Video| Gelak tawa gelagat 3 wanita naif tapi genius! Crew filem satira mengenai keldai seludup emas!
Published byCREW sebuah filem hindi terbaharu memaparkan betapa seronoknya kerja dengan kawan-kawan yang perangai gila-gila, naif dan tegas. Tetapi dalam mengharungi desakan hidup dan untuk dapatkan wang segera serta nampak hidup macam orang kaya, mereka kena jadi keldai seludup emas.
Lakonan Kareena Kapoor, Tabu dan Kriti Sanon. Tiga wanita sebagai pramugari di sebuah syarikat di India yang orang luar nampak mereka macam hidup mewah, bergaya dan sentiasa riang ria kerana dapat bebas terbang ke sana sini.
Malangnya mereka juga macam wanita biasa yang lain turut dihimpit masalah peribadi, keluarga dan cita-cita untuk membina hidup yang baik akhirnya mereka berdepan ujian menjadi orang kaya segera melalui kerja-kerja sampingan - menjadi keldai menyeludup emas.
Tetapi akhirnya mereka kena curi balik jongkong emas itu untuk mengembalikan gaji, bonus dan elaun pramugari yang cuba dilarikan oleh syarikat penerbangan selepas pengerusi membankrapkan syarikatnya sendiri.
Garis skripnya sangat mudah. Sedikit sedutan cerita daripada filem Inggeris Fun with Dick and Jane (2005), The Italian Job (2003) dengan gelagat lucu Kareena, Tabu dan Kriti yang mengambil risiko buat pelbagai cara untuk mencuri emas pengerusi syarikat penerbangan yang cuba lari ke Pulau Cayman.
Kareena watak utama yang menarik penonton ke panggung. Dia menghidupkan wataknya betul-betul sebagai wanita "bebas" daripada menjadi suri rumah di luar filem. Nampak sangat dia seronok berlakon. Seksi tetapi agak berisi sikit, perangai gila-gila membuatkan rakan sekerjanya, Tabu kadang-kala pening. Manakala Kriti Sanon dan Diljit Dosanjh melengkapkan sesi lawak filem itu saja.
Cuma pada peringkat awal itu, agak bosan sebab banyak sangat flash forward, flasback dah macam sesi wanita membawanglah pula. Ia untuk memperkenal watak ini siapa dan asalnya bagaimana kehidupan awal.
Lebih kurang perangai Anil Kapoor sebagai pelakon dalam kebanyakan filem yang dibintanginya. Kali ini dia anak beranak menjadi penerbit filem ini, jadinya dia macam mahu hidupkan perangainya pada watak Kareena - berperangai gila-gila dan serius.
Mereka digambarkan dalam usia pertengahan umur bermakna hendak di tempat lain usia melepasi syarat, hendak tidak hendak, mereka kena kekal syarikat itu dan bila ada peluang di depan mata, maka tiada pilihan selain mengambil peluang menjadi keldai.
Itupun, selepas mereka mendapat tahu betapa liciknya majikan menggunakan pesawat dan penyelia mereka selama ini adalah orang suruhan atau keldai seludup emas. Penyelia itu mati mengejut dan apabila diperiksa 12 jongkong emas dililit pada badannya.
Mereka kemudian mengubah suai jongkong emas itu dalam bentuk bulat disalut coklat dan dipekkan sebagai buah tangan terbaik dari luar negara. Mula-mula terlepas dan bila duit banyak pada tangan mereka mula hidup mewah dan menimbulkan kesangsian pada pihak berkuasa.
Cara mereka menjadi penyeludup itu pun selepas mendapat telefon bimbit penyelia yang mati itu dan ada jadual emas itu diseludup. Maka dari saat itulah mereka bertiga buat keputusan meneruskan kerjaya penyelia dengan bayaran upah sangat lumayan.
Melihat penyelia mereka seludup jongkong emas, Tabu sebut "Haramjadah".
Ada juga masa mereka kantoi bila jongkong emas yang mereka sembunyikan di para panel pesawat ditemui dan di sinilah mereka berpura-pura terkejut dalam sesi soal siasat dengan pegawai polis lapangan terbang yang bersungguh menjejaki penyeludup emas.
Akhirnya juga mereka terpaksa mencuri balik jongkong berkenaan kerana pekerja sudah tidak dibayar gaji dan ada yang sudah kecewa apabila pelbagai masalah timbul termasuk anak yang sebelum ini hidup mewah dengan gaji dan elaun yang banyak, terpaksa diberhentikan sekolah swasta dan masuk sekolah kerajaan.
Babak kecoh, kelakar dan terhibur apabila mereka menyelinap masuk penthouse majikan untuk "mencuri" balik emas itu tetapi masing-masing terkejut bila tinggal beg kosong saja.
Pengerusi syarikat dengan bangganya berbelanja mewah meraikan acara perkahwinan keluarga di Dubai dan membawa lari semua jongkong emas itu dan tidak membayar tunggakan gaji 600 kakitangan.
Olahan hidup yang cantik dan kena dengan masanya apabila Tabu yang gagal menjadi juruterbang perlu membawa pesawat peribadi di tempat permainan masa kecilnya.
Kareena pula dibesarkan oleh datuk yang membantunya bermacam-macam cara termasuk memberikan cincin pusaka dan Kriti pula kena goda pegawai imigresen untuk menyelamatkan mereka dalam setiap operasi. Jangan samakan dengan kerjaya imigresen di luar kehidupan. Itu sebagai lakonan untuk hiburan saja.
Tayangan perdana yang dibawa khas oleh One Media Group Sdn Bhd itu penuh penonton dan dari babak ke babak berderai gelak tawa penonton dan sesekali itu ada yang turut menyanyi bila adegan lagu dan tarian.
Filem arahan Rajesh Krishnan keluaran syarikat pelakon terkenal Bollywood Anil Kapoor, Ekta Kapoor dan Rhea Kapoor, Anil Kapoor Films & Communication Network dan Balaji Motion Picture ditayangkan ke seluruh dunia bermula pada 29 Mac 2024. - KitaReporters.com