Kali ke-102 atau ke-82? Piala Emas Raja-raja 2024! Momen bersejarah kemenangan SPRM-ACeIO di Melaka!
Published bySPRM-AcEIO girang berpesta meraikan kejayaan mencipta sejarah menjuarai Piala Emas Raja-raja 2024 selepas menewaskan Bomba 2-1 di Melaka. - Kredit foto: PBMMB
PENGANJURAN memasuki edisi ke-82 tetapi peliknya, Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja yang berlangsung dari 20 hingga 27 Oktober 2024 lalu di lapan gelanggang di Melaka boleh kerap disebut serata media massa dan sosial sebagai kali yang ke-102? Bagaimana pula jadi begitu?
Pertandingan yang dijuarai SPRM-ACeIO setelah
menewaskan Bomba 2-1 tetap mencatat sejarah kerana buat kali pertamanya
menemukan dua pasukan jemputan pada perlawanan akhirnya di Stadium Hang Jebat,
Melaka.
SPRM-ACeIO atau nama penuhnya, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia-Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah juga menjadi bukan
ahli gabungan penganjur Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) yang kedua
menjuarainya.
Selain sebuah lagi pasukan jemputan luar negara, Singapura pada awal era 80-an, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) pernah menjulang trofi pertandingan antara tertua negara ini selepas menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 2019.
SPRM-AcEIO (jersi biru gelap) mengatur serangan ke kubu Bomba dalam perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja Ke-82 di Stadium Hang Jebat, Melaka. - Kredit foto: PBMMB
Namun fakta sebenar sejarah di bandar raya
bersejarah itu tidak sepatutnya diubah mahupun dikelirukan kerana sejak diasaskan
pada 1922, Piala Emas Raja-raja sudah beberapa kali tidak dapat dilangsungkan
antaranya gara-gara Perang Dunia Kedua dari 1939 hingga 1946 dan pandemik
Covid-19 pada 2020 dan 2021.
Ditolak 2024 dengan 1922 memanglah 102 tahun
usianya tetapi itu hanya jika penganjuran Piala Emas Raja-raja (mulanya
dikenali sebagai Piala Emas Sultan-sultan) dilangsungkan tanpa gagal pada
setiap tahun.
Mengikut rekod yang diperoleh daripada PBSMM, kejohanan yang asalnya bertujuan meraikan kunjungan Putera Wales ke Tanah Melayu dan Singapura pada 1922, juga pernah ‘hilang’ daripada kalendar 1931 hingga 1934 dan 1937.
SEPAKAN penalti Ahmad Basher Samsuri (26) ini memastikan kemenangan 2-1 dan kejuaraan Piala Emas Raja-raja Ke-82 milik SPRM-ACeIO. - Kredit foto: PBMMB
SPRM-ACeIO cukup bertuah kerana mendapat bimbingan bekas pemain Johor dan Malaysia era 80-an, Khalid Shahdan sehingga turut berjaya menikmati ganjaran juara sebanyak RM50,000.
Kecuaian barisan benteng Bomba dalam mengekang
asakan lawan dalam 10 minit akhir permainan, dihukum dengan jaringan sepakan
penalti Ahmad Basher Samsuri yang turut menyamakan kedudukan pada minit ke-63.
Bomba yang terpaksa berpuas hati dengan sagu hati naib juara, RM30,000 walau bagaimanapun berada di depan pada minit ke-34 menerusi rembatan kencang Aidil Syazran Sukarno.
BOMBA agak sugul dan terkilan kerana hanya bergelar naib juara setelah mendahului 1-0 namun tetap pulang dengan sagu hati RM30,000. - Kredit foto: PBMMB
Turut memperhangat Piala Emas Raja-raja 2024 ialah juara bertahan, Pahang dan juara baharu Piala Agong (pembuka tirai musim), Selangor namun kedua-duanya terkandas seawal peringkat Kumpulan B dan D.
Pasukan-pasukan lain yang menyertainya ialah tuan rumah
Melaka yang disekat oleh SPRM-ACeIO menerusi penentuan penalti 3-2 dalam separuh
akhir selain Kuala Lumpur, Perlis, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah,
Angkatan Tentera, Sekolah Sukan Negeri Melaka, Akademi Mokhtar Dahari,
Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.
Kejayaan SPRM-ACeIO ini melayakkannya sebagai pasukan perlawanan Piala Agong 2025 sekiranya masih diundang PBSMM untuk menentang penyandang, Selangor yang menewaskan Pahang 3-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 18 Oktober 2024. - KitaReporters
SELANGOR, juara Piala Agong 2024 - perlawanan pembuka tirai musim namun gagal ke suku akhir bersama-sama Pahang yang ditewaskannya 3-0 pada 18 Oktober 2024 di Stadium Hang Tuah, Melaka. - Kredit foto: PBMMB
SENARAI JUARA PIALA EMAS RAJA-RAJA:
1922: Kedah kalahkan Johor
1923: Selangor
1924: Selangor
1925: Selangor
1926: Selangor
1927: Perak
1928: Selangor
1930: Selangor
1935: Selangor
1938: Selangor
1947: Singapura 1 Pulau Pinang 0
1948: Kedah 2 Singapura 0
1949: Kedah 1 Perak 0
1950: Singapura
1951: Pulau Pinang 2 Selangor 1
1952: Kedah 4 Perak 1
1953: Kedah 4 Negeri Sembilan 1
1954: Selangor 6 Kedah 1
1955: Singapura 3 Pulau Pinang 1
1956: Pulau Pinang 3 Singapura 2
1957: Selangor 5 Kelantan 4
1958: Singapura 3 Pulau Pinang 0
1959: Singapura 6 Kelantan 1
1960: Singapura 4 Pulau Pinang 1
1961: Selangor 4 Kelantan 0
1962: Perak 5 Pulau Pinang 4
1963: Singapura 6 Kelantan 3
1964: Singapura 2 Pulau Pinang 0
1965: Johor 2 Pulau Pinang 1
1966: Pulau Pinang 2 Singapura 1
1967: Perlis 3 Singapura 0
1968: Pulau Pinang 4 Selangor 2
1969: Pulau Pinang 2 Johor 1
1970: Terengganu 3 Selangor 2
1971: Angkatan Tentera 3 Pulau Pinang 1
1972: Kelantan 3 Angkatan Tentera 1
1973: Singapura 4 Kelantan 1
1974: Perak 3 Perlis 2
1975: Singapura 3 Pulau Pinang 2
1976: Johor 2 Selangor 1
1977: Terengganu 2 Perlis 1
1978: Kelantan 2 Johor 1
1979: Johor 2 Kelantan 1
1980: Pahang 4 Perak 2
1981: Singapura 2 Johor 1
1982: Wilayah Persekutuan 1 Selangor 0
1983: Singapura 4 Pulau Pinang 2
1984: Angkatan Tentera 5 Kelantan 4
1985: Kelantan 2 Johor 1
1986: Pulau Pinang 5 Kuala Lumpur 0
1987: Terengganu 2 Perlis 0
1988: Johor 3 Selangor 0
1989: Kelantan 4 Selangor 0
1990: Perak 3 Kelantan 0
1991: Kelantan 1 Terengganu 0
1992: Negeri Sembilan 2 Terengganu 1
1993: Perlis 1 Pulau Pinang 0
1994: Kuala Lumpur 2 Perlis 1
1995: Kelantan 4 Melaka 0
1996: Kedah 1 Perlis 0
1997: Selangor 3 Kelantan 1
1998: Pulau Pinang 2 Angkatan Tentera 2 (penalti 5-4)
1999: Angkatan Tentera 3 Melaka 2
2000: Terengganu 3 Selangor 0
2001: Kelantan 3 Pulau Pinang 0
2002: Pulau Pinang 2 Kedah 1
2003: Kelantan 2 Selangor 1
2004: Kelantan 2 Pahang 0
2005: Kedah 1 Kelantan 0
2006: Kelantan 5 Angkatan Tentera 1
2007: Johor 2 Kelantan 1
2008: Kelantan 4 Pulau Pinang 0
2009: Perlis 2 Kedah 0
2010: Kelantan 0 Kedah 0 (penalti 4-3)
2011: Pahang 3 Melaka 1
2012: Perak 2 Kedah 0
2013: Perlis 0 Kedah 0 (penalti 7-6)
2014: Perlis 2 Pahang 1
2015: Negeri Sembilan 2 Perlis 1
2016: Pahang 6 Polis 2
2017: Pulau Pinang 2 Kelantan 1
2018: Pahang 1 Terengganu 0
2019: Majlis Sukan India Malaysia 2 Kuala Lumpur 1
2020 & 2021: -Tiada pertandingan kerana Covid-19-
2022: Selangor 3 Polis 2
2023: Pahang 4 Terengganu 1
2024: SPRM-AcEIO 2 Bomba 1
PARA pemain SPRM-ACeIO meraikan kejayaan memenangi final Piala Emas Raja-raja dengan dua gol Ahmad Basher Samsuri terhadap Bomba 2-1. - Kredit foto: PBMBB