sambutan agak luar biasa gara-gara menyanyikan lagu-lagu versi ‘cover’.
Dan ternyata usaha berterusan mereka tidak sia-sia apabila mendapat perhatian komposer tersohor Sharon Paul dan Ezra Kong untuk digabungkan menjadi kumpulan trio lelaki yang kini amat ketandusan dalam industri hiburan sejak populariti trio KRU.
Pun begitu ketiga-tiga penyanyi baharu ini tidak pula diberikan nama untuk kumpulan mereka agar dikenali dengan lebih mudah. Dah kenapa agaknya?
“Kami sengaja memilih untuk tidak mempunyai nama kumpulan kerana ingin dikenali secara individu melalui identiti masing-masing,” ujar Razmansyah yang pernah menyertai program Suara Viral 2.0 baru-baru ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Razmansyah pada persembahan di Suara Viral 2.0 tetapi gagal ke pusingan seterusnya.
Begitu pun yang pasti, trio yang ditemukan oleh Sharon Paul ini, digabungkan kerana keunikan vokal masing-masing dalam bidang nyanyian.
“Saya terpanggil untuk mempertemukan ketiga-tiga mereka kerana saya rasa ada harmoni yang sesuai jika kena dengan lagunya. Setiap daripada mereka mempunyai tona suara yang berbeza, namun apabila digabungkan ketiga-tiganya, ada magis yang dihasilkan. Maka terlahirlah single OY,” cerita Sharon Paul (gambar bawah) terhadap kumpulan ciptaannya itu.
Kredit foto: IG @sharonpaul_msia.
Terbitan Werkit Records dengan kerjasama kreatif Rocketfuel Entertainment, ‘OY’ sebenarnya adalah singkatan kepada ‘Only You’ di mana ia menceritakan tentang seorang lelaki yang sedang berusaha keras mengumpul duit untuk mengahwini teman wanitanya, sambil menyuruhnya bersabar.
‘Walaupun judul single 'OY' tidak disebut dalam lirik lagu namun ia bermaksud apresiasi yang mendalam terhadap kaum wanita secara amnya, dan kami mahu wanita-wanita yang berada dalam hidup kami bangga dengan pencapaian kami, seperti ibu, adik-beradik, dan bukan saja teman istimewa. Jadi, lagu ini ada dua maksud yang berbeza,” sambung Afiq.
Menariknya, single rancak dalam genre balada pop ini turut diselitkan dengan rentak R&B yang menambah perisa ‘moden’ kepada lagu OY.
Lebih istimewanya lagi, ada elemen lagu rakyat Malaysia yang turut diketengahkan seperti ‘lenggang kangkung’, namun diberi nafas baharu yang lebih segar.
“Sejujurnya kami jarang menyanyikan lagu rancak dan ini merupakan cabaran yang kami sahut demi menyampaikannya dengan baik. Peluang bekerjasama dengan komposer-komposer hebat seperti Sharon Paul dan Ezra Kong merupakan pengalaman berharga buat pendatang baru seperti kami” kata Nidza pula, yang pernah hadir dengan single solo ‘Ternyata Bukan Aku’ sebelum ini.
Selain single OY, sebuah video muzik (MV) turut memaparkan jalan cerita yang menarik dengan konsep moden kontemporari.
Jalan cerita MV OY memaparkan kisah 3 orang rakan sekerja yang mempunyai bekas teman wanita yang sama, dan pada satu hari bekas teman wanita mereka datang dengan teman lelaki yang baru, dan kalau nak tau kesudahannya penonton kena saksikan sendiri di YouTube Wertik Records.
Selain itu, melalui muzik video berkenaan dapat dilihat percubaan Razmansyah, Afiq dan Nidza menari melalui tunjuk ajar koreografer mereka.
“Bayangkanlah kami semua tiada asas tarian sama sekali dan pengalaman tersebut merupakan antara momen yang tak dapat dilupakan,” ulas Razmansyah sambil diakui Afiq dan Nidza.
Harapan mahasiswa dalam bidang kejuruteraan elektrik di UiTM Shah Alam, Afiq berkata, “sebagai pendatang baru, kami berharap agar single OY mendapat sambutan yang baik dan semoga permulaan 2022 ini menjadi titik mula kami menempah nama dalam industri muzik Malaysia”.
Lagu ‘OY’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. - KitaReporters